Monday, March 13, 2017

DITIMPA DEMAM SEPANJANG HAYAT

Nama:Siti Fatimah Azzahra Bt Bahari
No Siri: 004
No Metrik:15021415

Namanya ialah Abu Tufail Ubay bin Ka’ab bin Qis bin ‘Ubaid al-Anshari al-Khazraji. Beliau ialah Sayyid al-Qurra’ (pemimpin para pembaca al-Quran)
Tubuhnya sederhana,tidak terlalu gemuk dan tidak pendek. Meskipun begitu beliau sangat disegani dalam kalangan para sahabat.
Beliau dibesarkan di Madinah. Kebanyakkan waktu dalam hidupnya digunakan untuk bertadabbur dan berinteraksi dengan alam.

Beliau cenderung untuk hidup menyendiri dan menjauhi orang ramai kerana penumpuan dan hobinya adalah belajar, membaca dan menulis. Terdapat riwayat dalam al-Isabah karangan Ibn Hajar yang menunjukkan bahawa sebelum Rasulullah diutus, beliau amat suka mengkaji kitab Taurat yang didapati daripada jirannyaseorang Yahudi di Yathrib. Meskipun demikian, beliau tidak terpengaruh dengan pemikiran Yahudi. Bahkan daripada apa yang dibaca, berasa  buntu kerana tidak menemui jawapan terhadap apa yang difikirkan, tentang kejadian langit dan bumi, malam dan siang, serta pelbagai kejadian makhluk yang amat mengagumkan.

Pada suatu malam Allah telah melorongkan laluan hidayah kepadanya untuk menerima ajaran Islam. Beliau mendengar khabar tentang kerasulan Muhammad s.a.w. Beliau telah pergi kepada sahabatnya Sa’ad bin al-Rabi’ untuk bertanya tentang Islam. Sa’ad telah pun menerima Islam setelah terpegun dan menyakini dakwah Nabi yang dilakukan dengan cara hikmah, nasihat yang baik dan akhlak yang menawan hati. Setelah mendengar penjelasan Sa’ad, akhirnya dengan penuh kesedaran beliau memeluk Islam, lalu beliau pergi menghadap Rasulullah dan menyatakan baiah kepada Rasulullah s.a.w.

Suatu hari Rasulullah bertanya kepadanya: “ Wahai Abu Munzir! Manakah ayat dalam kitab Allah yang paling besar?”. Beliau menjawab: “ Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
Rasulullah mengulangi pertanyaan tadi: “Wahai Abu Munzir! Apakah ayat dalam kitab Allah yang paling agung?”Beliau menjawab: “Allah, tidak ada tuhan selain-Nya Zat yang hidup dan memberi kehidupan.”

Kemudian Rasulullah menepuk dadanya dengan tangan Baginda seraya berkata: “Semoga Allah memberikan keberkatan ilmu, wahai Abu Munzir!”. (Rasulullah menggelarkannya dengan Abu Munzir, bermaksud bapa pemberi peringatan).
Pada waktu Rasulullah keluar dari Madinah, Beliaulah yang menggantikan Nabi s.a.w untuk menjadi imam solat. Kerana ilmunya yang dalam juga, Rasulullah melantiknya untuk menguruskan para duta yang dihantar untuk mengajarkan al-Quran ke seluruh pelosok tempat.
Lagi yang berkaitan dengan kehebatan peribadinya sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ambillah al-Quran (belajarlah) daripada empat sahabat; Ibn Mas’ud, Salim hamba kepada Huzaifah, Ubay dan Mu’az bin Jabal.”
Umar bin Khattab berkata: “Ketua (sayyid) umat Islam ialah Ubay bin Ka’ab.” Sayidina Umar al-Khattab juga telah memintanya agar terlibat dalam pengumpulan al-Quran.
Antara kelebihan Ubay ialah kemampuannya dalam berpidato sehingga menyebabkan apabila dia mengemukakan bicara di hadapan jumhur, maka mereka semua mendongak dan telinga dipasang kerana terpukau dan terpikat. Ini kerana keikhlasannya dalam menyampaikan Islam.
Tatkala wilayah Islam bertambah meluas dan dilihatnya sebahagian kaum Muslimin mula menyeleweng dengan mengampu para pemimpin, Ubay tampil dengan nasihat-nasihat yang tegas: “Celakalah bagi kamu! Tetapi saya tidak menyesal melihat nasib mereka, hanya yang saya sayangkan ialah kaum Muslimin yang berada diambang bahaya disebabkan oleh mereka!”
Kerana kesolehan dan ketaqwaannya, Ubay selalu menangis setiap kali teringat akan Allah dan hari akhirat.
Antara kata-kata motivasinya adalah:
“Dulu (sebelum Rasulullah wafat), kita semua bersama Rasulullah dan pandangan kita selalu sama (bersepakat). Setelah Baginda meninggalkan kita, pandangan kita selalu berlainan, ada yang menoleh ke kanan dank e kiri.
“Sesiapa meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah akan gantikan dengan lebih baik dari arah yang tidak diketahui. Dan sesiapa yang bakhil terhadap rezeki Allah nescaya Allah akan ambil daripadanya dari arah yang tidak diketahui.” (Safwah al-safwah,Jil 1,hlm.198)
Beliau adalah antara sahabat yang berdamping rapat dengan Rasulullah dan telah meriwayatkan sekitar 164 buah hadis daripada Baginda s.a.w.
Dalam riwayat hidupnya seperti yang terdapat dalam alIsabah, beliau pernah bertanya kepada Rasulullah tentang penyakit yang menimpa seseorang. Baginda s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Ia adalah kafarah (penghapusan) terhadap dosa seseorang itu.”
Mendengar penjelasan Baginda itu, Ubay telah memohon kepada Allah agar ditimpakan sesuatu penyakit yang akan menghapuskan dosa-dosanya. Beliau telah ditimpa demam yang berpanjangan hingga hari beliau kembali kepada Allah. Menurut riwayat, badannya sentiasa panas seperti demam kerana doanya agar dihapuskan dosa-dosanya. Benar sekali sabda Nabi s.a.w. dalam sebuah hadis riwayat Muslim no. 2575, maksudnya: “Janganlah kamu mencela demam kerana demam itu akan menghapuskan dosa-dosa sepertimana api menghilangkan kotoran-kotoran pada besi.”

Beliau wafat pada tahun 21 Hijrah ketika pemerintahan KhalifahUthman bin Affan.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *