Saturday, February 18, 2017

Kepentingan perpaduan kaum di Malaysia

Nama  : SITI FADILAH MANSOR
No. Matrik : 14021252
No: Siri : (086)

     Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang disokong oleh gabungan masyarakat pelbagai kaum.  Keunikan masyarakat 1 Malaysia ialah sikap saling bertolak-ansur yang diamalkan sejak laungan merdeka mewarnai bumi bertuah ini.  Ironinya, simpulan perpaduan itu mula goyah apabila terdapat campur tangan anasir-anasir jahat yang mempunyai agenda sulit.  Maka, masyarakat Malaysia perlu segera celik akan kepentingan perpaduan kaum dan berusaha membenihkan semula semangat bersatu teguh bercerai roboh agar terus bercambah serta menjadi pegangan hidup.

   Tidak dapat disangkal bahawa masyarakat yang harmoni merupakan kesan perpaduan kaum yang utuh.  Penerimaan adat dan budaya kaum lain merupakan elemen penting dalam menjana perpaduan.  Amalan ini mencetuskan rasa saling menghormati dan sudah pasti setiap kaum akan mengelakkan sebarang insiden yang boleh menggores hati kaum yang lain.  Percampuran budaya yang tercetus hasil perkahwinan campur juga menjadi bonus ke arah perpaduan antara kaum, sekaligus melahirkan masyarakat yang harmoni di Malaysia.  Sudah terang lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum yang teguh akan melahirkan masyarakat yang harmoni.

   Seterusnya, keharmonian yang tercetus hasil daripada ikatan perpaduan yang erat mampu memajukan ekonomi negara.  Hal ini boleh dijelaskan melalui peningkatan jumlah pelabur asing yang berminat untuk menjana perniagaan mereka di Malaysia kerana persekitaran perniagaan yang aman pasti mendatangkan keuntungan yang maksimum kepada mereka.  Jika jumlah pelaburan asing tinggi di Malaysia, peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia akan terbuka luas.  Secara tidak langsung, bukan sahaja ekonomi negara meningkat secara global tetapi ekonomi rakyat juga akan semakin rancak disebabkan peluang-peluang yang menjelma.  Hal ini cukup membuktikan bahawa perpaduan kaum mampu meningkatkan ekonomi negara.

  Perpaduan kaum yang utuh juga memangkinkan kehidupan yang berkualiti sehingga menjadikan negara kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain.  Imej sebagai sebuah negara berbilang kaum yang sentiasa berpaksikan perpaduan sentiasa menjadi buah mulut negara luar.  Banyak negara yang kagum akan dasar-dasar kerajaan yang berjaya mentransformasikan negara ke arah negara maju tanpa meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan terutamanya semangat perpaduan antara kaum.  Pengiktirafan Malaysia sebagai penanda aras dalam memacu hubungan rakyat yang mesra merupakan satu tanda penghargaan negara luar terhadap keistimewaan acuan kemajuan negara kita sendiri.  Jelaslah bahawa perpaduan kaum menjadikan imej negara kita menarik pada pandangan masyarakat dunia.
   Selain itu, asimilasi pelbagai budaya rakyat Malaysia diterima sebagai satu budaya unik di bawah satu bumbung.  Hal ini menjadi satu elemen menarik yang menggamit minat pelancong asing untuk datang bertandang dan menyaksikan sendiri kehebatan bangsa  Malaysia.   Rakyat Malaysia yang sudah terdedah dengan konsep berkompromi selagi tidak mencuit isu sensitif berkaitan agama merupakan rakyat yang ramah dan mesra serta mudah menerima kedatangan rakyat asing ke dalam kelompok peribadi mereka.  Jadi, tidak hairanlah jika rakyat Malaysia yang bersatu padu sedia memberikan layanan kelas pertama kepada pelancong yang datang untuk mengalami keunikan Malaysia.


  Kesimpulannya, hidup berlandaskan konsep bagai aur dengan tebing tanpa mengira kaum patut menjadi pegangan setiap warga Malaysia.  Usah biarkan sejarah 13 Mei 1969 yang berpunca daripada perbalahan kaum melakar dakwatnya untuk kali kedua kerana kesan negatifnya sangat memeritkan.  Bersama-samalah kita rakyat Malaysia berjuang demi melahirkan bangsa Malaysia jenama baru yang sentiasa ikhlas bersatu.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *