Ditulis Oleh:
NAMA
:AFIQAH BT CHE ABDULLAH
NO.SIRI:023 | NO.MATRIK:14021107
Sekarang musim cuti sekolah. Apabila
cuti sekolah menjelang tiba, maka banyaklah kad jemputan diterima tidak
terduga. Sahabat handai, sanak saudara masing-masing sibuk menjadikan hari
bahagia, sebagai satu kenangan tidak dilupa. Banyak jemputan yang diundang
tidak mampu untuk dipenuhi, sekadar mampu mendoakan, agar bahagia menuju cinta
Ilahi.
Kos Hantaran
Ini bukan isu baru, tetapi makin ramai
pula yang berkongsi keratan akhbar mengenai kadar hantaran mengikut kelulusan.
Saya hanya mampu tersenyum. Kalau lihat pada kadar hantaran serius memang
membujanglah lelaki sampai ke tua.
Saya ada satu cerita yang ingin
dikongsikan bersama anda.
Ketika itu saya baru sahaja selesai
kelas al-Quran dengan ustazah. Tiba-tiba ustazah memanggil salah seorang
sahabat saya yang ketika itu dia sedang berjalan melintasi halaqah kami.
Sengaja ustazah panggil untuk bertanyakan
tentang pengalamannya ketika majlis perkahwinan. Ketika itu kami saling tertawa
senyum.
Terlintas di hati untuk bertanya tentang
kos hantaran kepada ustazah.
“Ustazah kahwin dulu berapa ribu
hantaran?” Soal saya. Tetapi ustazah diam tersenyum. Sehingga rakan-rakan lain
beredar, ustazah membuka cerita.
“Perkahwinan kami simple ikhtiar. Tak
ada bertunang, terus kahwin. Kenal pun sekejap”.
“Hantaran?”
“Tak ada hantaran, beri mas kahwin ikut
negeri.” Balas ustazah. Mendengar jawapan itu, saya terkedu seketika.
Seorang wanita yang berkelulusan
sarjana, dan kini sedang dalam proses menyambung PhD. Seorang hafizah 30 juzuk
al-Quran. Cukuplah yang boleh saya katakan dia mempunyai ciri-ciri seorang
wanita solehah. Kini mereka kekal bahagia sehingga sekarang.
Alhamdulillah.
Itu cerita kos hantaran. Tidak ada
ertinya jika mahu mengulas lagi kerana para asatizah sudah mengulas mengenai
tingginya hantaran perkahwinan. Namun usah disalahanggap bahawa hantaran dan
mahar itu adalah sama.
Hakitkatnya hantaran itu adat, mahar itu
wajib.
Namun persoalannya mengapa kos hantaran
kini terlalu tinggi?
Kos Majlis Perkahwinan
Apabila sentuh soal kos perbelanjaan
majlis perkahwinan, kita mula tergaru-garu kepala. Bagaimana mahu mencari wang
yang kini kos perbelanjaan mencecah belasan ribu ringgit.
Secara puratanya, kos kasar
majlis perkahwinan yang biasa adalah sekitar RM 15 000 ke RM20 000.
Ini standard bagi penduduk luar bandar dan mungkin dalam
bandar. Kos ini dalam anggaran 2000 orang hadirin.
Saya boleh katakan, kos majlis
perkahwinan di belah pihak perempuan boleh diadakan dengan nilai kos RM0
sahaja. Bagaimana? Katakanlah nilai hantaran bagi pasangan ini adalah sebanyak
RM 5 000 sahaja. Jadi kos majlis sekitar RM 15000 – RM 20000.
Maka, pihak belah lelaki secara umumnya perlu
menyerahkan 50% wang hantaran kepada pihak perempuan sekurang-kurangnya
2 atau 3 bulan sebelum tarikh majlis perkahwinan.
Jadi, kos modal permulaan adalah
sebanyak RM 2 500. Pihak pengantin perempuan perlu mengeluarkan kos
tambahan sekitar RM 17 500. Seperti kebiasaannya, ketika majlis
perkahwinan berlangsung para hadirin yang bertandang ke rumah pengantin
akan memberikan hadiah sumbangan dalam bentuk wang.
Katakan wang yang diterima RM10 X 2000
hadirin = RM 20 000. Katakan dalam 2000 orang hadirin hanya 60% peratus sahaja
yang memberikan sumbangan RM10. Maka nilainya adalah RM 12 000.
Jadi wang yang diterima adalah sebanyak
RM12 000 (wang sumbangan) + RM 5000 (hantaran pihak lelaki) = RM 17 000.
Jadi anggaran perbelanjaan kos majlis perkahwinan
RM 20 000 – RM17 000 = RM 3000. Mungkin pihak belah perempuan hanya perlu
mengeluarkan kos sebanyak RM 3000 sahaja. Tetapi jika wang sumbangan
yang diterima lebih banyak dari angka yang dinyatakan, maka secara jelas pihak
perempuan tidak perlu mengeluarkan kos sesen pun bagi majlis mereka.
Ini adalah kiraan kasar berdasarkan
pemerhatian saya sejak dari dahulu lagi. Dan perkara ini memang wujud. Bagi
pihak belah lelaki pula, kos majlis perkahwinan mungkin sedikit kurang setelah
ditolak wang sumbangan yang telah diterima daripada hadirin yang hadir.
Namun jangan disalahanggap mengenai wang
sumbangan ini. Ia bukanlah adat seperti mana yang kita lihat. Tetapi ia berupa
bentuk sumbangan atau hadiah yang diberikan oleh hadirin kepada tuan rumah.
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Setelah Nabi Muhammad SAW
menikahi Shafiyah, pada pagi harinya Nabi pun berkata: “Sesiapa yang memiliki
sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan”. Beliau pun menghamparkan
lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju,
ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun
membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak).”
(HR Imam Bukhari & Muslim)
Tidak salah jika mahu memberi,asalkan
kita ikhlas terhadap diri sendiri.
Jadi timbul pula persoalan di
sini, mengapa perlu mengenakan kos hantaran yang terlalu tinggi kepada
pihak lelaki, sedangkan wang sumbangan juga ada yang memberi. Boleh jadi,
jika dikira-kira ia boleh membuat untung sekiranya melepasi kos modal.
Sebenarnya sengaja saya timbulkan isu
wang sumbangan dalam majlis perkahwinan ini. Saya sendiri kurang pasti adakah
pemberian wang sumbangan ini berlaku di semua negeri atau sesetengah tempat.
Namun, pemberian wang sumbangan terhadap majlis perkahwinan sedikit
sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kos yang dihadapi oleh
tuan rumah.
Kesimpulan
Isu yang pertama, berbaliklah
kepada tujuan yang asal. Tidak terlalu rendah, tidak terlalu tinggi. Anggap
ia satu pemberian hadiah, bukan satu kewajipan. Mahar yang penting.
Isu yang kedua, elakkan membuat majlis seperti medan untuk menunjuk.
Jangan jadikan sebagai satu simbol keuntungan walaupun tidak dilihat dengan
mata kasar. Majlis cuma sehari, nanti tidak pasal-pasal, along datang rumah
berkali-kali
No comments:
Post a Comment