Friday, February 24, 2017

JENAYAH DALAM ISLAM

DITULIS OLEH: WAN NOOR ASILAH BINTI WAN RAZALI
NO. MATRIK: 14021232
NO.SIRI: 081

Firman Allah SWT bermaksud: “Demikianlah hudud Allah. Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya akan dimasukkan ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah kemenangan yang agung.”(Surah al-Nisa’ 4:13)
Islam yang bersifat sejagat, ‘alami, rabbani dan syumul datang untuk memenuhi segala lapangan kehidupan manusia dengan hukumnya dan pengajarannya. Tiada satu pun perkara sama ada urusan agama atau dunia dibiarkan begitu sahaja kecuali diterangkan dengan sejelas-jelasnya sama ada melalui juz’I yang tafsil. Peraturannya lebih tinggi daripada sebarang peraturan dan undang-undang ciptaan manusia. Ia mempunyai dasar-dasar yang bernilai dan luhur berbanding dengan dasar lain.

SIFAT SYARIAT ATAU UNDANG-UNDANG ISLAM
Begitu juga terdapat pengajaran yang menjamin keselamatan manusia dan kebahagiaan mereka. Inilah yang hendak ditahkikkan oleh peraturan dan undang-undang Islam. Jelas terbukti tasyri’ agama ini mewajibkan pemeliharaan atas lima daruriyat (kepentingan) yang datang dengannya oleh segala syariat dan agama samawi iaitu;
·         Memelihara agama.
·         Memelihara jiwa.
·         Memelihara keturuanan.
·         Memelihara akal.
·         Memelihara harta.
Syariat menganggap pencerobohan terhadap segala perkara di atas dianggap sebagai jenayah yang membawa kepada hukuman di dunia dan akhirat.

PENGERTIAN JENAYAH
Perkataan jenayah yang digunakan di dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Arab, iaitu jinayah.

Merujuk kepada penggunaan fuqaha dalam bidang jenayah, terdapat dua perkataan yang sering digunakan iaitu jinayah(kata jamaknya jinayat) dan perkataan jarimah (kata jamaknya jara’im).
Apakah beza kedua-duanya?

Sebahagian fuqaha berpendapat bahawa kedua-duanya membawa pengertian yang sama, iaitu kedua-duanya adalah larangan-larangan syarak yang diugut dengan pembalasan had ataupun ta’zir.
Al-Mawardi, seorang ulama mazhab Syafii, dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniah beliau menyebut tentang takrif al-jara’im (iaitu pelbagai jarimah): “ia adalah sebagai larangan syarak yang diugut/diancam dengan pembalasan had ataupun ta’zir.”

Ibn Farhun, seorang ulama mazhab Maliki, menamakan apa sahaja tindakan yang mewajibkan pembalasan had dan qisas sebagai jenayah. Lantaran itu beliau merumuskan bahawa pengertian jenayah itu meliputi jenayah terhadap nyawa, akal fikiran, harta benda, keturunan dan kehormatan.
Di dalam kitab al-Taj al-Iklil ‘ala Mukhtasar al-Khalil disebut tentang pelbagai jenayah yang mewajibkan pembalasan, kesemuanya ada tujuh, iaitu:
·         Jenayah Penderhakaan.
·         Murtad.
·         Zina.
·         Qazaf.
·         Curi.
·         Rompak.
·         Minum Arak.
Dengan ini jelas tidak ada perbezaan dari segi makna di antara dua perkataan jinayah dan jarimah.
Namun sebahagian besar fuqaha membezakan antara pengertian jinayah dengan pengertian jarimah. Mereka mengkhususkan perkataan jarimah bagi pelbagai kesalahan yang mewajibkan pembalasan had dan ta’zir. Sementara jinayah pula dikhususkan bagi pelbagai kesalahan yang mewajibkan pembalasan qisas.
Perbezaan maksud ini menurut mereka adalah berpunca daripada hukuman qisas yang harus diberi maaf sama ada dengan pembayaran ganti atau tanpanya sekalipun kesnya telah  dimaklumkan kepada qadi atau hakim.
Tapi keadaan ini berlainan dengan hukum had kerana ia tidak harus diberi maaf walaupun selepas dimaklumkan kepada qadi atau hakim. Lagipun hukuman qisas boleh disabit dengan bukti sedemikian.
Ibn al-Humam seorang ulama mazhab Hanafi, menyebut perkataan jinayah itu dikhususkan bermaksud:” Setiap perbuatan yang dilarang yang menimpa nyawa dan anggota, yang pertama dinamakan pembunuhan dan  yang kedua dinamakan penyebab kecederaan.”
Begitu juga pendapat mazhab Syafii dan Hanbali, kecuali Ibn Qudamah sahaja yang menyebut: “jinayah adalah setiap perbuatan yang menceroboh yang ditujukan terhadap nyawa atau harta benda, akan tetapi dari sudut uruf (kebiasaan) ia dikhususkan bagi apa sahaja tindakan yang mencerobohi tubuh badan.  Lantaran itu kesemua jenayah terhadap harta benda dinamakan jinayah, sama ada rampas atau curi, khianat atau merosakkan.”
ISLAM DALAM MENANGANI ISU JENAYAH
Islam menetang segala penyelewangan dan jenayah yang boleh merosakkan lima perkara di atas dengan uslub yang berbeza, yakni dengan cara mencegah dari peringkat awal, memberi perhatian yang khusus kepada individu dan juga pelaksanaan hukuman dengan sebab jenayah atau perkara yang membawa kearah itu. Antaranya:
·         Mentarbiah supaya sukakan kebaikan dan bencikan kejahatan.
·         Menyeru manusia untuk memuhasabah jiwa serta mendidik. Dengan kata lain memasukkan unsur kemuliaan akhlak dan menjauhkan segala sifat mazmumah.
·         Menyucikan jiwa manusia dengan ibadat syarak seperti solat, zakat, puasa dan haji.
·         Menggambarkan keburukan jenayah dan merasakan betapa bahayanya jenayah tersebut.
·         Larangan dan cegahan daripada menyebarkan perkara mungkar dalam masyarakat kerana boleh mempengaruhi jiwa-jiwa yang lemah.
·         Menyelamatkan masyarakat daripada penyakit-penyakit sosial yang tersebar dan menyeleweng daripada akhlak yang sebenarnya.
·         Melaksanakan hukuman kepada semua jenayah dan hal yang membawa ke arah itu.

·         Menggesa supaya pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar daripada semua golongan bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat10 yang bermaksud:” Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji), dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *