FARHAN ROSLI
Langkasuka
(atau mengikut Tarikh Fathani transliterasi Wan Mohd Shaghir 1998, ejaannya
Langqasuka sebab jawinya huruf qaf bukan kap) ialah sebuah kerajaan Hindu-Budha
Melayu yang kawasannya ialah utara Semenanjung Malaysia (Perlis, Kedah, Perak
Utara, Trengganu dan Kelantan dan seluruh Thai Selatan sekarang (Pattani,
Yala=Jalor, Narathiwat=Teluban, Songkhla=Songgora dan Satun = Setol). Pusat
pemerintahannya di Patani (walaupun ada segelintir sejarawan mengatakan Kedah)
yang wujud sejak kurun ke-1M hingga ke-8M walaupun namanya kekal hingga abad
ke-15M. Nama kerajaan ini daripada perkataan Sanskrit: langkha yang bermakna
“tanah yang indah permai” dan sukkha bermakna “suka” atau “bahagia”. China
dahulu merujuk kerajaan ini sebagai Lang-his-chia atau Langya-hsiu/Lang-Ya-Hsiu
(tetapi mengikut Tarikh Fathani, China juga merujuknya sebagai Caihatu/Cai Ha
Tu). Tulisan Hindia dahulu menyebut nama kerajaan ini sebagai Ilangâśogam.
Pengembara China terawal ada mencatatkan lawatannya ke Langkasuka pada tahun
200M. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, salinan tertuanya bertarikh 1598 yang
disimpan di UKM dan versi terbaru dalam Rumi diterbitkan 1998 oleh Yayasan
Karyawan dan UM) ada menyatakan Langkasuka terletak di negeri Kedah (kawasan
tebing sungai Merbok) hingga ke pantai Laut China Selatan. Tidak syak lagi,
inilah sumber yang menyokong pihak yang mengatakan pusat Langkasuka itu di
Kedah, tetapi banyak sumber lain yang tidak menyokong hipotesis ini. Bukti
konkritnya ialah prasasti yang dijumpai di Jerang dan Djere/Jere (di Patani)
dan buku Negarakertagama (karya Prapanca 1365, dalam bahasa Jawa Kuno yang
dijumpai di Lombok 1894) yang menyatakan Jerang dan Jere (di Patani) ialah ibu
kota Langkasuka.
Seorang
raja Langkasuka bernama Bhaga Datta 515M masih beragama Hindu Brahma, tetapi
setelah Srivijaya menakluk satu tempat penting Langkasuka yang bernama Ligor
(kini namanya Nakorn Sri Thamarat) pada 775M dan mengembangkan penaklukannya
hingga merangkumi Patani sekarang maka Langkasuka mula meninggalkan Hindunya
dan bertukar kepada Budha. Sejak abad ke-8M itulah Langkasuka membayar
upti/ufti kepada Srivijaya. Mengikut Zulkifli (t.t), yang dipetiknya drp
catatan China, kerajaan ini mencapai pembangunan budaya dan ekonomi yang tinggi
dan beragama Budha. Abad ke-8 mula di bawah Sailendra dan Sriwijaya. Sekitar
abad ke-11 berada di bawah Rajendra Chola raja India Selatan. Ada catatan
sejarah Pali India abad ke-15M bahawasanya ada seorang raja Melayu Ligor
bernama Sujitaraja (beragama Budha) berkahwin dengan puteri Khmer dalam separuh
kedua abad ke-10M. Keakraban Langkasuka dgn Khmer berlarutan hingga abad ke-11M
dan mendapat sinergi yang kuat daripada persemendaan/perbesanan ini.
Raja
terakhir Langkasuka atas nama raja Patani ialah Phya Tu Nakpa yang memeluk
Islam pada 1457 dan menukar namanya kepada Sultan Ismail Shah Zolallah fi
al-‘Alam dan Fatani Dar al-Islam (Ahmad ‘Umar 2002). Akan tetapi mengikut
Hikayat Merong Mahawangsa raja Langkasuka yang pertama memeluk Islam ialah yang
bernama Phra Ong Mahawangsa pada 1136 dan menukar namanya kepada Sultan
Mudzafar Shah (Dipetik drp ensiklopedia Wikipedia di Internet 1.13). Ibrahim
(1950/1961) menyebut nama raja Patani yang pertama masuk Islam itu ialah Raja
Antira/Indera dan menukar namanya kepada Sultan Muhammad Syah. Namun mengikut
Ahmad ‘Umar (2002) raja-raja ini orang yang sama sahaja kerana nama
anak-anaknya sama sahaja. Kerajaan Patani wujud hingga 1902 dan separuh
daripada kesultanannya amat rapat dengan Kesultanan Kelantan. Namun banyaklah
sumber lain lagi yang menyatakan Islam bertapak di Langkasuka/Patani sejak abad
ke-11M lagi (contohnya buku Abdullah 1992). Ada pula sumber lain lagi yang
dipetik oleh Ibrahim (1950/1961) menyatakan ada raja di Patalung/Batalung (di
daerah Kerajaan Langkasuka dan nampaknya lebih awal daripada Phya Tu Nakpa itu)
yang beragama Islam dan bernama Sultan Sulaiman. Nama Langkasuka hilang
sebaru-barunya selepas abad ke-15M ini dan diambil alih oleh nama barunya,
Petani atau Patani. Nama Petani atau Patani ini kemudiannya di-Arab-kan menjadi
Fatani/Fathani, atau ejaan kami, Fatdani (oleh sarjana Patani terkenal Syeikh
Ahmad al-Fatdani pada akhir abad ke-19M). Sejak abad ke-20 nama itu
di-Siam-kan/di-Thailand-kan menjadi Pattani. Sesungguhnya antara abad ke-15M
hingga abad ke-18M Patani menjadi sebuah kerajaan yang terkenal sehingga
menjadi pusat tamadun rumpun Melayu hingga abad ke-20M dengan kemunculan
puluhan sarjana agungnya yang bernama akhirnya al-Fatdani seperti Syeikh Daud
al-Fatdani (yang termasyhur seantero dunia Islam dan hidup dalam 1769-1847, dan
Syaikh Ahmad al-Fatdani (yang terkenal sebagai sarjana polimates sehingga ada
yang mengatakan beliau menguasai puluhan bidang ilmu, di samping juga seorang
pejuang bahasa dan kebudayaan Melayu sepanjang hidup dalam 1856-1908) yang
senarai penuhnya dicatatkan oleh Ahmad Fathy al-Fatani (2002). Ada banyak
cerita asal-usul nama negeri Patani seperti daripada “pantai ni” dan “pak
tani”. Dalam manuskrip Ceritera Negeri Patani (nampaknya lain daripada Hikayat
Patani yang lebih masyhur itu kerana lamanya buku ini ditulis, mungkin setua
Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang 1612 itu, dan menjadi satu daripada
manuskrip Jawi Melayu yang tua, malah salinannya yang ada di Library of
Congress AS bertarikh 1730; lain juga daripada Tarikh Fatani karya Syeikh ‘Ali
bin Wan Muhammad al-‘Abbasi sekitar 1450-1500M yang salinannya oleh Syeikh Daud
al-Fatdani bertarikh 1228H/1813M itu (mengikut Wan Mohd Shaghir 1998) yang
dipetik oleh Ibrahim (1950/1961) itu, raja yang pertama membuka Patani ialah raja
keturunan negeri “Kota Mahligai” di daerah Perawan (drp perkataan Siam: Pra
Wang) yang bernama Raja Seri Wangsa, dan ini sama dengan yang tercatat dalam
buku Sejarah Melayu itu yang disebut sebagai Raja Seri Bangsa.
Raja-raja
Patani (Langkasuka Islam) bermula dengan Sultan Ismail Shah ialah
anak-cucu-cicit-ciak-ciut-nya Sultan Muzafar Shah (menyerang Siam 1563 dengan
200 buah kapal dan ribuan tentera dan menawannya sekejap sebelum dikalahkan
balik oleh Siam beberapa tahun kemudiannya), Sultan Mansur Shah, Patik Siam,
Raja Bahadur dan diikuti oleh raja-raja perempuan atau ratu-ratu Patani: Raja
Hijau (mulai 1584), Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning (mati 1651) yang
dianggap zaman keemasan Patani. Siam menggelar ratu-ratu ini sebagai Phra Nang
Cao Yang yang bererti Baginda Raja Perempuan, tetapi kemudian di-Melayu-kan
kepada “Raja Nan Cayang”. Memang ada ahli sejarah yang menamakan raja-raja
perempuan itu dengan nama Ratu seperti Ratu Hijau dsbnya itu, tetapi ini bukan
nama rasmi dan penulis itu dipengaruhi Inggeris yang merujuk raja-raja itu
sebagai Queen itu. Zaman keemasan inilah Patani menyerang/diserang Siam 1603,
1632, 1634 dan 1638 dengan kemenangan Patani, walaupun Siam mendapat
pertolongan Belanda (secara sulit). Kehebatan Patani dalam teknologi terpancar
daripada masyhurnya mariam ciptaannya yang diberi nama Seri Negara, Seri Patani
dan Mahalela. Kekuatan tentera Patani terbukti daripada kemampuannya mengerah
ratusan ribu asykar dan pahlawannya dan kekuatan bentengnya yang terkenal
Benteng Raja Biru. Tetapi mulai akhir abad ke-17M Patani mulai merosot dan pada
1785 Patani ditakluki, dan pada 1909 Inggeris menyerahkan Patani kepada Siam
dalam percaturan politik liciknya di atas kelemahan raja-raja dan pemimpin
Melayu. Kekayaan dan kebobrokan raja Patani pada zaman Raja Kuning ada
digambarkan oleh seorang Inggeris bernama Hamilton yang melawat rasmi ke Patani
apabila beliau mencatatkan adanya ‘sebuah caping emas” yang dibuat oleh Raja
tersebut yang “besarnya satu hasta beratnya lima kati”.
Dalam Perang Dunia Kedua, seorang
putera mantan Raja Patani terakhir sebelum terjajah (Tengku Abdul Kadir
Kamaruddin) yang berpangkat Major dalam pasukan tentera British di India Force
136 Maj. Tengku Mahmood Mahyideen namanya, sungguh memberi harapan besar kepada
rakyat Patani membebaskan dirinya dari Siam kerana kemarahan British terhadap
Siam yang menyebelahi Jepun. Tengku Mahmood Mahyideen telah mengemukakan rayuan
kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil wilayah kerajaan Patani
dahulu itu dan digabungkan dengan Tanah Melayu (Malaya) dan usahanya itu memang
diketahui oleh pasukan pembebas Patani yang bergerak sejak awal penjajahan Siam
ke atas Patani itu. British difahami oleh Tengku Mamood Mahyideen sebagai
membayangkan persetujuan rayuan ini. Sesuai dengan Perisytiharan San Francisco
pada bulan bulan April 1945 oleh Kuasa-Kuasa Berikat yang menerima prinsip hak
menentu nasib sendiri daripada belenggu penjajahan, maka pada 1 November 1945,
sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, telah
mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di
Selatan Siam dibebaskan daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan
Semenanjung Tanah Melayu. Namun apabila Perang Dunia tamat pendirian British
terhadap Siam turut berubah. British mahu kepentingannya di Asia Tenggara ini
masih terjamin. Siam menggunakan senjata berasnya ke atas tanah jajahan
Inggeris di Asia Tenggara untuk tujuan politiknya. Kerajaan British juga
berpendirian perlunya dia mengubah dasarnya terhadap Siam atas desakan
sekutunya, AS, yang mahu mengekalkan pengaruhnya ke atas wilayah Siam seperti
sebelum Perang Dunia dahulu. Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di
Tanah Melayu sendiri pada tahun 1948, menjadi faktor berubahnya dasar British
di Tenggara Asia khususnya terhadap nasib Patani. Dalam hal ini, British mula
menganggap Siam sebagai negara penampan ancaman Komunis China ke Asia Tenggara.
Justeru, British bertekad untuk memastikan kestabilan politik Siam dan memihak
Barat. Khususnya, British berpendapat kerjasama dengan Siam amatlah perlu bagi
menghapuskan kegiatan penganas-penganas Komunis di perbatasan Tanah Melayu
dengan Siam itu, dan Patani wajarlah dikekalkan dipangkuan Siam!
Dengan perkembangan ini, maka
selepas Persidangan Songkla pada awal Januari 1949, pihak British di Tanah
Melayu atas kehendak pihak Siam mula mengambil tindakan terhadap
pemimpin-pemimpin pejuang Patani. Pertubuhan pembebasan Patani diharamkan dan
Tengku Mahmood Mahyideen terus ditekan, manakala ramai para pemimpin barisan
pejuang patani termasuk ketua pejuang dan ulama Patani yang bernama Haji Sulung
dihukum penjara dan akhirnya mati tanpa kubur. Pergerakan politik Patani
semakin lemah dengan kematian Tengku Mahmood Mahyideen sendiri pada tahun 1954
(mati dibunuh juga). Sejak itu pemberontakan para pejuang Patani hanya
bertindak sebagai perjuangan gerila yang kekuatannya ibarat air pasang-surut
sahaja sehingga sekarang. Satu kisah perjuangan Patani 1902-2002 yang cukup
komprehensif dan apadat dapat ditelaah dalam buku Ahmad ‘Umar Capakis (2002),
yang antara lainnya menceritakan dasar dan perjuangan beberapa barisan
pembebasan patani seperti GAMPAR (Gabungan Melayu Patani Raya) yang ditubuhkan
pada 1948 di Kelantan dengan pemimpin pertamanya Nik Mahmud Abdul Majid yang
berjuang untuk menyatukan Patani dengan Malaya/Persekutuan Tanah Melayu, BRN
(Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani yang ditubuhkan pada 1960 yang
berjuang untuk autonomi Patani, yang pemimpin pertamanya Tg Abdul Jalaludin,
dan yang terkenal hingga sekarang, PULO (Patani United Liberation Organisation)
yang ditubuhkan pada 1967 untuk berjuang bagi kemerdekaan Patani yang diketuai
pertamanya oleh Tg Bira Kutanila.
No comments:
Post a Comment