Wednesday, January 18, 2017

PENDERAAN & PENGABAIAN WARGA TUA

NAMA: NIK NOR FATIHAH BINTI NIK HUSSIN
NO.MATRIK:14021118
NO.SIRI :041
  
BUMI BUKAN HAK MILIK SATU ORANG, BUKAN HAK MILIK SEMUA MANUSIA, TAPI MILIK SEMUA MAKHLUK. RASA KEMANUSIAAN KITA, MENUNTUT UNTUK MENGEMBALIKAN HAK-HAK TERSEBUT.

Pepatah Melayu yang berbunyi “bagai kacang lupakan kulit”, "ulat melupakan daun", dan "air susu dibalas dengan air tuba" mungkin sesuai untuk dikiaskan bagi isu golongan warga emas yang kian terabai, kurang bernasib baik dan kebajikan golongan ini juga diabaikan oleh semua pihak.
  Penderaan dan pengabaian terhadap warga tua kini menjadi antara isu yang perlu diberikan tumpuan dan ditangani dengan cara berkesan. Ini berikutan, kes penderaan dan pengabaian terhadap golongan itu dilihat isu serta cabaran baru yang membimbangkan sejak kebelakangan ini. Lebih membimbangkan, kes pengabaian dan penderaan terhadap warga tua di negara ini dijangka meningkat, berikutan tekanan kehidupan dihadapi masa kini dan nilai murni yang semakin menipis dalam masyarakat.
Dulu, kes penderaan dan pengabaian warga tua boleh dilihat sebagai kes terselindung dan tidak ramai mahu atau malu bercakap mengenainya. Tetapi kini, seiring perubahan berlaku, akta khusus dan undang-undang berkaitan warga tua perlu digubal bagi melindungi mereka. Dengan adanya undang-undang, banyak boleh dilakukan.. - Prof Madya Dr Tengku Aizan Hamid Pengarah Institut Gerontologi, Universiti Putra Malaysia (UPM)
 Hakikatnya, walaupun Malaysia antara negara yang masih berpegang kepada konsep ketaatan kepada orang tua dan anak dituntut oleh agama atau adat menjaga ibu bapa, kejadian penderaan serta pengabaian terhadap warga tua ada berlaku dan tidak mustahil, semakin meningkat. Umumnya, kejadian penderaan dan pengabaian warga tua juga adalah masalah yang wujud di hampir semua negara di dunia, sebagaimana kes penderaan kanak-kanak dan juga wanita.
 PUNCA PENGABAIAN ANAK TERHADAP WARGA TUA :
1)      Warga tua dianggap sebagai beban. Ini kerana anak-anak terpaksa menjaga warga tua ini tanpa mendapat apa-apa faedah daripadanya. Disebabkan keadaan ini terpaksa, golongan tua ini dilayan antara mahu atau tidak mahu sahaja.
2) Mementingkan kerjaya. Dengan kelulusan tinggi yang dimiliki oleh sebilangan besar anak-anak zaman ini menjadikan mereka begitu memfokuskan pandangan dan pemikiran mereka kepada kerjaya semata-mata bagi membina kejayaan hidup dengan pangkat, gelaran dan jawatan yang bergerak seiring dengan usaha dan komitmen mereka terhadap kerjaya. Keadaan ini menjadikan anak-anak zaman ini tidak ada lagi peruntukan masa untuk ibu bapa.  Lebih teruk lagi, keadaan ini juga menyebabkan ada orang tua yang tidak menaruh sebarang kepercayaan bahawa anak mereka akan sanggup menjaga sakit pening mereka ,lantas sanggup tinggal di rumah orang-orang tua kerana lebih mempercayai orang lain untuk menjaga mereka daripada anak kandung mereka sendiri. Namun begitu tidak dinafikan ada di antara kita masih menyayangi warga tua sebagaimana mereka menyayangi diri mereka sendiri. Golongan inilah yang dikatakan masyarakat terpelajar sebenarnya.
3) Perkara yang menyedihkan hati dan perasaan kita apabila anak-anak yang ditatang seperti minyak yang penuh dari kecil sanggup membuang ibu bapa mereka hanya kerana desakan, hasutan dan tekanan yang diberikan oleh pasangan hidup yang tidak sanggup hidup serumah dengan ibu bapa atau ibu bapa mertua yang telah tua dengan alasan ‘tidak tahan dengan karenah’ orang tua.
4) Ada kalanya anak-anak memberi alasan kewangan dalam menyatakan ketidakmampuan mereka untuk menjaga orang tua sehingga mengambil keputusan menghantar orang tua mereka ke pusat-pusat kebajikan dan rumah warga tua.
5) Proses urbanisasi dan modenisasi yang begitu pesat berlaku di negara ini menjadikan anak-anak tinggal di taman perumahan yang terdiri daripada rumah teres, apartmen, rumah pangsa dan kondominium yang terdapat pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Atas alasan malu dan tidak mahu dipandang serong oleh komuniti dan masyarakat kediaman mereka, ada anak-anak yang tidak sanggup untuk membawa ibu bapa mereka tinggal bersama-sama kerana ibu bapa yang telah tua atau ‘nyanyuk’ ini akan menimbulkan masalah dengan komuniti dan masyarakat setempat. 
6) Bukan itu sahaja, anak-anak juga sering memandang ringan terhadap orang tua mereka. Mereka menganggap ibu bapa telah tua tidak berguna dan berjasa lagi. Mereka tidak terfikir tentang jasa-jasa yang telah diberikan oleh ibu bapa mereka sehingga anak-anak dapat menikmati kesenangan seperti yang dinikmati hari ini.
7) Dari aspek lain pula, punca pengabaian warga tua juga disebabkan oleh tindakan ibu bapa itu sendiri. Pengabaian terhadap ibu bapa disebabkan pengalaman anak-anak itu sendiri di alam kanak-kanak, mungkin semasa kecil kedua ibu bapa mereka bersikap bengis, suka mendera. Maka, anak-anak akan bertindak balas dan menyimpan perasaan untuk membalas dendam terhadap kedua ibu bapa mereka yang dianggap kejam itu. Oleh itu, salah satu cara untuk memuaskan hati mereka ialah dengan mengabaikan kebajikan dan kesihatan kedua ibu bapanya.
8) Ketiadaan akta khusus dan kerangka undang-undang yang terbatas bagi melindungi warga tua di negara ini menyebabkan kes penderaan serta pengabaian warga tua sukar dikenal pasti. Malah, ia menjadi antara faktor nasib golongan itu tidak terbela dan menyaksikan kes penderaan dan pengabaian golongan itu berlaku. 

KESAN-KESAN PENGABAIAN ANAK TERHADAP WARGA TUA :
1) Pengabaian dan penderaan kepada warga tua tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh memberikan kesan serta merta, termasuk berlaku pecah belah dalam hubungan kekeluargaan.
2) Bagi kesan pada jangka panjang pula ia boleh menggugat kesejahteraan dan kestabilan dalam masyarakat. Secara tidak langsung, mewujudkan kepincangan dalam masyarakat dan juga menjejaskan pembangunan serta kemajuan ekonomi mahupun sosial negara.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI :
1) Langkah untuk mengatasi masalah ini ialah sikap manusia haruslah baik di mana manusia perlu mengikis sifat memandang remeh kepada orang tua yang kurang bernasib baik dan juga anak-anak perlu membuang sifat memandang hina kepada ibu bapa yang dianggap semakin tua semakin tidak berguna dan tidak perlukan lagi. Masyarakat haruslah mengubah sikap dengan mengamalkan sistem keluarga luasan iaitu isi rumah yang merangkumi ibu bapa, anak-anak dan datuk nenek atau anggota keluarga yang lain, secara tidak langsung dapat memupuk rasa tanggungjawab, perasaan kasih sayang, sokongan dan ikatan kekeluargaan yang kuat oleh ahli keluarga terhadap warga tua.
2) Langkah kedua, anak-anak haruslah diberi didikan agama dan pendedahan dari awal lagi tentang menghormati ibu bapa. Anak-anak yang diberi didikan agama dari kecil lagi akan dapat mengelakkan daripada ibu bapa disisih. Anak-anak yang mempunyai asas agama akan ada rasa tanggungjawab dalam menjalankan tugas menjaga ibu bapa yang berumur.
3) Selain didikan agama yang diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi pendidikan moral juga perlu diterapkan di sekolah rendah dan sekolah menengah. Pendidikan agama yang dihubungkan dengan memperbanyakkan konsep inter-generasi dimana agensi atau pusat penjagaan haruslah menyediakan penjagaan kepada penjaga perlulah diwar-warkan agar mereka lebih sedar tentang sumber yang boleh didapati terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. 
4) Selain itu, kerajaan perlu menyediakan satu sistem pendaftaran penjaga supaya segala bentuk bantuan dan program boleh disalurkan dengan mudah. Maknanya, kita akan tahu siapa yang menjaga siapa dalam masyarakat.

HAK WARGA TUA (IBU BAPA) :

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Rasulullahlah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: Adakah kalian mahu ku beritahu tentang dosa-dosa yang besar? Para sahabat menjawab: Kami mahu, ya Rasulullah. Rasulullah bersabda: Menyekutukan Allah dan derhaka kepada ibu bapa."

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Israa' ayat 23-24 yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan pemeliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun. Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana balas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah untuk mereka dengan berkata : Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik semasa kecil."   

3 comments:

  1. Boleh tak saya nak buat complain tentang penderaan warga emas di rumah jiran saya? Saya nak contact number .

    ReplyDelete
    Replies
    1. awak... better contact jabatan kebajikan masyarakat yg trdekat dgn awak. nanti dorg akan hantar pegawai datang siasat

      Delete
  2. terima kasih writer halalkan sy ambil utk dijadikan bahan forum ya...

    ReplyDelete

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *