Ditulis : LUKMAN BIN MOHD ZULKIFFLI
No siri : 122
No matrik : 14021085
Pada suatu hari, seorang budak lelaki telah ditangkap oleh
ahli jemaah masjid kerana telah mencuri duit dari tabung masjid. Apabila
mendengar berita tersebut, ahli-ahli jemaah masjid yang lain menjadi marah,
malah ada yang mahu memukul budak lelaki tersebut.
Pengerusi masjid apabila mendengar hal itu, telah meminta
semua bertenang, bersabar dan jangan memukul budak itu. Beliau meminta
supaya budak itu dibawa kepadanya untuk disoal selidik.
“Adik, kenapa adik mencuri?” tanya pengerusi masjid
tersebut.
“Ayah tak bagi duit. Esok cikgu nak duit kena beli
buku.” jawab budak lelaki tersebut.
Si pengerusi masjid apabila mendengar penjelasan budak
lelaki tersebut, lantas sebak lalu menitiskan air mata. Beliau sedih
kerana pada saat masjid dapat berbelanja membeli makanan yang banyak untuk ahli
jemaah berbuka puasa, tetapi ada rupa-rupanya anak kariahnya yang tidak mampu
membeli buku sekolah.
Setelah disoal selidik akan latar belakang budak tersebut,
si pengerusi masjid tersebut kemudian menyatakan sesuatu yang di luar
kebiasaan, iaitu melantik budak tersebut sebagai ‘anak angkat masjid’.
“Baiklah, mulai hari ini kami isytiharkan kamu jadi ‘anak
angkat masjid’. Kalau kamu perlukan duit nak beli buku, baju sekolah atau
makanan kamu datanglah jumpa saya. In shaa’ ALLAH, pihak masjid
bantu. Tetapi dengan syarat kamu mesti datang bersolat lima fardhu di
masjid secara berjemaah dan menyertai semua majlis-majlis ilmu di
masjid.” Kata pengerusi masjid itu.
Budak lelaki tersebut setuju. Dan sejak itu, budak tersebut
selalu ke masjid. Malah dialah yang datang awal ke masjid untuk buka
pintu, hidupkan lampu, pasang kipas, susun sejadah dan sebagainya.
Lama-kelamaan peribadi budak lelaki tersebut semakin baik lantaran hatinya yang
semakin terdidik dengan masjid.
ALLAHU AKBAR!
Kisah di atas telah saya dengar dari Sheikh Dr `Abdul Basit
`Abdul Rahman – hafizohullah – di beberapa tempat yang beliau ceramah (lebih
kurang begitulah kisahnya).
Kisah yang diselitkan beliau itu benar-benar menyentuh hati
saya. Ia menyuntik kesedaran kepada saya akan keindahan berdakwah secara
lembut, sabar dan berhikmah. Bukan dengan kekerasan. Apatah lagi
dengan kelemahan kita pada hari ini yang selalu tidak selidik terlebih dahulu,
terus mahu menghukum.
Moga-moga contoh kehikmahan dari kisah di atas dapat kita
sama-sama pelajari dan mencetus di hati kita akan kepentingan berdakwah secara
lembut dan hikmah.
Agaknya apakah pula yang akan terjadi jika budak tersebut
dimarahi dan dipukul? Mungkin pengerusi masjid tersebut dapat memberikan
pengajaran dan amaran kepada lain-lain agar tidak mencuri, tetapi mungkinkah
budak lelaki tadi terdidik sebagaimana kisah di atas?
Tidak rasanya. Entah-entah mungkin dia akan menjadi
seorang manusia yang sangat berdendam dengan masjid, bukannya seorang yang
hatinya dekat dengan masjid. Itulah perbezaan antara bertindak dengan
kekerasan dengan kehikmahan. Natijahnya berbeza.
Sebenarnya jika kita susuri hadith-hadith Nabi Muhammad
sallAllahu `alaihi wa sallam, banyak pengajaran bagaimana untuk kita berhikmah
dalam berdakwah. Banyak contoh-contoh yang telah ditinggalkan oleh
Baginda untuk kita ikut dan amalkan. Para sahabat sentiasa jatuh hati
dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam lantaran kelembutan Baginda
dalam mendidik dan mengajak.
Indahnya kelembutan dakwah.
Semoga catitan ini bermanfaat, in shaa’ ALLAH. Dan
semoga kita semua diberikan hidayah dan taufiq oleh ALLAH Ta`ala, amin…
No comments:
Post a Comment