DISEDIAKAN OLEH : HAELAH BINTI KORSENG
NO.SIRI : 074
NO.MATRIK : 14021245
SESUNGGUHNYA orang yang memiliki ketajaman mata hati mengakui
bahawa bencana dan seksa Allah tidak hanya dalam bentuk kelaparan, sakit,
miskin dan muflis. Sesungguhnya bencana paling hebat ialah azab Allah
bersifat maknawi, tidak nampak di mata manusia tetapi kesannya sungguh dahsyat
dirasai.
BERSYUKUR KEPADA ALLAH BUKAN SAJA KETIKA SENANG TETAPI JUGA PADA
SAAT MENGHADAPI UJIAN-NYA.
Ia boleh membuat hati mereka tertekan seperti disebut dalam
al-Quran yang bermaksud:
"Barang siapa yang Allah menghendakinya mendapat petunjuk
nescaya Dia melapangkan dadanya untuk menerima Islam. Siapa yang dikehendaki
Allah mendapat kesesatan nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit
seolah-olah ia sedang mendaki ke langit."
(Surah Al-An'am, ayat 125)
Walaupun semua nikmat dunia sudah dimiliki dada rasa sempit, susah,
takut, risau dan sedih. Bukankah perasaan itu adalah azab yang bersifat
maknawi? Apakah lagi azab Allah yang ditimpakan kepada manusia supaya mereka
beringat?
Azab di hati, tidak berasa manisnya iman. Mengapa orang yang lalai
kepada Allah hidupnya bergelumang harta dan kuasa? Tidak nampak kesusahan pada
wajah mereka, sentiasa sihat dan gembira dengan apa dimiliki. Tetapi benarkah
mereka bahagia?
Mana mungkin harta boleh membeli ketenangan jiwa, bahkan hakikatnya
semua yang ditonjolkan adalah palsu belaka. Hati mereka menjerit dikejar rasa
bersalah, diburu bayang-bayang dosa dan maksiat yang dilakukan.
Nurani yang bersih sentiasa berbisik bahawa mereka melakukan
kesilapan memilih jalan sedangkan nafsu yang keji cuba menjerat dengan pelbagai
kenikmatan sesaat. Memang mereka menikmati segalanya tetapi jiwa tidak pernah
puas, hampa dan kosong.
Allah menyeksa dengan cara mengunci mati hati mendapat hidayah-Nya.
Azab Allah membuat hidup seseorang tidak menentu, tertekan, tersesat tanpa
kuasa yang boleh menolongnya selain Allah.
Jika Allah cabut kemanisan iman dari hati, sesungguhnya Dia
mengazab mereka secara senyap, ramai yang sembahyang tetapi tidak rasa manisnya
sujud atau khusyuk dan mereka berilmu tetapi tidak mengenal jalan menuju Allah.
Mereka kaya tetapi tidak merasai keberkatan hartanya. Mereka
kepenatan mengejar dunia, menitiskan air mata untuk dunia, risau dan takut
kerana dunia, berjuang untuk dunia, sakit dan akhirnya mati untuk dunia tanpa
melalui kemanisan saat beribadah dan kenikmatan memuji Allah.
HATI TEMPAT JATUHNYA IMAN
Hati tempat jatuhnya rahmat dan azab Allah. Alangkah ramainya
manusia yang tidak menyedari dirinya sedang diazab kerana dosa membutakan hati
sehingga tiada mampu membeza manakah salah satunya, antara rahmat atau azab?
Kata-kata pendeta Bani Israil dalam kitab Ibnul Qayyim Al-Jauzi,
'Shaydul Khatir': "Oh Tuhanku, aku sering berbuat maksiat tetapi mengapa
tak kunjung datang azab-Mu menimpaku? Dikatakan kepadanya: Betapa banyaknya
azab Allah menimpamu, tetapi engkau tidak tahu bahawa itulah azab Allah.
Tidakkah engkau merasa dihalang dirimu merasai kenikmatan bermunajat
kepada-Nya?"
Orang berilmu buta hati jika ia menganggap dirinya sentiasa
dirahmati Allah walaupun maksiat menghiasi peribadi, apatah lagi orang awam
yang kering iman lagi jahil. Walaupun mesti bersangka baik kepada Allah, jangan
sampai dia langsung tidak kisah dengan karat maksiat dan hanya berlagak umpama
suci dalam debu.
Semakin dia rasa tidak kisah dengan maksiat itu, semakin hatinya
kotor dan tidak layak dijatuhi pandangan rahmat-Nya. Kemudian dia tidak mampu
lagi membeza mana rahmat dan mana azab, akhirnya buta hati.
SETIAP PERISTIWA MENGANDUNGI HIKMAH
Azab di mata, tidak mahu membaca hikmah peringatan Allah. Setiap
peristiwa mesti mengandungi hikmah untuk kebaikan manusia. Ujian dan azab yang
dideritai adalah bentuk tarbiah berkesan untuk menyedarkan kesilapan manusia.
Tetapi, ada pula orang yang semakin diuji semakin teruk
kesesatannya, bahkan berterusan melakukan maksiat. Azab di atas azab! Apabila
sakit yang dideritai, kehilangan harta, kegagalan hidup dan ajal maut sama
sekali tidak menyedarkan bahawa semua itu adalah peringatan Allah.
Padahal duri yang mencucuk kulit itu menyimpan petanda peringatan
daripada Allah bahawa manusia memang lemah, miskin dan tidak berupaya melawan
kehendak Allah. Orang yang degil dan derhaka anggap semua itu lumrah hidup
tiada campur tangan Allah.
Ketika sakit dia menyumpah seranah, jika rugi dia membuat
penyelewengan demi mendapat keuntungan secara haram, jika dizalimi dia membalas
dendam dengan kezaliman yang lebih teruk ke atas orang lain.
KESESATAN TIDAK BERAKHIR
Tidak ada kamus taubat dan insaf dalam hidupnya. Mereka tidak mahu
mengambil pelajaran kisah penyelewengan manusia yang berakhir dengan
kesengsaraan dunia akhirat. Mata, telinga, hati dan akal dikurniakan Allah
untuk mendapat hidayah tidak dimanfaatkan sehingga kesesatan tiada berakhir.
Firman Allah yang bermaksud:
"Perumpamaan mereka seperti orang yang menyalakan api, maka
selepas api itu menerangi sekelilingnya Allah hilangkan cahaya (yang menyinari)
mereka, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka
tuli, bisu dan buta."
(Surah al-Baqarah, ayat 17)
Mengapa manusia mudah tertipu? Bukankah mereka tahu musuh paling
berbahaya ialah iblis dan syaitan tetapi mereka menjadikannya teman setia?
Manusia juga dibekalkan syariat, hati dan mata. Justeru, dengan modal itu
mereka pula semakin tersesat.
Orang Islam mengetahui syurga dan neraka, tetapi ramai pilihannya
selalu silap. Mereka tahu dunia ini palsu dan menipu tetapi di situlah mereka
memuaskan nafsu. Jadi, bagaimana menyelamatkan diri daripada kebodohan sendiri
yang selalu tertipu sebelum azab datang?
Setiap kali mengulangi dosa dan maksiat kepada Allah, cubalah ancam
diri sendiri. Awas! Jaga-jaga kuasa Allah boleh menarik balik semua yang anda
miliki. Bayangkan perkara negatif terkena pada tubuh, harta, anak, isteri dan
keluarga, kedudukan serta kuasa.
AL-QUR'AN - PETUNJUK & PENYELAMAT
Apabila seseorang hidup dalam zon selesa dan tidak pernah mengancam
diri maka keadaan ini membuatnya hanyut, lalai dan lupa daratan. Jika dia
sentiasa berjaga-jaga dan suka menakutkan diri, ia sebagai langkah pencegahan
sebelum kemurkaan Allah tidak dapat dibendung. Cara paling berkesan untuk
mengancam diri dengan azab Allah ialah dengan mentadabburkan al-Quran.
Sesungguhnya al-Quran bukan hanya membawa khabar gembira kepada hamba Allah
yang beriman bahkan ada ayat ancaman supaya manusia tidak leka dibelai dunia.
Sedikit tertawa dan banyak menangis adalah wasiat Rasulullah SAW supaya manusia
suka mengancam dan memperingatkan diri dengan seksa Allah yang begitu pedih.
Ketinggian akhlak manusia bergantung dengan seberapa kerap dia
bersyukur kepada Allah. Orang itu layak dipanggil manusia paling mulia dan tahu
mengenang budi. Sesungguhnya manusia tanpa sifat syukur seperti penderhaka yang
mengambil kesempatan dan menikam dari belakang.
Walaupun ilmu menjulang ke langit, harta setinggi gunung, kuasanya
segagah ruang angkasa tetapi jika sifat kufur mengatasi segala-gala maka dia
menjadi sehina makhluk pada pandangan Zat Yang Maha Pemberi Nikmat.
LEBIH BAIK HIDUP SEBAGAI CACING YANG SEDAR DIRI
Lebih baik hidup sebagai cacing yang sedar diri sambil berzikir
pagi dan petang mengingat jasa baik Allah memberinya makanan di dalam tanah.
Walaupun syukur sang cacing tidak dibalas dengan nikmat di akhirat tetapi dia
pandai berterima kasih kepada Allah atas rezekinya dalam tanah. Cacing hanya
makan kotoran tetapi pandai bersyukur.
Manusia jauh lebih baik makanan dan nikmat hidup yang dianugerahkan
Allah tetapi betapa sedikitnya yang pandai bersyukur. Syukur bermakna berhias
dengan lidah yang memuji saja tanpa sepatah pun mencela perbuatan Allah ke atas
diri kita, berhias dengan perbuatan mengikut undang-undang Tuhan sekali gus
menolak logik manusia yang bodoh berlagak tahu segala-gala.
Syukur itu perhiasan paling cantik jika dipakai, ilmu bermanfaat
jika diamal dan akhlak indah pada pandangan Tuhan, bahkan ia boleh menahan azab
yang turun dari langit. Allah berfirman yang bermaksud:
"Jika kamu bersyukur, Aku tambahkan nikmat-Ku namun jika kamu
kufur sungguh azab-Ku amat pedih."
"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..." Sebaik-baik
manusia itu adalah mereka yang memberi manafa'at kepada manusia lain.
No comments:
Post a Comment