Ditulis oleh:
Nurul
Afiqah Binti Mohd Razali
No.Siri: 033 | No.Matrik: 14021199
Tidak
terlalu sukar untuk mencari punca gengsterisme. Ianya berpunca daripada
kekacauan dalaman. Perkara ini selaras dengan sabda Rasulullah S.A.W: “ Dalam
hati anak Adam ada seketul daging, jika baik daging itu baiklah seluruh anggota
badan, jika jahat hati itu maka jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah
daging itu ialah hati.” (Riwayat al-Bukhari)
Jika
hati telah jahat, maka itulah yang menimbulkan perbuatan-perbuatan ganas.
Inilah akar semua kejahatan termasuk gengsterisme. Hati menjadi jahat kerana
dihinggapi penyakit-penyakit hati (mazmumah). Penyakit hati itu termasuklah
ego, marah, geram, dendam, hasad, cemburu dan lain-lain. Hati juga menjadi
jahat apabila keyakinan kepada Allah lemah. Keyakinan kepada Allah ini yang
akan membentuk ‘pandangan alam’ dan menyebabkan seseorang individu akan melihat
kehidupan ini dengan kesedaran diawasi oleh Allah S.W.T.
Individu
yang rasa diawasi Allah akan berfikir, menilai, menyaring serta membuat
tanggapan berdasarkan peraturan Allah. Kesedaran inilah yang kemudian akan
membentuk sikap atau tabiat yang menjadi pembentuk tingkah laku. Maka ketika
inilah lahirnya perbuatan, sama ada positif atau negatif. Pada ketika ini,
barulah terserlah kebaikan atau tembelang seseorang.
Walaupun
pada zahirnya kita sedar bahawa gengsterisme ini berkisar pada persoalan sosial
dan keselamatan, namun akar masalah itu berpunca daripada soal pendidikan.
Justeru, penyelesaian masalah tingkah laku manusia perlu ditangani menerusi
kaedah yang bersifat ‘dari dalam ke luar’ (inside-out) bukan dari ‘luar ke
dalam’ (outside-in). Di samping itu, pendekatan penyelesaian gengsterisme kini
kurang atau gagal melihat secara tersirat tentang sesuatu permasalahan.
Berdepan dengan masalah ini, kebanyakan daripada kita hanya melihat akan hal-hal
yang bersifat tersurat. Fokus kita hanya terbatas untuk menangani gejala yang
bersifat luaran. Jarang kita mahu menyelam untuk mencari punca yang bersifat
dalaman. Akibatnya, jalan penyelesaian yang kita pilih selalunya terfokus
kepada soal-soal yang bersifat gimik dan slogan, bukan lagi kepada soal prinsip
atau punca permasalahan.
Oleh
itu, seharusnya masalah dalaman ini dapat ditangani dengan beberapa kaedah.
Perlu diingat bahawa terbentuknya individu yang baik bergantung kepada bentuk
pendidikan yang diberikan. Jika tepat sistem pendidikan yang diberi, maka
baiklah manusia yang dihasilkan. Dalam konteks ini, institusi yang paling
penting dinilai dengan teliti ialah sekolah. Memberi pelajaran dan pendidikan
dua perkara yang berbeza. Memberi pelajaran melibatkan proses menyampaikan
ilmu. Tetapi mendidik satu perkara yang lain. Kekadang proses pembelajaran
tercapai, tetapi proses pendidikan agak terabai. Pencapaian pelajaran boleh
diukur menerusi prestasi dalam peperiksaan tetapi kejayaan pendidikan jauh
lebih rumit. Ukuran tuntas atau tidaknya proses pendidikan itu ialah tahap
akhlak seseorang pelajar. Oleh itu, para guru dan ibu bapa yang merupakan
pendidik dalam institusi pendidikan bernama sekolah dan rumah tangga harus
sama-sama bermuhasabah.
Dalam
pendidikan, faktor yang paling utama ialah pendidik. Ramai orang tersilap,
mengatakan bahawa pendidik dan pengajar itu sama. Namun begitu, terdapat
perbezaan antara pendidik dengan pengajar. Pengajar menyampaikan ilmu kepada
anak muridnya. Dia mengajar ilmu-ilmu tertentu sama ada ilmu agama ataupun
akademik. Matlamat utama pengajar, supaya ilmu yang diberikan itu dapat
difahami dan ‘dituang’ semula semasa peperiksaan. Manakala, pendidik pula lebih
daripada itu. Dia berperanan mendidik jiwa pelajarnya supaya jiwa mereka
terkesan dengan ilmu yang diberikan. Ilmu tersebut dihayati, diyakini dan
kemudian diamalkan.
Maka
tugas pendidik lebih mencabar daripada pengajar. Dia perlu memastikan sesuatu
ilmu itu dihayati, sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak
muridnya. Jika tugas pengajar banyak berlegar ‘di akal’ tetapi tugas pendidik
pula ‘di hati’ – punca segala perlakuan manusia. Pendidik memastikan agar
timbul kemahuan dalam jiwa anak muridnya, sedangkan pengajar hanya berperanan
supaya timbul pengetahuan. Kekuatan ‘kemahuan’ sebenarnya mengatasi
‘pengetahuan’.
Katakanlah
murid telah diajar tentang sifat-sifat sabar. Dia tahu tentang ciri-ciri sabar,
kategori sabar, unsur-unsur yang membawa kepada sifat sabar dan lain-lain.
Tetapi hanya dengan itu mampukah dia bersabar apabila berdepan dengan sesuatu
yang mencabar kesabarannya? Tugas ini tugas pendidik. Hanya pendidik mempunyai
kemampuan untuk memastikan ilmu dapat diamalkan. Cabaran utama dalam sistem
pendidikan secara umumnya ialah kadangkala kita mampu untuk memberi ilmu
sebanyak-banyaknya, tetapi gagal dalam memberi didikan setepat-tepatnya.
No comments:
Post a Comment