Monday, January 16, 2017

SENI BINA ISLAM : MASJID AYESHA , KOK LANAS

AIMAN BIN SHAMSUDIN  (14021174)
NO SIRI : 126
SHAHIDAN ADILI BIN MARZUKI  (14021105)
NO SIRI : 088
MUHAMMAD TAUFIK BIN ABDUL RAHMAN  (14021100)
NO SIRI : 087 
BIODATA MASJID
Menyusuri jalan utama dari Machang ke Kota Bharu, orang ramai pastinya akan terpegun melihat masjid yang tersergam indah seakan-akan sebuah istana di negara Eropah.
     Terletak di tengah-tengah pekan Kok Lanas berhampiran Politeknik Kok Lanas, ia dikenali sebagai Masjid Ayesha, yang mana seni binanya amat unik dengan bentuk ringkas tapi menarik. Uniknya, masjid berkenaan mempunyai lima menara tinggi,  dan di tengah-tengahnya dihiasi dengan satu jam, juga seumpama masjid dalam taman yang diindahkan lagi dengan pelbagai bunga-bungaan.  Bukan sahaja nampak cantik dari pandangan luar, bahkan ketika melangkah masuk ke dalam masjid, kita akan rasa lebih tenang disambut dengan haruman bunga-bungaan dan suasana mendamaikan. Di sebalik keindahan Masjid Ayesha ini, tidak ramai tahu, ia sebenarnya diilhamkan oleh kolumnis Sinar Harian, Allahyarham Tan Sri Abdullah Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Dollah Kok Lanas, yang juga bekas Ahli Parlimen Machang. Allahyarham meninggal dunia akibat kanser.

     Berbalik kepada Masjid Ayesha, bukan sahaja reka bentuk, bahkan nama Masjid Ayesha juga adalah pilihan Allahyarham sendiri yang mengabadikan nama insan tersayang, iaitu ibunya. Allahyarham bukan sahaja berusaha untuk mewujudkan masjid bagi kemudahan orang ramai tetapi di dalam kawasan kompleks seluas dua hektar itu juga, beliau turut menyediakan dewan, bilik kuliah, perpustakaan dan penginapan untuk imam serta bilal.
Kawasan masjid yang dibina dengan perbelanjaan RM6 juta itu juga dilengkapi dengan kuarters penginapan beliau yang sekali-sekala pulang ke negeri kelahirannya.

ASAL USUL :
Mengikut cerita pengerusi masjid, Mohammad Awang, tapak masjid berkenaan pada asalnya adalah kawasan kilang ubat nyamuk dan Allahyarham berusaha membeli tanah berkenaan sekitar tahun 1970-an, daripada peniaga yang didakwa menghadapi masalah kewangan. Kemudiannya, terdapat individu yang ingin menggunakannya untuk membina bangunan pejabat, namun Allahyarham mengemukakan hasrat beliau bagi membina sebuah masjid demi kepentingan orang ramai.
     Mohammad memberitahu, Allahyarham bersama arkiteknya kemudiannya menyiapkan pelan masjid yang keseluruhannya diterapkan idea beliau sendiri. “Dia beritahu saya, pelan masjid sudah ada. Dia nak bina masjid dan kena uruskannya dengan cepat,” katanya. Berbeza dengan kubah-kubah masjid lain, Mohammad memberitahu, bentuk kubah tiga segi yang dibina dan dicat dengan warna hijau gelap itu adalah kehendak arwah sendiri. “Saya tanya kenapa tidak ikut masjid lain, Tan Sri bagi tahu, beliau tidak mahu bentuk kubah macam ‘bawang’ dan sukakan seni bina yang memartabatkan seni ukir Melayu seperti Masjid Kampung Laut, asalnya,” katanya.
     Sementara itu, Naib Pengerusi Masjid Ayesha, Ahamed Daud juga memberitahu, Allahyarham sangat sayangkan masjid yang mula dipecah tanah pada 26 Jun 2009 itu dan sentiasa pesan jaganya dengan baik. “Setiap masa, Tan Sri ingatkan kami semua jawatankuasa agar menjaga masjid dan mengimarahkan rumah ALLAH ini setiap masa,” katanya yang juga jiran Allahyarham.
     Masjid itu mula digunakan pada 2012 dan mula dijadikan tempat untuk menunaikan solat Jumaat bagi penduduk sekitar bermula 14 Jun 2014. Sambil mengakui merasai kehilangan Allahyarham, Ahamed memberitahu, sikap Tan Sri yang serius dalam semua hal menyebabkan orang ramai dapat menggunakan masjid dalam keadaan lebih selesa berbanding sebelumnya.

Pantang lihat kemudahan tidak sempurna :

Turut berkongsi pengalaman bersama pengasas masjid berkenaan ialah, Daim Ibrahim, individu yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan.
Daim memberitahu pantang bagi Allahyarham melihat kemudahan di masjid tidak disediakan dengan sempurna.
“Tan Sri mahu semua jemaah dapat beribadah dengan baik. Arwah tidak boleh tengok sedikit pun barangan yang rosak. Kalau rosak Tan Sri suruh saya baiki segera,” katanya.
Mula digunakan dengan hanya berlapikkan tikar, namun dari sehari ke sehari dengan usaha Allahyarham, masjid itu disempurnakan dengan kemudahan lengkap termasuk penyaman udara dan pelbagai lagi perkhidmatan untuk masyarakat.
Bilal masjid, Kamarul Bahri Mohd Mustapa berkata, dia pernah melihat Allahyarham mengutip sendiri sampah di sekitar masjid walaupun ia hanya pembalut gula-gula, kerana karakter arwah itu sendiri sukakan kebersihan.


BIODATA PENGASAS :
Jenazah bekas Setiausaha Politik Tun Abdul Razak Hussein iaitu Tan Sri Abdullah Ahmad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayesha, Kok Lanas di Kota Bharu. Jenazah Allahyarham Abdullah, 79, selamat disemadikan pada pukul 11.30 pagi selepas selesai solat jenazah di masjid berkenaan yang dibina oleh Abdullah. Allahyarham meninggal dunia pukul 1.15 tengah hari di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur akibat penyakit kanser.
     Dari kediamannya di Jalan U-Thant Kuala Lumpur, jenazah Allahyarham dibawa ke Subang untuk diterbangkan dengan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dan kemudiannya dibawa dengan van jenazah ke Masjid Ayesha. Hadir sama di majlis pengebumian itu ialah isteri Allahyarham, Puan Sri Fauzah Mohamed Derus dan tiga orang anak iaitu dua lelaki, Adhha Amir, 47; dan Ahmad Fuad, 42; serta seorang anak perempuan Hamdia Munirah, 45. Turut hadir Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz, Anggota Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad serta anggota keluarga, rakan dan penduduk sekitar Kok Lanas.

     Sementara itu, Fauzah berterima kasih kepada semua pihak termasuk TUDM yang membantu melancarkan majlis pengkebumian jenazah suaminya yang turut dikenali sebagai 'Dollah Kok Lanas'. "Kami tidak dapat membalas jasa baik semua pihak yang membantu menguruskan jenazah Allahyarham. Suami saya telah kembali ke rahmatullah dengan mudahnya dengan izin Allah SWT, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat," katanya. Beliau berkata Allahyarham telah membuat wasiat supaya jenazahnya dikebumikan di Kelantan iaitu di kawasan Masjid Ayesha yang dibinanya selain meminta anggota keluarga menguruskan masjid tersebut selepas pemergiannya. "Saya bersyukur kerana dapat menunaikan wasiat arwah supaya jenazahnya dikebumikan di sini, Alhamdulillah, syukur," katanya.




     Mengenai masjid yang dianggarkan bernilai RM6 juta itu, Fauzah berkata Allahyarham seorang yang suka membuat kebajikan dan selain pembinaan masjid tersebut sudah terdapat tiga surau yang dibina di kawasan Machang. Beliau berkata selain sumbangan dari Allahyarham, pembinaan masjid tersebut juga hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan sahabat-sahabat Allahyarham. "Beliau sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan sumbangan bagi pembinaan masjid ini termasuk daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan sahabat-sahabat Allahyarham, ini kerana beliau tidak mahu bergantung kepada dana dari Majlis Agama Islam yang sudah banyak tanggungjawabnya," katanya.
     Imam 1 masjid tersebut, Abdul Hashim Abdul Aziz berkata Allahyarham Abdullah adalah seorang dermawan dan mengambil berat mengenai kebajikan terutamanya penduduk di sekitar Kok Lanas. "Arwah beli tanah ini (tapak masjid) dan mewakafkannya untuk dibuat masjid, sekarang ini ramai jemaah beribadat di sini tambahan pula ia terletak ditepi jalan utama Kota Baharu-Machang," katanya.
     
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kok Lanas, Nik Zamri Nik Man berkata Allahyarham telah mempopularkan Kok Lanas kerana beliau lebih dikenali dengan panggilan 'Dollah Kok Lanas'. Beliau berkata walaupun Allahyarham banyak tinggal di Kuala Lumpur namun boleh dikatakan setiap bulan beliau pulang ke Kok Lanas dan destinasi utamanya ialah di masjid itu untuk bertemu dan bertanya khabar bersama para jemaah.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *