Friday, January 27, 2017

ISLAM DAN CABARAN MASA KINI ASPEK ILMU DAN PENDIDIKAN

NAMA : NORAINI BINTI OTHMAN
NO SIRI : 022

Agama Islam yang berkonsepkan ‘selamat’ dan ‘penyerahan (makhluk kepada Khaliq)’ diturunkan Allah S.W.T sebagai penyempurna segala agama terdahulu untuk menuntun atau membimbing manusia:

“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepdamu ni`mat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu menjadi agama bagimu (al-Maidah: 3). 

Keperluan manusia dibimbing oleh Allah S.W.T melalui penurunan agama, dengan rasul-rasul pilihan, tidaklah lain disebabkan oleh amanah yang telah diberikan-Nya kepada manusia untuk menjadi khalifah-Nya di muka bumi (al-Baqarah: 30). 

Dalam menghadapi kemelut tamadun moden yang simpang-perinang dan tampak terarah lebih berat kepada kemajuan kebendaan dan kemegahan kuasa pemerintahan dan pengetahuan manusia, Islamlah yang menjadi pilihan satu-satunya untuk manusia mencapai keseimbangan dalam pembangunan dan kehidupan. Asasnya ialah bahawa Islam sebagai agama penyempurna memberi manusia manhaj kehidupan yang memiliki ciri-ciri keseimbangan dan kesempurnaan (Al-Qaradhawi, 1998: 204-205). 

Manhaj yang seimbang dan sempurna itu terkandung dalam kalimah as-sirat al-mustaqim (jalan yang lurus) (al-Fatihah: 6). Di samping itu, Allah S.W.T telah menjadikan umat Islam sebagai umat yang lebih istimewa daripada umat-umat lain:

“Dan demikian, Kami telah menjadikan kamu umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia.” (al-Baqarah: 143).

Dalam pelestarian Islam sebagai jalan lurus yang seharusnya dapat menjadi acuan segenap aspek kehidupan umatnya, timbul pelbagai cabaran. Cabaran itu lebih tepat dikaitkan dengan masalah umat Islam itu sendiri, daripada masalah Islam, kerana lunas-lunas Islam telah jelas disempurnakan oleh Allah S.W.T melalui semua wahyunya yang disampaikan oleh Jibril kepada Nabi Muhammad S.A.W. 

Cabaran kepada umat Islam dapat dibahagi kepada dua kategori utama, iaitu cabaran dalaman dan cabaran luaran. Tumpuan perhatian dalam kertas kerja ini diberikan kepada cabaran dalaman, kerana cabaran dalam kategori itulah yang sebenarnya yang lebih banyak menentukan jaya gagalnya umat Islam, baik untuk mendepani segala kemelut dan juga untuk menjadi pemimpin umat manusia seluruhnya. Dalam kertas kerja ini, hanya aspek cabaran kepada umat Islam dalam bidang ilmu dan pendidikan sahaja yang dibincangkan, kerana segala cabaran dan masalah yang melanda sesuatu umat, termasuk umat Islam sebenarnya berpunca daripada masalah ilmu dan pendidikan

Terang bahawa Islam ialah agama yang amat menitikberatkan ilmu. Ayat pertama yang diwahyukan oleh Allah S.W.T mengisyaratkan pentingnya ilmu:

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang maha pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.” (al- `Alaq: 1-5)

Manusia pertama, Nabi Adam a.s. dilengkapi ilmu oleh Allah sebagai prasyarat untuk mentadbirkan alam, dengan dikurniai nama segala kejadian yang ada (beserta sifat, kualiti dan kegunaan setiap benda dan kejadian itu) (al-Baqarah: 31).

Ilmu jualah yang membedakan mutu dan nilai seseorang manusia daripada manusia yang lain:
“Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.” (al-Zumar: 9).

Bahkan, tingkat taqwa seseorang kepada Allah ditentukan oleh taraf ilmunya:
“Sesungguhnya orang yang paling taqwa (paling takut kepada Allah) ialah kalangan hambanya yang berilmu.” (Fathur: 28).

Islam meletakkan hubungan tiga unsur yang tidak boleh dipisah-pisahkan untuk menjamin kelangsungan tamadun umatnya, iaitu paduan antara Islam, iman dan ilmu. Islam tanpa iman menyebabkan wujudnya umat Islam pada nama, sebahagiannya atas dasar keturunan (dan fenomena ini malangnya berlaku dan dapat disaksikan di beberapa banyak bahagian dunia). Salah punca terjadinya hal itu ialah ialah ketiadaan atau kekurangan ilmu dalam kalangan masyarakat berkenaan (sebahagiannya disebabkan penjajahan yang demikian lama oleh kuasa yang sama anti agama atau anti agama Islam).


Demikianlah pula, iman tanpa ilmu dengan mudah menyebabkan berlakunya kesesatan, kerana ilmu ialah imam (pembimbing) kepada iman. Ketiadaan atau kekurangan, atau kekeliruan ilmu yang benar mendatangkan pelbagai musibah kepada umat Islam, baik dalam amalan beragama mahupun dalam kehidupan sehari-hari.

Rumusan yang dapat dibuat ialah bahawa Islam menekankan pentingnya umatnya menguasai ilmu. Penekanan akan penguasaan ilmu itu pertama-tamnya untuk mengenal Allah sebagai pencipta sekalian kejadian dan segala yang berkaitan dengannya (yang dikenal sebagai Arkan al-Iman atau Rukun Iman), untuk mengetahui dan mengamalkan syariat Islam (segala yang terangkum dalam Arkan al-Islam atau Rukun Islam) dan segala aspek lain kehidupan yang menyeluruh (perihal muamalat, munakahat, jinayat, siasah, akhlak dan yang lain). 

Selain itu, tuntutan Islam kepada umatnya agar menguasai ilmu berkaitan rapat dengan keperluan mereka memenuhi amanah manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, dan kemudian untuk menjadi pemimpin umat manusia seluruhnya. Tanpa ilmu, tidak mungkin manusia, khususnya umat Islam dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah:
“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” (AL-zariyat:56)

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *