Friday, February 24, 2017

SISTEM HARTA PUSAKA ISLAM

DITULIS OLEH: WAN NOOR ASILAH BINTI WAN RAZALI
NO. MATRIK: 14021232
NO.SIRI: 081
Pengenalan Harta Pusaka
Dalam Islam terdapat suatu kaedah pembahagian harta pusaka yang dinamakan dengan hukum faraid sebagaimana yang diputuskan di dalam al-Quran. Ia diperoleh daripada seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan waris yang layak menerima harta pusaka mengikut hukum syarak setelah diuruskan jenazah si mati, dibayar hutang piutangnya dan dilaksanakan wasiatnya (sekiranya ada).

Apakah dia hukum Faraid? Faraid ialah berasal daripada perkataan faradha (فرض), di dalam bahasa Arab yang bermaksud ketentuan atau kepastian. Jika yang dimaksudkan dengannya berkaitan dengan warisan atau harta pusaka, maka maksudnya ialah bahagian yang telah ditetapkan mengikut hukum syarak untuk ahli waris. Dengan itu, jika pengertian hukum dikaitkan dengan pengertian faraid, maka makna hukum faraid ialah ketetapan yang diberikan Allah SWT tentang kedudukan harta yang ditinggalkan oleh si mati atau hukum yang diberikan Allah SWT dalam menangani pemerosesan pembahagian harta warisan kepada yang berhak.
Harta pusaka boleh dibahagikan mengikut kadar yang telah ditetapkan ataupun secara permuafakatan. Pembahagian tersebut tertakluk kepada sebab dan syarat-syarat tertentu dan tiada yang menghalang ahli waris daripada menerima harta pusaka. Walau bagaimanapun hak faraid seseorang boleh gugur apabila ahli waris itu membunuh. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: "Tidak mewarisi orang yang membunuh itu sesuatu". Hak faraid juga boleh gugur dalam keadaan di mana waris si mati berlainan agama sebagaimana hadis daripada Usamah bin Zaid, sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda: "Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam”.

Pembahagian Harta Pusaka
Untuk mengetahui proses pembahagian yang telah ditetapkan ini, terdapat caranya atau kadarnya, siapa yang berhak menerimanya daripada kalangan ahli waris dan sebagainya, ialah melalui apa yang dinamakan ilmu faraid. Pengertian ilmu faraid menurut sebahagian ulama ialah suatu ilmu untuk mengetahui cara-cara pembahagian harta pusaka kepada yang berhak daripada kalangan ahli waris. (Mu 'jam Lughat AI-Fuqahd' h. 341).

Pembahagian harta warisan melalui cara yang terdapat di dalam ilmu faraid akan menghasilkan pembahagian yang seadil-adilnya kerana ia berdasarkan wahyu. Kadar dan bahagian masing-masing sebenamya telah ditetapkan oleh wahyu. Manusia atau pihak mahkamah misalnya, hanya berfungsi sebagai menunaikan perlaksanaan hukum Allah SWT dalam perkara ini. Hukum atau tatacara pembahagian harta waris melalui faraid adalah wajib.

Pembahagian harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu cara pembahagian harta di dalam islam. Telah menjadi adat dan amalan umat islam bahawa apabila simati meninggal dunia maka waris akan membuat kenduri tahlil untuk mendoakan simati. Waris-waris perlu ingat bahawa sekiranya mereka bercadang mengadakan majlis tahlil perlulah menggunakan wang poket masing-masing dan jangan digunakan wang peninggalan simati kerana hak-hak yang wajib belum ditunaikan dan perlu diselesaikan terlebih dahulu
Hak-Hak Harta Pusaka yang Perlu Ditunaikan

Antara perkara yang mula sekali perlu dan wajib diperhatikan ialah tentang kedudukan harta waris itu sendiri daripada segi hak dan kaitannya dengan perkara-perkara seperti zakat, nazar, kaffarah, haji, gadaian, denda hukum, hutang kepada Allah SWT dan sebagainya. Setelah cara pertama yang di atas dapat disempurnakan, maka baki harta itu diperuntukkan pula untuk perbelanjaan perlaksanaan fardu kifayahnya, seperti membeli kain kafan dan keperluan pengkebumiannya. Kemudian bakinya yang masih ada dikeluarkan untuk melunaskan segala hutangnya kepada orang lain, iaitu hutang yang sabit mengikut pengakuannya semasa hidup atau yang sabit melalui bukti-bukti yang diperakui kerana hutang itu wajib dibayar bagi pihak si mati.

Daripada baki harta itu lagi dibayarkan (diasingkan) pula untuk keperluan wasiatnya jika ada, iaitu tidak lebih daripada 1/3 (sepertiga) daripada baki harta yang ada. Sekiranya dia mewasiatkan semua atau sebahagian hartanya, maka wasiat ini tidak diterima, tetapi cukup dikeluarkan 1/3 (sepertiga) sahaja untuk wasiatnya itu. Baki harta yang masih ada selepas empat perkara di atas dilakukan, maka itulah dia harta waris yang menjadi milik semua ahli waris yang berhak. Itulah juga harta yang dimaksudkan di dalam hukum faraid yang wajib dibahagi-bahagikan kepada semua ahli waris yang berhak, sesuai dengan kadar bahagian masing-masing. (Nihayah AI-Zain h. 281)

Adalah jelas di sini waris- waris tidak boleh memakan harta simati sebelum ditunaikan hak-hak simati dan dibuat pembahagian dengan ahli-ahli waris yang lain secara faraid. Wasiat hanya boleh dilaksanakan kepada selain daripada mereka yang layak mendapatkan bahagian harta mengikut hukum faraid. Menurut ulamak feqah, wasiat hanya boleh dilaksanakan tidak lebih 1/3 daripada harta si mati. Manakala hutang pula hendaklah dilunaskan sepenuhnya oleh warisnya jika harta peninggalan si mati tidak mencukupi. Orang yang berhak kepada harta waris hanyalah orang-orang yang disebut sebagai ahli waris yang terdiri daripada pihak lelaki dan perempuan.

Hukum Faraid berdasarkan ayat al-Quran dan Hadis :
Ayat-ayat mengenai faraid ini banyak terdapat dalam al-Quran, ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah al-Nisaa menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.

Antaranya Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah SWT memerintahkan kamu mengenai pembahagian harta pusaka untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja maka bahagiannya ialah seperdua (separuh harta itu)…"(sehingga akhir ayat).
(Surah an-Nisaa ayat 11)

Begitu juga dalam hadis-hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Daripada Ibnu 'Abbas radhiallahu 'anhuma daripada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sabdanya: "Kamu bahagi-bahagikanlah harta (pusaka) di antara ahli fard 'idh (waris) berdasarkan Kitabullah. " (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Pengurusan harta sebagai bekalan kehidupan di akhirat mesti diurus dan dirancang semasa hidupnya lagi. Sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Baginda telah mengarahkan sahabat yang ingin pergi berperang agar mewasiatkan hartanya kepada orang lain. Ia bertujuan agar segala harta dan tanggungjawab yang akan ditinggalkan, sekiranya dia syahid di medan peperangan, dapat diurus dengan baik dan sempurna.


Sesungguhnya islam telah menyusun, mengatur sistem dan kaedah terbaik bagi umatnya mengurus harta pusaka. Antaranya adalah melalui kaedah wakaf, sedekah, hibah, faraid dan wasiat. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita semua sebagai umat islam untuk membuat wasiat dan menuliskannya dan diserahkan kepada satu "badan pemegang amanah" yang akan di pertanggungjawabkan untuk  membantu menyelesaikan harta pusaka menurut hukum faraid.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *