NAMA : FATIMAH
BT ABDULLAH
NO MATRIK :
14021114
NO SIRI : 040
JIHAD
adalah salah satu kewajipan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. kepada umat
Islam di dalam kehidupan dunia ini sebaris dengan kewajipan lain seperti solat,
puasa, zakat, haji dan sebagainya. Apabila ditinjau di dalam al-Quran terdapat
lebih dari 70 ayat yang membicarakan tentang jihad pada jalan Allah. Ini
merupakan satu petanda yang mengisyaratkan kepada kepentingan jihad dan
keutamaannya di sisi Islam sebagai salah satu paksi utama di dalam menegakkan
agama Islam.
Firman Allah
S.W.T. dari surah al-Hajj ayat 78 yang bermaksud: "Dan berjihadlah kamu
pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad. Dialah (Allah) yang telah memilih
kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan dia tidak menjadikan kamu
menanggung sesuatu keberatan dan kesusahan dalam perkara agama..."
Walaupun jihad
merupakan antara tuntutan yang fardhu (wajib) ke atas umat Islam, namun umat
Islam kini hampir melupakan tuntutan jihad ini dalam kehidupan mereka seharian.
Kalaupun ada segelintir yang melaung-laungkan slogan jihad namun mereka
tersalah tafsir atau menyempitkan ruang lingkup pengertian jihad dari pandangan
Islam yang sebenarnya. Kesemua ini berpunca dari kejahilan umat Islam sendiri
yang semakin jauh dari ajaran Islam. Akibatnya berlakulah perpecahan,
kemunduran, kemiskinan dan sebagainya di kalangan umat Islam yang akhirnya
membawa kepada kejatuhan dan kelemahan umat Islam itu sendiri. Oleh itu, adalah
menjadi kewajipan setiap individu muslim untuk kembali kepada ajaran Islam yang
tulin sebagaimana yang disampaikan oleh baginda Rasulullah S.A.W. kepada
umatnya.
Jihad menurut
pengertian Syara’ ialah berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai
sesuatu matlamat yang disasarkan dalam menegakkan agama Allah S.W.T. di atas
muka bumi ini. Berdasarkan kepada pengertian tersebut jihad amat memerlukan
pengorbanan daripada seseorang muslim sebagai bukti kepada keteguhan imannya
dan kesungguhannya untuk merealisasikan cita-cita Islam. Perlu diingat
pengorbanan tersebut bukan hanya sekadar mengorbankan nyawanya sahaja bahkan
ianya juga merangkumi kesanggupan seorang muslim membelanjakan harta benda,
menyerahkan tenaga, masa dan pemikirannya ke jalan Allah S.W.T.
Setengah ulama’
menggariskan lima jenis jihad seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan
al-Sunnah, iaitu :
1. Jihad dengan
ucapan.
2. Jihad dengan
pendidikan.
3. Jihad dengan
kuasa pemerintahan.
4. Jihad dengan
politik.
5.
Jihad dengan harta benda
Sehubungan dengan
itu, konsep jihad di dalam Islam amat luas pengertiannya. Ianya bukan hanya
sekadar berjuang di medan peperangan untuk menegakkan agama Allah semata-mata
malah jihad juga merangkumi perjuangan menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar,
jihad melawan nafsu, berjihad menyatakan kebenaran Islam, berjihad menghapuskan
kezaliman dan penindasan, berjihad menentang musuh-musuh Islam dan sebagainya.
Jihad dalam
Islam meliputi segala usaha dan perjuangan yang menjuruskan kepada tertegaknya
agama Allah S.W.T. sebagai teras utama yang mendasari kehidupan umat manusia
sejagat. Perlu difahami bahawa konsep jihad juga ialah bersungguh-sungguh dalam
melaksanakan setiap perkara yang dapat meninggikan kalimat Allah S.W.T. dan
agama-Nya. Ini bermakna kita mestilah membuktikan bahawa Islamlah yang paling
mulia dan tinggi dari sekalian agama yang lain di dalam segala bidang.
Usaha-usaha
jihad ini adalah amat luas dan kemuncaknya ialah berdakwah dan berjuang di
jalan Allah. Tidakkah Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:
"Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang
zalim". Melihat kepada keadaan umat Islam kini, sebenarnya umat Islam
wajib menghidupkan kembali Roh jihad dalam jiwa dan sanubari mereka kerana
memandangkan mereka kini begitu jauh ke belakang dan ketinggalan dalam arus
persaingan dunia tanpa sempadan.
Ini adalah
kerana usaha untuk memartabatkan kembali keunggulan Islam dalam semua lapangan
hidup tidak dapat tidak jihad dan usaha yang bersungguh-sungguh semestinya
digembelingkan di kalangan umat Islam agar segala perancangan ke arah
kecemerlangan akan dapat dicapai akhirnya. Justeru itu, umat Islam perlu
menginsafi bahawa kesempatan berjihad pada jalan Allah amat luas berdasarkan
kepada kemampuan dan kesediaan yang ada pada setiap individu muslim.
Sebagai
contohnya, golongan yang berada dituntut mengorbankan harta bendanya. Golongan
ulama’ dituntut berjihad dengan ilmu, tenaga dan masanya untuk kerja-kerja
Islam di mana mereka sewajarnya aktif untuk berdakwah menyeru umat manusia ke
arah menghayati dan beramal dengan Islam dalam kehidupan mereka. Bagi pihak
yang berkuasa pula menyeru kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar
serta berusaha untuk menyebarkan ajaran al-Quran dalam masyarakat, adalah termasuk
juga di dalam erti kata jihad yang dituntut.
Untuk mereka
yang berjihad dengan harta benda, masa, tenaga dan fikiran, Allah S.W.T. telah
menjanjikan ganjaran pahala yang besar dan mendapat hidayat petunjuk yang
menyuluhi hidupnya ke jalan yang benar. Selain dari itu dia akan dimurahkan
rezeki di dalam hidupnya dan juga dijamin selamat sejahtera di bawah
perlindungan Allah di dunia dan di akhirat.
Di samping itu
juga terdapat golongan mukmin yang bersedia untuk mengorbankan jiwanya iaitu
sanggup menggadaikan nyawanya demi mempertahankan kedaulatan dan kesucian Islam
dari ancaman musuh. Jihad jenis inilah yang telah dijamin oleh Allah S.W.T.
dengan ganjaran yang amat istimewa sebagaimana termaktub di dalam al-Quranul
Karim. Antaranya penganugerahan mati syahid kepada mana-mana mukmin yang
terkorban dengan niat tulus ikhlas kerana Allah S.W.T. di akhirat kelak mereka
akan mendapat keampunan Allah di samping memperolehi kedudukan yang istimewa
lagi mulia di sisi Allah S.W.T.
Firman Allah
dari surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah
membeli dari orang-orang yang beriman akan diri dan harta benda mereka dengan
balasan bahawa mereka akan beroleh syurga, disebabkan mereka berjihad di jalan
Allah lalu mereka membunuh dan terbunuh, balasan syurga yang demikian itu
sebagai janji benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam kitab Taurat dan Injil
serta al-Quran, siapakah lagi yang lebih benar janjinya daripada Allah, oleh
itu bergembiralah dengan jual beli yang kamu lakukan itu dan ketahuilah bahawa
yang demikian itu adalah kemenangan yang besar."
Tidak
ketinggalan juga baginda Rasulullah S.A.W. pernah ditanya, Adakah amalan lain
yang boleh menyamai jihad? Baginda menjawab: "Kamu tidak akan mampu
menyamakannya. Mereka terus bertanya dan bertanya namun baginda Rasulullah
S.A.W. masih mengatakan kamu tidak akan mampu menyamakannya. Pada kali ketiga
lantas baginda Rasulullah S.A.W. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud:
"Perumpamaan orang yang berjuang pada jalan Allah adalah seumpama orang
yang berpuasa yang bersolat di malam hari, berdiri dengan penuh tulus ikhlas
beribadat kepada Allah dengan membaca ayat-ayat al-Quran, dia tiada
berhenti-henti bersolat dan berpuasa sehinggalah pejuang-pejuang kembali dari
medan perjuangan."
Perlu
ditegaskan di sini bahawa jihad juga adalah bahan binaan kukuh yang mampu
menjulang umat Islam ke arah keunggulan dan kecemerlangan dalam pelbagai
lapangan hidup sebagaimana firman Allah dari Surah al-Ankabut ayat 69 yang
bermaksud: "Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana
Kami (Allah), sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang
menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya Allah
berserta orang-orang yang melakukan kebaikan."
Generasi
Rasulullah S.A.W. dan para sahabat merupakan tauladan terbaik dalam hal ini di
mana semangat jihad di sanubari mereka sentiasa berkobar-kobar untuk berjuang
di jalan Allah S.W.T. Mereka sentiasa mara ke hadapan menungkah arus yang
merentangi mereka dan tidak berganjak ke belakang walaupun selangkah di dalam
perjuangan. Dengan berbekalkan keimanan yang kental, semangat jihad yang
membara dan kesatuan yang utuh, para sahabat mampu merentasi padang pasir yang
kering kontang, mampu menggalas senjata menewaskan bilangan musuh yang jauh
lebih ramai berbanding dengan bilangan mereka, dan akhirnya mereka mampu
mencipta era kegemilangan Islam.
Rahsia kejayaan
generasi silam tidak lain dan tidak bukan ialah kerana berbekalkan keimanan
yang tulus, semangat jihad yang membara di jiwa di samping kesatuan erat yang
terjalin di kalangan umat Islam. Mereka bersatu hati, bermuafakat, bertoleransi
dan berdaya juang dalam kehidupan mereka. Oleh sebab itulah generasi terdahulu
berupaya bangkit sebagai umat yang terbaik dalam sejarah peradaban manusia.
Demikianlah Islam telah mensyariatkan jihad kepada umatnya agar mereka mampu
melonjakkan diri mereka sebagai umat yang terbaik dan umat contoh dalam
pelbagai lapangan kehidupan sejagat. Dengan jihad juga umat Islam akan dapat
merealisasikan cita-cita Islam yang sebenarnya iaitu menegakkan khilafat
Islamiyah di atas muka bumi ini.
Firman
Allah dari surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud: "Kamu diwajibkan
berperang (untuk menentang pencerobohan) sedangkan peperangan itu ialah perkara
yang kamu benci, dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu pada hal ia baik bagi
kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu pada hal ia buruk bagi kamu, dan
(ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya) sedang kamu tidak
mengetahuinya.".
No comments:
Post a Comment