Tuesday, January 10, 2017

Pertunangan dalam perspektif islam

Ditulis Oleh:
Nama:siti rohayuzha bt Mohamed fauzi
Nom matrik:14021162 | Nom siri:035

 Assalamualaikum..Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T saya diberi peluang dan kesempatan pada kali ini untuk berkongsi ilmu yang tidak seberapa ini dengan membincangkan tentang pertunangan menurut perspektif Islam. Diharapkan dengan terbitan bahan dan penghuraian ini, kita sama-sama dapat berkongsi dan menfaatkan ilmu yang ada agar segala tindakan didalam hidup kita akan menjadi lebih teratur supaya tidak melanggar hukum-hukum yang telah digariskan oleh Islam. Pertunangan adalah satu ungkapan yang menyeru kepada pernikahan. Pertunangan ini adalah semata-mata satu perjanjian diantara dua pihak (pihak lelaki dan perempuan) untuk melangsungkan perkahwinan. Pertunangan bukanlah satu akad seperti pernikahan dan memutuskan pertunangan dengan sebab-sebab tertentu bukanlah suatu kesalahan. Dari segi adat melayu, ia merupakan satu ikatan sebelum ke alam perkahwinan. Pemberian cincin semasa pertunangan adalah suatu adat yang diamalkan oleh masyarakat di malaysia (mungkin ianya diambil dari warisan orang bukan Islam) dan ia bukanlah satu syariat yang telah ditetapkan oleh Islam. 

Wali pula ditugaskan untuk menjadi saksi dan sebagai pengesah terhadap satu-satu majlis pernikahan serta memberi persetujuan didalam majlis tersebut. Bagaimanapun, setiap pertunangan haruslah di persetujui oleh seseorang individu itu sendiri dan keputusan bukanlah hanya terletak pada wali. Pertunangan sebenarnya adalah berbentuk satu ikatan diantara seseorang lelaki ataupun perempuan, namun masih mempunyai batas-batas pergaulan diantara mereka. Setiap pertunangan haruslah mengikut hukum-hukum yang telah ditetapkan. Mudahah-mudahan dengan adanya bahan bacaan ini dapat memberi pendedahan kepada para pembaca untuk melaksanakan pertunangan serta batas-batas pergaulan seperti mana yang telah digariskan oleh syarak.

Pertunangan ialah satu proses pra perkahwinan yang singnifikasikan. Dalam islam, pertunangan merujuk kepada perjanjian diantara seorang lelaki dan seorang perempuan untuk berkahwin. Wanita yang boleh dipinang pula perlulah memenuhi syarat iaitu beliau bukan isteri orang bukan tunangan orang bukan mahram kepada lelaki berkenaan dan bukan berada dalam iddah (kematian dan penceraian). Pertunangan membolehkan individu dan keluarga saling mengenal supaya wujud keserasian dalam perkahwinan kelak. Semasa dalam tempoh pertunangan, pasangan perlu mematuhi peradaban dan garis panduan bergaul kerana ia bukan merupakan tiket untuk pergaulan bebas. Pertunangan haruslah disertakan dengan keinginan untuk berkahwin. Ini telah dinyatakan oleh Rasullullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud, maksudnya:

Apabila seorang dari kamu meminang perempuan, sekiranya dia dapat lihat perempuan itu hendaklah dia melihatnya sehingga bertambah keinginan kepada perkahwinan”.


Sebelum meminang, seorang lelaki harus melihat perempuan yang akan dipinang pada muka dan dua tapak tangan sahaja. Dan begitu juga sebaliknya dengan tujuan untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya agar kedua-duanya dapat menepati kehendak dan maksud masing-masing. Menurut pendapat jumhur ulamak, melihat pada perempuan dengan tujuan meminang hanya tertentu pada muka dan dua tapak tangannya. Kerana dengan melihat muka dapat diketahui kecantikan raut muka serta paras rupa untuk calon isteri atau sebaliknya. Sementara melihat kedua tapak tangan bertujuan supaya dapat mengetahui kesuburan badan. Sabda Rasulullah S.A.W, maksudnya:

Apabila salah seorang daripada kamu meminang perempuan maka tidak berdosa atasnya melihat perempuan itu asalkan sahaja semata-mata untuk meminangnya sekalipun dia tidak mengetahui”.

Perlu diingat, walaupun Islam mengharuskan melihat perempuan ajnabi dengan tujuan meminang tetapi janganlah ia mengambil peluang dan mengambil kesempatan untuk memuaskan perasaan atau hawa nafsunya. Malahan menjadi haram semula sekiranya hajat melihatnya itu boleh menjurus ke arah kemaksiatan. Bagi lelaki, keizinan untuk melihat bakal pasangan mereka sebelum bertunang haruslah mempunyai etika-etika yang telah digariskan. Namun keharusan pihak lelaki boleh melihat perempuan yang akan dipinang pada anggota-anggota yang telah disebutkan sebelum ini walaupun dengan tanpa keredhaannya, dan sebaik-baiknya kehadiran pihak lelaki itu hendaknyalah waktu melihat itu dilakukan sebelum meminang, Ini kerana seandainya ia tidak secocok di hati pihak lelaki dengan sebab-sebab yang tertentu bolehlah ia mengundurkan diri tanpa akan menyakitinya. Keizinan untuk melihat bakal pasangan adalah bertujuan untuk mencari kesesuaian serta keserasian. Dalam satu hadis pengertiannya An-Nasa’i meriwayatkan:

Bermaksud: Dari al-Mughirah Ibnu Syu’bah katanya: pada zaman Rasulullah S.A.W aku telah meminang seorang perempuan. Baginda S.A.W lalu berkata: sudahkah kamu melihatnya? Jawab saya: belum. Sabda baginda: tengoklah dia kerana langkah seperti itu boleh membantu kamu berdua untuk lebih serasi”.

Jika pihak lelaki tidak berupaya melihat perempuan yang akan dipinang oleh sesuatu sebab, maka bolehlah ia mengutuskan orang tertentu yang dipercayai sebagai perantaraan untuk pergi melihatnya. Ini supaya orang tadi menerangkan sifat-sifat peribadi serta keadaan perempuan itu yang mana bertujuan untuk mengahwininya. Bagi pihak perempuan pula hendaklah diselidik dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama. Terdapat beberapa perkara yang amat diambil berat oleh Syarak dalam soal pinang meminang antaranya: Peminangan tidak boleh dilakukan kepada wanita yang dipinang oleh seseorang melainkan ianya telah melepaskan hak peminangannya. Sabda Rasulullah S.A.W diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, maksudnya:

Orang muslim adalah saudara orang mukmin, maka tidak halal bagi seorang mukmin meminang seorang perempuan yang sedang dipinang oleh saudaranya hingga nyata sudah ditinggalkan”.

Sebaik-baik pertunangan haruslah berlandaskan garis-garis yang telah ditetapkan serta mengikut hukum syarak. Contohnya seperti:
i. Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang seorang perempuan secara
langsung.
ii. Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada wali perempuan.
iii. Menggunakan pihak ketiga untuk meminang.
iv. Wali menawarkan anak perempuannya kepada seorang lelaki soleh.
v. Perempuan menawarkan dirinya sendiri kepada seorang lelaki soleh.

Selama mana akad kahwin (ijab dan qabul) belum ditunaikan oleh tunang laki dan tunang wanita (belum sah nikah/kahwin mereka mengikut uruf-adat, syarak dan undang-undang), maka keadaan masih seperti hukum asal. Maka Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk berkhalwat (berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah) dengan khatibnya (tunang lelaki) kecuali bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya. Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk bermusafir atau melancong dengan khatibnya (tunang lelaki) kecuali bersama-sama makhtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.

Pada masa kini ibu bapa atau pihak yang menerima pertunangan tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama sebagai pembina utama kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik, perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan saja sebagai syarat yang akan mensejahterakan dan mengukuhkan rumah tangga. Ini boleh dilihat dengan begitu jelas sekali pada hari ini. Kebanyakan ibu bapa mengutamakan kemewahan sebagai penentu kebahagian serta kesejahteraan untuk anak mereka apabila mereka sudah berkahwin nanti. Ibu bapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki itu semata-mata kerana darjat yang rendah. Sebaliknya, mestilah menolak pinangan seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya, berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai harta. Rasulullah S.A.W pernah bersabda bermaksudnya:

"Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya."

Wali ditugaskan sebagai saksi dan pengesah didalam satu-satu majlis perkahwinan ataupun pernikahan. Kebiasaanya wali terdiri daripada bapa pengantin tersebut. Seharusnya setiap pertunangan haruslah meminta keizinan dari pihak perempuan dan bukan hanya wali sahaja. Ini kerana perempuan juga mempunyai hak-hak didalam memilih pasangan mereka. Namun begitu setiap keputusan yang diambil haruslah dirujuk kepada pihak wali. Untuk melakukan perkahwinan, persetujuan perempuan hendaklah diperolehi terlebih dahulu oleh wali. Sabda Rasullullah S.A.W bermaksud:

tidak boleh dikahwinkan mana-mana janda kecuali sesudah di minta arahan daripadanya dan tidak boleh dikahwinkan mana-mana anak dara kecuali sesudah di minta izin darinya. Kata orang ramai, hai rasullullah s.a.w ,bagaimanakah keizinan anak dara itu? Jawab baginda:dengan berdiam diri”.

Walau bagaimanapun para wali sendiri telah digesa oleh Al-Quran supaya jangan menghalang perkahwinan orang dibawah kuasanya. Firman Allah S.W.T bermaksud:

janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh syarak)."

Jika wali yang terdiri daripada ahli keluarga tidak bersetuju dengan keputusan anaknya, kuasa menikahkan akan berpindah ke tangan pemerintah (wali hakim) kerana anaknya (samaada lelaki atau perempuan) mempunyai kuasa mutlak didalam membuat keputusan meskipun ibu-bapanya tidak bersetuju dengan keputusan yang diambil oleh anak mereka itu. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

kalaulah mereka bertelingkah maka pemerintah akan menjadi wali kepada orang yang tidak ada wali

Sekiranya sesuatu pertunangan ataupun perkahwinan tidak dipersetujui oleh anak kepada wali (samaada lelaki ataupun perempuan) meskipun dia telah bertunang atau berkahwin dia boleh meminta cerai atas tiket tiada keserasian yang boleh menyebabkan perbalahan. Terdapat riwayat dari Abu Daud dan Ahmad seperti yang bermaksud:

seorang anak dara telah datang mengadu kepada nabi bahawa bapanya telah mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka kepada perkahwinan itu. Dia lalu diberi pilihan oleh Rasulullah S.A.W”.

Walau bagaimanapun ini bukan bererti perkahwinan seperti itu tidak sah atau terbatal dengan sendirinya tetapi seperti yang dinyatakan dalam hadis-hadis diatas, boleh dibatalkan atas permintaan pihak perempuan. Mengenai keizinan wali pula, hadis-hadis Rasulullah S.A.W menjelaskan bahawa ia adalah perlu untuk menjadikan perkahwinan itu sah. Saiditina Aisyah r.a meriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:

tiada perkahwinan kecuali berwali

Mana-mana perempuan atau lelaki yang berkahwin tanpa keizinan walinya sebanyak tiga kali maka perkahwinannya itu akan terbatal dan perlu menggunakan wali yang lain. Didalam riwayat At-Tirmizi, Aisyah menyebut Rasulullah S.A.W sebagai bersabda:

Mana-mana perempuan pun juga yang berkahwin tanpa keizinan walinya maka perkahwinannya itu batal (tiga kali)”.

Wali tidak perlu menlengah-lengahkan sesuatu perkahwinan atau pernikahan. Ini juga telah diriwayatkan oleh At-Tirmizi didalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

Ada tiga perkara yang tidak patut dilengah-lengahkan (diperlekehkan) iaitu sembahyang, apabila masuk waktunya, pengkebumian apabila telah berlaku kematian dan (perkahwinan) janda apabila sudah ada calon yang sepadan

Setiap pasangan haruslah bijak didalam memilih pasangan mereka. Ini kerana pertunagan adalah merupakan pra perkahwinan, yang menjadi penentu keberkesanan dan kelancaran institusi perkahwinan itu sendiri dan seterusnya akan mencorakkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan. Setiap pemilihan haruslah diteliti dan dihalusi dari segenap aspek, samaada dari segi pegangan agama, kewangan, kemampuan zahir mahupun batin, dan sebagainya. Pasangan yang ingin bertunang perlulah memilih keputusan dengan tepat (sekufu), jika tidak ianya pasti akan mengundang masalah suatu hari kelak. wallah'hualam..

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *