Nama: Siti Nabilah Binti Lah Jaafar.
No.Siri: 024
“Cinta”. Perkataan yang biasa kita dengar dan
ungkapkan. Setiap manusia yang berpeluang hidup di muka bumi ini pasti
mengalami perasaan cinta. Manusia memang dilahirkan secara fitrahnya
mempunyai perasaan cinta.
Seorang ibu sanggup berkorban nyawa untuk anaknya
kerana cintanya kepada anak. Seorang bapa sanggup berkorban harta dan
tenaga kerana perasaan cintanya kepada keluarga. Seorang penuntut sanggup
mengharungi susah dan payah kerana cintanya kepada ilmu.
Seorang perwira sanggup berkorban jiwa kerana cintanya kepada
tanahair. Seorang hartawan sanggup berkorban masa dan maruah kerana
cintanya kepada harta. Dan seorang pencinta kononnya sanggup merentasi
lautan berapi lantaran cintanya kepada kekasihnya. Secara dasarnya, kita
sanggup berbuat apa sahaja kerana ingin menjaga dan mengejar cinta.
Itulah cinta. Ia fitrah. Dan ia juga
boleh menjadi fitnah. Ia boleh menjadikan seseorang mulia atau
hina. Ia bisa merubah manusia menjadi lebih baik di sisi Tuhan dan
manusia. Dan ia bisa juga menjatuhkan nilai seseorang dari sudut
pandangan Tuhan dan manusia.
Sudah lama kita menjalani kehidupan ini. Dan
sudah banyak kali perkataan ‘cinta’ kita ungkapkan dan luahkan. Di
kesempatan yang terbatas ini, marilah kita bermuhasabah. Muhasabah
tentang cinta. Mudah-mudahan muhasabah ini bisa menyedarkan kita semua
akan di mana letak duduknya rasa cinta kita? Di tempat yang
sepatutnyakah? Atau sudah tersasarkah cinta kita selama ini?
1. Orang yang beriman sangat
cinta kepada ALLAH
Firman Allah
SWT yang bermaksud: “Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah
tandingan-tandingan selain ALLAH; mereka mencintainya sebagaimana mereka
mencintai ALLAH. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta
kepada ALLAH...”
(Surah ke-2, al-Baqarah: ayat ke-165)
2. Amaran Kepada Yang Meletakkan Cinta
Kepada Mahkluq Melebihi Cinta Kepada ALLAH
Firman Allah
SWT yang bermaksud: “Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak,
saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu
usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang
kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari ALLAH dan Rasul-NYA dan dari
berjihad di jalan-NYA, maka tunggulah sampai ALLAH mendatangkan keputusan-NYA.”
Dan ALLAH tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
(Surah ke-9, at-Taubah: ayat ke-24)
Cukuplah dengan 2 ayat al-Quran di atas bagi kita
mula bermuhasabah. Jika selama ini kita telah meletakkan cinta dan
perhatian kepada makhluq, nah mulai hari ini marilah kita letakkan semula rasa
cinta dan kasih itu di tempat yang sepatutnya. Menyedari bahawa
meletakkan cinta kepada ALLAH mengatasi segala-galanya, kita mesti membuktikan
rasa cinta itu. Tidak cukup dengan hanya kalimah “aku cintakan ALLAH”
atau “ALLAH adalah segala-galanya buatku” atau seumpama dengannya. Ia
mesti dibuktikan!
ALLAH subhanahu
wata’ala telah berfirman di dalam al-Quran tentang pembuktian cinta kepada
ALLAH adalah dengan mengikuti segala suruhan dan perintah yang disampaikan oleh
Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam:
Firman Allah
SWT yang bermaksud: Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH,
ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah ke-3,
ali-Imran: ayat ke-31)
Justeru, bagi
merealisasikan rasa cinta kepada ALLAH, kita juga mesti meletakkan rasa patuh
dan cinta kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam. Al-hubb (cinta) dan al-ittiba’
(ikut) Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah suatu yang dituntut agama.
Sudah banyak
rasa kecewa menyinggahi jiwa kita. Sudah tidak terkira kita rasa sedih
apabila orang yang kita cintai membuat sesuatu yang tidak kita sukai.
Sudah acap kali kita didatangi keresahan apabila harta yang kita cintai hilang
atau berubah hakmilik. Ya, cinta kepada makhluq pasti mengundang
kekecewaan.
Sekiranya cinta
dan kasih diletakkan kepada ALLAH melebihi rasa cinta kita kepada makhluqNYA,
nescaya kita tidak akan didatangi kecewa. Sedih yang melanda akan segera
terubat apabila cinta kepada ALLAH menguasai jiwa. Malah, jiwa akan hidup
dalam ketenangan dan kemanisan iman akan mula menyerap ke dalam jiwa.
Hadis riwayat
Anas radhiAllahu ‘anhu, dia berkata bahawa Nabi sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
“Ada tiga hal
yang barang siapa mengamalkannya, maka ia dapat menemukan manisnya iman,
yaitu orang yang lebih mencintai ALLAH dan Rasul-NYA daripada yang lain,
mencintai orang lain hanya karena ALLAH, tidak suka kembali ke dalam kekufuran
(setelah ALLAH menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam
neraka.” (Sahih Muslim No.60)
Semoga tulisan
yang ringkas ini bisa mencetus rasa ingin memperbaiki rasa cinta
kepadaNYA. Mudah-mudahn kita semua tergolong di dalam kumpulan manusia
yang meletakkan dambaan cinta dan redha ALLAH sebagai yang utama, amin…
WAllahu A’lam.
Sumber: SHAHMUZIR
NORDZAHIR
No comments:
Post a Comment