Monday, March 13, 2017

Bertindak dengan Matlamat di Minda

pok jak

Perhatikan perlawanan bola sepak di televisyen. Bayangkan jika perlawanan selama sembilan puluh minit itu tanpa pintu gol. Semua pemain melakukan pelbagai aksi dan teknik menggelecek selama 45 minit, kemudian disambung selama 45 minit lagi. Namun segalanya seolah-olah tiada berkesudahan atau tiada berpenghujung. Segalanya tampak sia-sia sahaja kerana keputusannya sudah dijangka, sejauh mana pun usaha, teknik, strategi dan kekuatan kerja berpasukan yang mereka lakukan, keputusannya tetap sama, iaitu 0-0!
Ini analogi mudah, bagi menggambarkan kehidupan yang tidak ditentukan arahnya. Kita seolah-olah melakukan sesuatu, tetapi sampai suatu ketika bila sudah penat maka kita akan bertanya dan mengeluh kepada diri kita sendiri.
“Apa yang telah aku lakukan?”
“Aku telah ketinggalan dalam banyak perkara.”
“Banyaknya masa yang telah terbuang.”
Lalu kita seolah-olah terjaga dari sebuah lena yang panjang. Segala apa yang dilakukan ini dahulu seperti mimpi belaka dan kita seolah-olah digerakkan seperti sebuah robot tanpa tahu apatah faham dengan apa yang kita lakukan. Segalanya seperti telah diprogramkan tanpa kita sedari.
Cuba bayangkan apabila kita diminta untuk melengkapkan sebuah jigsaw puzzle. Kita sangat teruja, memandangkan sebelum ini kita sudah berpengalaman menyusun dan melengkapkan sebuah jigsaw puzzle. Kita bersemangat untuk memulakannya.
Lalu kita pun diberikan sebanyak 1000 keping jigsaw untuk dilengkapkan tetapi tiada gambar yang dipaparkan sebagai panduan untuk kita menyiapkan jigsaw tersebut. Bagaimana mungkin kita ingin menyiapkannya tanpa gambaran jelas tentang apa yang kita mahu susun dan lengkapkan? Tanpanya, sudah tentu kita tidak tahu di mana mahu bermula.
Matlamat di Minda
Kenapa kita perlu mulakan di minda?
Ya, kerana di minda itulah terdapatnya keupayaan imaginasi. Keupayaan untuk menggambarkan dan memberi imej terhadap sesuatu yang bukan realiti seperti kata Dr. Stephen R. Covey; ciptaan mental itu sentiasa mendahului ciptaan fizikal.
Mari kita renung sejarah Perang Khandaq, ketika tentera Islam di Madinah sedang berada di hujung tanduk, dikepung oleh tentera musuh dengan jumlah yang ramai di sekeliling Madinah. Rasulullah s.a.w memberikan khabar kepada para sahabat yang sedang berada dalam kegusaran, dengan sabda Baginda s.a.w:

“Kota Konstantinopel akan dibuka. Pemimpin yang menaklukinya ialah sebaik-baik pemimpin dan tentera yang berada di bawah pimpinannya ialah sebaik-baik tentera.” ( Riwayat Ahmad)

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *