NAMA : NUR IFFAH NADIAH BINTI SUHAILI
NO. MATRIK : 14021254
NO. SIRI : 048
Bila dikaitkan masa dengan akhir zaman,
kita akan dapati sebuah hadis yang membicarakan tentang kesingkatan masa. Sabda
Rasulullah s.a.w maksudnya:”kiamat tidak
akan terjadi sebelum berlakunya kesingkatan masa. Peredaran masa setahun akan jadi
seperti sebulan. Sebulan akan jadi seperti seminggu. Seminggu akan jadi seperti
sehari. Sehari akan jadi seperti sejam. Sejam pula akan jadi seperti tempoh
daun kering yang dibakar.”(HR al-imam Ahmad , No. 10560, Dinilai sahih oleh Al-albani dalam Sahih
al-jami’, No. 7422)
Al-Shaikh Muhammad al-Munajjid hafizahullah
menjelaskan hadis ini dalam portal ‘islamqa’ persoalan no. 34618, bahawa para
ulama telah berselisih pendapat berkenaan maksud kesingkatan masa. Pandangan
yang paling kuat adalah maksud kesingkatan masaini boleh jadi kesingkatan
maknawi atau kesingkatan fizikal.
Kesingkatan masa dari sudut maknawi ertinya
hilang keberkatan pada masa dan ini telah pun berlaku sejak dahulu lagi.
Manfaat yang sepatutnya yang diperoleh dalam satu hari hanyalah sedikit sahaja
iaitu manfaat yang diperoleh dari satu jam sahaja. Pendapat ini merupakan
pendapat al-Qadi ‘iyad, al-imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah.
Beliau menghuraikan lagi bahawa kesingkatan masa dari sudut maknawi juga
membawa maksud kemudahan dalam perhubungan antara tempat-tempat yang jauh. Dua
tempat yang dahulunya memerlukan beberapa
bulan untuk sampai, sekarang hanya memerlukan beberapa jam sahaja. Al-Shaikh
Ibnu Baz menjelaskan bahawa masa jadi singkat di zaman ini dengan terciptanya
peralatan moden seperti kapal terbang , kereta , radio , dan sebagainya yang
menjadikan dunia ini lebih dekat.
Al-Shaikh al-Munajjid menambah lagi bahawa
kesingkatan dari sudut fizikal pula, ertinya adalah masa itu benar-benar
menjadi singkat. Dalam erti kata satu hari itu bukan lagi 24 jam, tetapi lebih singkat
dan pantas. Kesingkatan masa dari sudut ini belum berlaku lagi. Namun tidak
mustahil perkara ini akan berlaku satu masa nanti. Pandangan ini dikuatkan
dengan inti pati hadis berkaitan dajal di mana hari pertama kemunculan dajal
panjangnya seprti satu tahun, hari kedua seperti satu bulan, hari ketiga
seperti satu minggu, jadi sebagaimana hari-hari itu boleh memanjang, ianya juga
boleh menjadi singkat. Ini adalah kerana bila dekat dengan kiamat, sistem alam
ini akan kucar kacir
Seterusnya al-Shaikh Muhammad al-Munajjid
Hafizahullah menekankan bahawa tiada
percanggahan antara pandangan-pandangan ini. Insan yang beriman seharusnya
yakin bahawa keberkatan pada masa,rezeki dan tanaman itu adalah berkait rapat
dengan iman dan sejauh mana kita melaksanakan perintah Ilahi dan menjauhi larangan Ilahi.
Dalilnya adalah firman Allah s.w.t dalam
surah al-‘araf ayat 96 , yang bermaksud : ‘Dan sekiranya penduduk negeri-negeri
beriman serta bertakwa , pastilah kami melimpahkan kepada mereka pelbagai
keberkatan dari langit dan bumi…’
Begitulah huraian para ulama yang menuntut
kita sebagai umat islam untuk memberi penekanan kepada penjagaan masa.
Hendaklah kita sentiasa mengisi masa kita dengan amal soleh dan menjauhi amal
maksiat.
Kunci kejayaan adalah iman berlandaskan
ilmu , amal soleh , dakwah dan sabar. Tanda orang mukmin adalah masanya yang
rapi disusun mengikut kehendak Ilahi dan petunjuk Nabawi. Semoga Allah sentiasa
mengurniakan kepada kita masa yang penuh barakah, supaya di akhirat kelak kita
berada dalam kesejahteraan dan jauh dari kerugian.
Perkongsian yg baik
ReplyDelete