Tuesday, January 10, 2017

ISLAM ADALAH CARA HIDUP LENGKAP

Ditulis oleh: 
Nurul Afiqah Bt Mohd Razali                                                                 
No.Siri: 033  |  No.Matrik:14021199


            Islam adalah agama serba lengkap yang merangkumi pelbagai lapangan hidup iaitu aspek akidah, syariah dan akhlak. Rasulullah S.A.W menerima daripada Allah S.W.T satu panduan lengkap melalui al-Quran sebagai sumber rujukan utama Islam. Kemudian, Rasulullah S.A.W diperintah menyampaikan dan mempraktikkan ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran kepada seluruh manusia. Akhirnya, Islam diwarisi secara turun-temurun daripada satu generasi kepada generasi yang lain.

            Islam juga merupakan agama yang memiliki unsur kekuatannya tersendiri. Ianya bersifat unik daripada sudut akidah, ibadat dan juga akhlak di samping syumul atau bersifat terbuka kepada seluruh manusia. Ini bermakna, Islam bukan agama yang khusus kepada orang Arab sahaja atau agama kepada bangsa tertentu. Sebaliknya, Islam adalah agama sejagat tanpa mengira kaum dan warna kulit pada sepanjang zaman.

            Sehubungan itu, Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:
“Dan tiadalah kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).”(Surah Saba’, ayat 28)

            Islam menyeru manusia ke arah dasar persamaan daripada segi kemanusiaan. Mereka perlu sama-sama berganding bahu dan bertolak ansur dalam mendepani perjuangan hidup. Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:
“Wahai umat manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kamu daripada berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang lebih taqwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi mendalam pengetahuan-Nya (tentang keadaan dan amalan kamu).(Surah al-Hujurat, ayat 13)

            Sebenarnya, manusia adalah sama daripada segi asal usul kejadiannya. Perbezaan daripada segi bangsa, warna kulit dan sebagainya bukan bagi menjuruskan ke arah pertelagahan dan permusuhan. Sebaliknya, ianya adalah sebagai jalan ke arah saling mengenal, mencari keserasian dan tolong menolong antara satu sama lain. Ada satu kaedah yang membezakan antara seorang manusia dengan yang lain dari segi asal usul kejadiannya dan juga keistimewaan yang dikurniakan Allah S.W.T iaitu istiqamah (tetap dan berterusan) dalam hidup dan berusaha mencari dan merebut keredhaan Allah S.W.T.

Oleh itu, ini adalah dasar Islam yang tidak mengenal perbezaan kaum, fanatik bangsa, puak ataupun agama. Islam tidak mengiktiraf sebarang penindasan pada saudaranya yang lain kerana semua manusia adalah sama tarafnya. Perkara yang membezakan adalah iman yang bertapak dalam jiwa seseorang dan amalan yang baik lahir melalui anggota tubuh badan.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *