Tuesday, January 10, 2017

KEWAJIPAN REMAJA MUSLIM

Ditulis oleh: 
Nurul Afiqah Binti Mohd Razali                                                                        
No.Siri: 033 | No.Matrik: 14021199

            Golongan remaja merupakan khazanah yang paling bernilai bagi umat Islam. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi pernah berkata, “Sekiranya kita ingin melihat keadaan umat lihatlah remajanya.” Oleh itu kewajipan remaja Muslim pada zaman ini ada empat peringkat mengikut pemikiran imam kita, Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradawi.

            Pemuda Islam pada zaman ini perlu memahami Islam dengan betul. Dia perlu mempelajari Islam dan memahaminya mengikut landasan al-Quran, sunnah dan kefahaman salaf. Apabila seseorang remaja tidak memahami Islam dengan baik, maka ia memberi kesan yang tidak baik pada pemikiran dan gaya hidupnya. Remaja Islam perlu memahami bahawa Islam agama lengkap dan sempurna, merangkumi semua aspek kehidupan. Kefahaman sebegini tidak menuntut pelajar-pelajar jurusan bukan bidang agama meninggalkan bidang masing-masing dengan menumpukan pengajian Islam. Sebaliknya dia hanya perlu memahami konsep secara asas yang memungkinkan dia mendapat gambaran umum terhadap Islam.

            Setelah seseorang remaja memahami Islam dengan baik, maka kewajipan beramal menjadi satu perkara sangat penting. Kita tidak mahu otak remaja hanya dipenuhi dengan maklumat tetapi daripada aspek pelaksanaannya kurang. Sesungguhnya keberkatan ilmu itu apabila diamalkan. Apabila seseorang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmunya maka keadaannya seperti pohon yang tidak berbuah.

            Islam agama yang bersifat tersebar. Maka tidak cukup seorang remaja beramal untuk dirinya sebaliknya turut membawa kebaikan kepada orang lain. Remaja Muslim harus menyampaikan Islam dalam kadar yang termampu. Janganlah hanya beramal untuk diri sendiri dan membiarkan orang lain jauh daripada Islam. Hasan al-Banna berkata, “Perelokkan diri kamu dan dakwahlah orang lain .” Dakwah ini ruangnya luas. Ada yang berdakwah dengan ceramah, menulis dan dengan tindakan. Ada juga yang mengajak kepada solat ada yang mengajak kepada melakukan amal kebajikan.

            Di samping itu, remaja-remaja yang terlibat dalam dakwah perlu bekerja bersama-sama rakan-rakan dalaman dan luaran. Perbezaan kumpulan tidak memudaratkan erti kerjasama sebaliknya mempunyai kebaikan dan faedah iaitu bertukar-tukar pendapat dan buah fikiran. Hal inilah merupakan perkara yang sangat penting dalam hidup kita untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

            Oleh itu, tidak patut golongan yang membawa Islam bergaduh antara satu sama lain sedangkan musuh-musuh mereka boleh bekerjasama antara mereka. Seharusnya kitalah yang paling patut untuk membuka ruang kerjasama antara kita.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *