Nama : Nik Muhamad Hasif Bin Nik Mohd Adib
No Matrik :14021178
No Siri : 123
Memang bunga dijadikan ALLAH berwarna-warni. Tujuannya
adalah supaya kumbang tertarik dengannya, seterusnya dapat menggalakkan proses persenyawaan
tumbuh-tumbuhan yang berbunga. Keserlahan warna bunga sentiasa akan
menarik perhatian mana-mana kumbang untuk datang dekat dan hinggap di atasnya.
Memang itulah fitrah kumbang.
Tarikan yang dihasilkan oleh si bunga jarang dapat dinafikan
oleh si kumbang. Lekas pancaindera si kumbang menangkap kecantikan bunga,
dan dengan lekas juga dia datang menghampiri. Bunga menggoda.
Kumbang tergoda.
Dalam masyarakat kita, ada perumpamaan yang menyerupakan
wanita sebagai bunga dan lelaki pula diibaratkan sebagai kumbang.
Jika kumbang tertarik dengan keserlahan cantiknya bunga,
maka lelaki pula sentiasa tertarik dengan keserlahan cantiknya wanita.
Ini adalah hakikat fitrah kejadian. Apatah lagi jika wanita itu
memakai pakaian yang berwarna-warni dan disolek pula parasnya, tentulah wanita
itu mudah untuk mendapat perhatian lelaki. Memang itulah fitrah
lelaki. Macam kumbang. Tergoda kerana digoda.
Namun, pada hakikatnya bukan itu yang dimahukan syariat
Islam.
Si wanita tidak boleh sewenang-wenangnya memaparkan
kecantikannya kepada mana-mana lelaki. Dan si lelaki pula tidak boleh
dengan mudah-mudah terus menghampiri si wanita yang telah menarik perhatiannya.
Wanita Bukan Bunga
Sifat wanita sepatutnya bukan seperti bunga yang
menonjol-nonjolkan kecantikan untuk dihampiri si kumbang. Bukan!
Menyedari hakikat bahawa lelaki memang mudah tertarik dengan kecantikan dan
keberadaan wanita, maka sebab itulah wanita mesti menjaga diri.
Islam sebagai agama yang sesuai dengan fitrah manusia telah
menetapkan bahawa wanita apabila mahu keluar dari rumah atau berada di hadapan
lelaki yang bukan mahram, hendaklah dia meneliti akan beberapa hal.
Antaranya adalah cara berpakaian dan pembawaan diri. Penampilan wanita
tidak boleh sehingga menarik perhatian kaum lelaki.
Jika para wanita menafikan bahawa perhiasan dan warna-warni
yang terdapat pada pakaian mereka bukan bertujuan menarik perhatian lelaki,
penafian itu sebenarnya tidak bererti kerana ia telah pun menarik perhatian
lelaki samada sengaja atau tidak sengaja. Memang lelaki secara fitrah
mudah tertarik pandangan dan perhatian mereka kepada wanita yang cantik, apatah
lagi yang berpakaian berwarna-warni, berperhiasan dan seumpamanya.
Justeru, wanita mesti menjaga diri sebagaimana yang telah
dianjurkan Islam. Tundukkanlah pandangan, tutuplah aurat, bersederhanalah
ketika berpakaian, jangan tonjolkan bentuk dan penampilan serta malulah.
Jagalah syariat ALLAH. Jika para wanita jaga syariat ALLAH terutama
dalam hal berpakaian yang sedang kita bincangkan ini, nescaya ALLAH akan jaga
mereka di dunia dan di akhirat.
Lelaki Bukan Kumbang
Bukan sahaja wanita mesti menyedari hakikat di atas, bahkan
lelaki juga mesti menyedari bahawa mereka tidak boleh disamakan dengan tabiat
si kumbang.
Apakah tabiat si kumbang? Jika kita lihat tabiat
serangga ini, mereka secara tabi`i memang mudah teransang dan tertarik dengan
warna-warni serta kecantikan. Mereka datang menyinggah, mengucup dan
menyedut apa-apa yang bernilai pada si bunga, kemudian pergi menghinggap ke bunga
lain pula dengan perbuatan yang sama.
Adakah sifat lelaki begitu?
Tentu sekali bukan! Lelaki tidak wajar dengan
sewenang-wenangnya menghampiri wanita yang dia tertarik dengannya. Akal
dan hati yang dikurniakan ALLAH pada manusia lelaki mesti berfungsi baik
sebagai manusia. Bukan berfungsi sebagai kumbang atau lain-lain serangga
dan haiwan. Ada pertimbangan yang mesti didahulukan.
Islam telah menggariskan panduan buat lelaki bahawa dia
mesti menundukkan pandangannya dengan tujuan supaya hati dan imannya terjaga.
Persoalan baik, buruk, halal, haram, syurga dan neraka mesti berselang-seli
melintasi akal dan hatinya. Bukan sahaja tidak boleh bagi si lelaki
menghampiri dan menyentuh wanita (bukan isterinya), bahkan dia mesti segera
mengalihkan pandangannya ke arah lain bagi tujuan menjaga hati dan iman.
Malah, jika dia berminat ingin menyunting wanita yang
diminati tersebut sebagai isteri, dia mesti selidik dahulu samada wanita
tersebut sudah bersuami atau belum. Dan jika belum, mesti diselidik pula samada
sudah dipinang orang lain atau belum. Ada peraturannya. Ada
batasnya. Jika mahu berjaya di dunia dan di akhirat.
Ya, lelaki bukan seperti kumbang yang apabila dia berasa
hendak terus pergi dan terjah. Tidak! Lelaki beriman bertindak
sebagaimana yang dikehendaki ALLAH kepadanya.
Sekali lagi saya ingin menekankan bahawa lelaki-lelaki dan
wanita-wanita yang beriman hidupnya bukan persis serangga dan bunga.
Mereka adalah makhluk mulia yang ada peraturan khas sebagaimana disebut
di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Tidak boleh semborono. Tidak boleh
ikut sedap rasa. Tidak boleh bertindak secara kehaiwanan. Tindakan
mereka mesti rasional, waras dan berlandaskan syariat.
Semoga tulisan ini bermanfaat buat semua, terutamanya para
pemuda dari kalangan lelaki dan wanita beriman, in shaa’ ALLAH.
No comments:
Post a Comment