Wednesday, February 8, 2017

Faktor-faktor kejadian jenayah dalam kalangan remaja.

NAMA: SITI NURUL NABIHAH BT MOHAMAD
NO.SIRI:012

Kemajuan di negara kita seiring dengan kegawatan akhlak yang semakin sebati dengan jiwa remaja pada hari ini, kerana insan yang baru berusia setahun jagung ini, telah banyak yang terjebak dalam kegiatan jenayah. Menurut Kamus Dewan perkataan 'jenayah' boleh didefinisikan sebagai perbuatan yang melanggar undang-undang dan peraturan. Jenayah juga dapat dikategorikan kepada jenayah juvana, jenayah sosial, dan jenayah perdagangan. Kejadian jenayah di negara kita semakin meruncing dan menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat kini. Fenomena yang sudah lama bersarang dalam kehidupan masyarakat ini, dapat memberikan suatu persepsi kelekaan dan kealpaan masyarakat terhadap tanggungjawab mendidik, mengasuh, dan membimbing  generasi muda kita hari ini.
Seandainya, jenayah juvana ini masih bermaharajalela di negara kita, nescaya keadaan ini akan meranapkan impian Malaysia menggapai hasrat dan visi kudsi Wawasan 2020.


        Kelalaian ibu bapa merupakan faktor perdana yang menimbulkan masalah ini. Kini, sudah menjadi lumrah ibu bapa pada masa sekarang, rakus mengejar kemewahan dan kebendaan semata-mata untuk memenuhi naluri mereka sehingga senggup mengabaikan anak sendiri. Adakah kita ingin melihat generasi hari ini yang akan menjadi nadi negara, menjadi penjenayah pada masa depan? Ibu bapa pada masa ini menyerahkan tugas menjaga anak bulat-bulat kepada pembantu rumah. Bertitik tolak dari sinilah , remaja mengambil kesempatan keluar untuk meneroka dunia yang penuh dengan penipuan  dan masalah  kerana mereka merasakan jiwa mereka kosong akibat keperluan emosi mereka yang  tidak dipenuhi dengan belaian kasih sayang oleh ibu bapa. Akibat kekurangan dan ketandusan kasih sayang serta goyah pegangan agama, remaja mudah bergaul dengan kumpulan samseng yang mengheret mereka ke lembah jenayah.

        Di samping itu, pengaruh media massa turut menyumbang dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam sanubari remaja untuk melakukan kegiatan jenayah. Akibat penyelewengan dalam proses penyaluran maklumat, pemaparan aksi-aksi yang bercorak keganasan, berunsur pembunuhan, dan rompakan membangkitkan keinginan remaja untuk terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral ini. Remaja yang meminati aksi ganas akan lebih terdorong untuk melakukan pergaduhan dan akhirnya membawa  kepada pembunuhan. Hal ini berlaku demikian kerana rancangan dalam media elektronik diselitkan dengan unsur-unsur bercorak negatif yang secara langsung mempengaruhi minda remaja untuk melakukan jenayah.

        Pengaruh rakan sebaya juga menyumbang kepada berlakunya kegiatan jenayah yang kian berleluasa. Pada peringkat remaja, pengaruh rakan sebaya amat kuat dan menebal dalam jiwa mereka. Pada kebiasaannya, pengaruh negatif yang menonjol akan menjadi ikutan para remaja. Remaja juga akan lebih menurut kata-kata atau ajakan rakan-rakan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Demi menjaga budaya remaja dan rasa ingin diterima oleh rakan sebaya, remaja berkenaan tidak teragak-agak untuk bertindak sebagaimana yang dikehendaki oleh kumpulannya. Tambahan pula, mereka lebih suka memberikan tindak balas kepada soal prestij dalam kumpulan agar mereka dapat bergaul dan berinteraksi.

        Konklusinya, remaja sebagai aset penting negara mestilah berjuang untuk membebaskan diri daripada terus dibayangi oleh 'jenayah'. Natijah daripada senario-senario ini, kerjasama yang erat, dan persefahaman yang wujud adalah penting dalam menentukan kecerahan masa depan negara. Ingatlah remaja yang bakal memimpin negara ini merupakan tonggak dan harapan  bagi mencorakkan haluan negara, demi menzahirkan wawasan 2020.

1 comment:

  1. Karangan yg mantap dn mmpunyai kosa kata berdrjat tnggi. Trskn usaha bgi mmjukn pnulisn anda.🙆

    ReplyDelete

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *