Azim Haikal
Kiamat dalam kepercayaan dan sistem akidah
umat Islam pasti akan terjadi. Namun demikian, seringkali kita tertanya-tanya
bila kiamat akan berlaku. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah an Nazi’at
ayat 42 hingga 44 yang bermaksud: “Mereka (yang ingkar) selalu bertanya
kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” (42)
Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat
itu? (43) Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya.”
Sepertimana beberapa perkara lain seperti
jodoh, rezeki dan kematian yang merupakan wilayah ‘misteri’ dan tiada siapa
yang mengetahui melainkan Allah, begitu juga dengan kiamat. Sebagai zat yang
Maha Mengetahui dan Berkuasa di atas segala-galanya, kiamat merupakan hak
mutlak Allah SWT untuk menentukan kiamat dan tiada siapa boleh mencabar dan
mempertikainya.
Meskipun dalam banyak hadis diberi gambaran
mengenai tanda-tanda baik yang bersifat spesifik mahupun yang umum mengenai
kedatangan hari pengakhiran itu, namun hanya Allah jualah satu-satunya kuasa
yang menentukan bila kiamat akan terjadi. Walau bagaimanapun, sebagai seorang
Muslim, kita wajib mengimani ketentuan itu.
Perkara ini ditegaskan Dr Abdul Hayei Abdul
Sukor, salah seorang pakar Hadis di Malaysia yang menyatakan bahawa tiada siapa
mengetahui bila kiamat akan berlaku. Hatta, pernah satu ketika Malaikat Jibril
pernah datang berupa manusia, lalu bertanya Nabi SAW bila kiamat akan
berlaku? Nabi bersabda yang bermaksud:
“Sebenarnya orang bertanya itu lebih tahu dari orang yang ditanya. Bagaimanapun
saya boleh terangkan tanda-tandanya.” Jibril bertanya: “Apakah tanda-tanda
kiamat?,” Rasulullah SAW bersabda, antaranya (1) Apabila hamba melahirkan tuan
masnya (anak hamba menjadi pemerintah), (2) Apabila orang yang dahulunya papa
kedana, bermegah dengan bangunan-bangunan tinggi. Setelah soal jawab selesai
dan beredar dari majlis itu, Nabi memberitahu sahabat-sahabat yang belum
mengenalinya “Orang tadi sebenarnya Jibril, dia datang mengajar agama kepada
kamu.”
No comments:
Post a Comment