Tuesday, January 10, 2017

Martabatkan kembali tulisan Jawi

Ditulis oleh : Ahmad Aiman Bin Abdul Rashid
No. Matrik  : 14021080  | No.siri : 097

“HIDUP segan mati tak mahu” itulah pepatah Melayu yang sesuai untuk menggambarkan nasib tulisan Jawi ketika ini.

Seperti kita maklum tulisan Jawi telah bertapak di alam Melayu lebih kurang sekitar 700 tahun dahulu berdasarkan kepada penemuan batu bersurat tahun 1303 di Terengganu. Malah, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa tulisan Jawi telah digunakan seawal kedatangan Islam di alam Melayu lagi.

Tulisan Jawi tidak dapat dinafikan merupakan aspek penting dalam mengekalkan identiti budaya Melayu. Hal ini,  dikuatkan lagi apabila tulisan Jawi dikaitkan dengan  kedatangan  Islam dan budaya al-Quran ke Tanah Melayu. Ditambah lagi, menurut catatan pengembara Eropah seperti Magellan, Tom Pires dan Van Ronkel, menggambarkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi diiktiraf sebagai bahasa penghubung utama pada zaman Kesultanan Islam di Nusantara. Tetapi pada hari ini kegemilangan tulisan Jawi umpama melalui zon gerhana yang cukup menyedihkan. Adakah masyarakat kita tidak cukup berbangga dengan zaman kegemilangan tulisan Jawi ketika dahulu yang sentiasa digunakan sebagai jabatan keilmuan. Kemerosotan peranan tulisan jawi di dalam dunia keilmuan dapat dikesan semenjak ketibaan kuasa - kuasa Barat yang mula menjajah Tanah Melayu pada abad ke-18 dan 19.  Pada ketika itu jugalah peranan tulisan Jawi sedikit demi sedikit mula terhakis dari perhatian masyarakat Melayu sendiri. 

Justeru, langkah memartabatkan semula tulisan Jawi wajar dilaksanakan supaya seni warisan ini tidak hanyut ditelan zaman. Banyak pendapat mahu pun cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh para sarjan mahu pun orang perseorangan berkenaan langkah perlindungan tulisan Jawi. Antaranya ialah melalui sistem pendidikan negara. Melalui sistem pendidikan ini kemahiran menulis dan membaca tulisan Jawi mesti dijadikan teras dalam mata pelajaran pendidikan agama Islam di sekolah-sekolah seluruh negara. Ditambah lagi, pengenalan tulisan Jawi perlu juga dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah. Hal ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menangkis dan memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap tulisan Jawi yang dianggap sebagai sinonim dengan agama Islam. Malah, di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam mahu pun Swasta (IPTA/IPTS), langkah memasukkan kemahiran dan sejarah perkembangan tulisan Jawi dalam subjek Tamadun Islam dan Kenegaraan Malaysia adalah wajar sebagai mekanisme untuk memartabatkan tulisan Jawi di peringkat Institusi Pengajian Tinggi di negara ini. Selain itu, kesedaran penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan petunjuk jalan masih kecil bilangannya dan tidak keterlaluan jika dikatakan boleh dibilang dengan jari.


Oleh yang demikian, penggunaan tulisan Jawi ini perlu dipergiatkan usahanya terutama peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan tempatan dalam merealisasikan impian negara bagi menghidupkan semula kegemilangan tulisan jawi yang pernah mencapai puncak kemasyhurannya satu ketika dahulu. Impian ini tidak terlaksana jika hanya dilakukan hanya sebelah pihak sahaja, malah semua pihak perlu berganding bahu tidak apa jua lapisan masyarakat agar tulisan Jawi ini bak kata pepatah Melayu “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *