Monday, March 13, 2017

Hanya Kebaikan Yang Kita Beri

pok jak

RASULULLAH s.a.w bersabda yang bermaksud: “Seorang Mukmin seperti pohon yang ditanam, setiap masa angin kerap meniupnya. Seorang Munafik ibarat tanaman padi, ia tidak akan disentuh melainkan waktu menuai.” (Riwayat Muslim)
Begitulah kehidupan Muslim, selalu diusik dan disentuh dengan pelbagai asbab. Ibarat pohon yang tidak pernah sunyi dari desir angin. Terliuk-lentok dibuai dan dihembus. Namun, akarnya kukuh mencengkam bumi, kuat dan ampuh.
Akar itu seperti hati seorang Mukmin. Tahan usik dan terlindung. Hati yang kuat dan ampuh dipacak iman, dibaja ibadah dan ukhuwwah.
Barangkali acap kali kita merasakan dalam hidup ini kita tidak mendapat apa yang kita inginkan. Apa yang kita rancang tidak menjadi. Apa yang kita beri, tidak seperti yang kita terima.
Allah sedang mendidik hati, biar kukuh memacak ukhrawi. Allah sedang mendidik hati supaya tabah, lantas segala mehnah menjadi mudah kerana sudah terbentur pasrah.
Jika tarbiah dan ujian ini langsung dari Allah, melalui Qadha dan Qadar-Nya, kita mungkin akan terus berusaha untuk pasrah, malah terpaksa pula bersabar kerana tiada kudrat untuk melakukan apa-apa seperti musibah kematian misalnya. Namun, bagaimana pula jika ujian itu datang daripada makhluk atau manusia, yang kita mampu pula untuk membalasnya?
“Tak perlu jujur sangat dalam dunia sekarang ni,”
“Tipu sikit-sikit tak apa, dunia ini penipuan,”
Pelbagai dialog akan muncul melalui pandangan akal, lalu kita sukar mentafsir hakikat, lantas kadang-kadang sudah terhantuk baru terngadah.
Bukankah kejujuran itu sesuatu yang kemestian dan vital tanpa kompromi, dan ia diterjemah oleh baginda Rasulullah s.a.w yang konsisten dalam benar dan jujur apabila bergurau. Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah r.a, maksudnya: “Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, adakah engkau bergurau dengan kami?’ Rasulullah s.a.w menjawab, ‘Aku tidak pernah berkata perihal yang tidak benar’.” (Riwayat Tirmidzi))
Tekan Suis ‘Berhenti’
Tekanlah suis berhenti, dan berfikir sejenak apakah yang perlu kita lakukan. Kawal bicara dalam diri, supaya sentiasa berbaik sangka. Mulakan baik sangka itu dengan Allah, atas segala perancangan dan ketetapan-Nya kepada kita hamba-hamba-Nya.
Sebuah kereta dengan laju memotong kenderaan kita dari sebelah kiri. Spontan kaki menekan pedal brek kereta.
Tekan suis berhenti, dan fikirkan akibat jika kita melayan perasaan amarah kita itu. Kita mungkin menyumpah, sakit hati dan gelisah atau mungkin memilih untuk mengejar kereta itu dan membalas perbuatannya. Fikirkan, mungkin akan berlaku pergaduhan, keganasan, pertelingkahan lantas mengakibatkan dendam yang memudaratkan.
Bayangkan jika kita memilih untuk terus mengejar kereta itu, dan kereta itu laju membelok masuk ke sebuah hospital. Kemudian kita melihat pemandu itu keluar kereta dalam keadaan tergesa-gesa menggendong anaknya yang sedang berlumuran darah dengan wajah yang kesakitan.
Persepsi kita terus berubah, dan pantas pula kita meletakkan diri kita pada situasinya.

Alangkah indah, jika pada mulanya kita memilih untuk bersangka baik dan memaafkan.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *