Monday, March 13, 2017

Rezeki, Berkat & Apa Pula Untukmu ?

NAMA: ABDUL AZIZ BIN MUHAMMAD
NO SIRI: 111

Telah banyak kali rasanya disebutkan oleh ribuan malah jutaan ilmuan Islam di seluruh dunia, bahawa menderma dan bersedeqah itu menambahkan rezeki dan bukan mengurangkannya.
Namun sudah tentu akan tetap wujud individu yang masih belum mampu memperolehi keyakinan bahawa rezekinya akan bertambah apabila menghulurkan sejumlah wang yang diusahakan dengan penat lelah itu.

Ini berlaku biasanya, disebabkan oleh minda individu terbabit yang mengecilkan skop rezeki hanya kepada penilaian naik turun harta dan wang di hadapan mata. Akibat dari itu, apa yang berkurang akan dirasa sentiasa menurun. Perasaan itu terus menerus mengunci dirinya untuk bersedeqah dan menyumbang, malah lebih serius apabila ada sebahagiannya menahan diri dari berbelanja untuk diri dan keluarganya.

MAKSUD REZEKI DALAM ISLAM
Bagaimana sebenarnya maksud rezeki di dalam Islam?
Rezeki di dalam Islam bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta'ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam.  Hakikatnya orang yang ‘memberi' dan menyumbang akan memperolehi pulangan dari Allah dalam bentuk yang amat pelbagai, juga mencakupi material dan spiritual.

Namun sebelum itu, perlu difahami, sebagaimana rezeki yang tidak boleh dikecilkan skopnya hanya kepada harta, begitu juga ‘pemberian' dan ‘sumbangan' yang juga tidak terhad kepada wang dan harta.

Apa yang jelas, semua jenis ‘pemberian' dan ‘sumbangan' itu adalah amalan kebajikan apabila ia menepati dua syarat yang paling minima iaitu :-
1)    Ikhlas kerana Allah
2)    Ia berupa sumbangan ke arah kebaikan berdasarkan penilaian hukum Islam.
Justeru, apa sahaja yang disumbangkan, sama adaidea, ilmu, teguran, nasihat, tenaga untuk kerja, masa, perasaan, emosi dan sebagainya untuk membawa kebaikan untuk Islam, ia adalah sumber terbukanya rezeki di sisi Islam. Ia juga merupakan sumber kewujudan unsur ‘berkat' di dalam kehidupan dan harta.
APA ITU BERKAT ?
Setinggi-tinggi darjat insan soleh, dia mampu mengekang dirinya di ketika menyumbang dari terpengaruh oleh fikiran atau bisikan seperti, "apa balasannya di  dunia"?. 
Apa yang akan menjadi dorongan dan motivasi utama hanyalah apa yang bakal diperolehi di akhirat. Bukan ganjaran di dunia yag difikirkan. Apa yang diinginkan untuk dunianya hanyalah memperolehi rezeki yang BARAKAH atau berkat.
Walaupun begitu, tidak ramai manusia yang mampu mencapai darjat tersebut, dan masih ramai individu soleh yang melakukan kebaikan, namun masih sering terfikir-fikir tentang ganjaran buatnya untuk dinikmati di dunia ini lagi
WHAT YOU GET BACK?
Hasilnya, ramai yang bertanya berkenaan ‘what will you get back?'
Bagi membuka minda kita semua akan bentuk-bentuk balasan yang mampu diperoleh hasil dari segala sumbangan kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. Secara ringkas, saya bahagikan ganjaran yang boleh diperolehi sejak dari alam dunia ini lagi, semua ganjaran-ganjaran ini mempunyai dalil dan athar yang tersendiri, namun bagi mengelakkan terlalu panjang, saya tidak menyertakan semua dalilnya. Balasan tersebut adalah seperti berikut :
a.      Keberkatan dalam kehidupan berkeluarga
Rumahtangga kita didamaikan oleh Allah dari sebarang pergaduhan besar yang meruntuh kepercayaan dan kebahagian si suami, isteri dan anak.
Hati dan fikiran dikurniakan ketenangan yang akhirnya memberikan kesan positif kepada produktiviti kita di tempat kerja dan tugas, lalu mendapat kenaikan gaji dan pangkat.
  b.     Kesihatan
       Allah selamatkan kita dan keluarga dari penyakit.     Dikurniakan zuriat yang sihat dan jika sakit sekalipun, ia tidak seteruk mereka yang lebih parah sakitnya.
c.      Harta
·       Dihindar dari mendapat kerjaya yang haram dan terselamat dari sebarang jawatan atau kenaikan pangkat yang memudaratkan masa hadapan. Perlu diingat bukan semua kenaikan pangkat itu baik untuk hati dan jiwa manusia, ada sebahagian besar jawatan yang menghancur dan mengubah habis jiwa kebaikan dalam diri seseorang kepada jiwa penerima rasuah, tamak, rakus kuasa dan sebagainya.
·       Direndahkan minat dan nafsu kepada harta dan pendapatan haram serta diberi kekuatan untuk istiqamah dalam yang halal. Inilah yang boleh digelar sebagai salah satu dari cabang ‘zuhud', iaitu kebebasan jiwa dan hati dari keterikatan dengan harta dunia. Jika diperolehi, syukur dipanjatkan, jika ia hilang dan pergi tidaklah terlalu ditangisi.
Namun perlu diperhati sejelas-jelasnya, ayat di atas mensyaratkan seseorang untuk menjadi ‘BERTAQWA' sebagai jalan dibuka jalan kemudahan dan kebaikan dari pelbagai sumber tidak dijangka. Tidaklah sama sekali tepat pandangan ramai yang mengaitkan ‘gantung' ayat tersebut di rumah dan kedai sebagai cara meningkatkan rezeki dan pendapatan, tanpa bersifat taqwa di dalam kerjaya, perniagaan dan tugasan. Sedangkan hakikatnya, taqwa itulah kuncinya, bukan dengan menggantung ayat tersebut dan sebagainya. 
        Kesimpulannya ,terlalu banyak cara dan kaedah untuk Allah membalas baik sangka hambaNya dan amalan kebaikan hambaNya. Sama ada di dunia atau akhirat.


No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *