Ditulis Oleh:
NAMA: NURSYAKIRAH BT MOHD
ZULKIFLI NO SIRI:044
NO. MATRIK:14021139
Sahabat yang dirahmati Allah, Sifat amanah adalah salah satu sifat
orang bertakwa. Amanah bermaksud melaksanakan tugas dengan penuh tanggung
jawab, boleh dipercayai, jujur dan ikhlas. Maksudnya seseorang itu boleh
melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya tanpa
melakukan sebarang unsur-unsur penyelewengan dan tipu helah.
Pentingnya amanah kepada setiap Muslim bolehlah diperhatikan kepada
maksud hadis berikut, daripada Ali r.a katanya, kami duduk bersama Rasulullah
s.a.w , lalu muncul seorang daripada keluarga al-Aliyah dan bertanya kepada
Rasulullah s.a.w.: "Wahai Rasulullah !, beritahulah kepadaku apakah sesuatu
yang palling berat dalam agama dan apakah yang ringan?". Maka jawab
Rasulullah s.a.w: "Yang paling ringan dan mudah adalah mengucap dua
kalimah syahadat,dan yang paling berat ialah amanah. Sesungguhnya tidak ada
agama bagi orang yang tidak amanah." (Hadis Riwayat al-Bazar at-Tabrani)
Hadis tersebut menunjukkan betapa beratnya tanggungjawab untuk
melaksanakan amanah, hingga baginda menyatakan tidak ada agama bagi orang yang
tiada amanah.Tanggungjawab amanah itu menjadi serangkai atau bergandingan
dengan agama. Seterusnya dari Insan r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda
maksudnya : "Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang tiada amanah pada
dirinya dan tiada agama bagi orang yang tidak dipercayai janjinya". (Hadis
Riwayat Imam Ahmad,al-Bazar at-Tabrani)
Kalau diperhatikan daripada kedua-dua hadis yang dibacakan tadi,
tentulah dapat dibuat kesimpulan berhubung dengan keadaan yang berlaku
ditengah-tengah masyarakat kita hari ini. Bagaimana dengan kedudukan orang yang
terlibat dengan kes rasuah, kes pecah amanah yang melibatkan wang berjuta-juta
ringgit sebagaimana yang dipaparkan oleh media cetak, dituntut dan didengar
melalui media elektronik.Tidakkah menunjukkan mereka tidak amanah? Sedangkan
amanah itu sendiri sangat dituntut dalam ajaran Islam?. Di samping itu, marilah
kita perhatikan pula kepada insiden-insiden tidak amanah yang dalam masyarakat
kita, apakah tindak-tanduk kepada mereka yang diamanahkan kuasa benar-benar
melaksanakan amanahnya dengan penuh tanggungjawab?.
Ingatlah! Orang-orang yang tekah melakukan perbuatan khianat atau
tidak amanah akan diisyaratkan dihadapan semua makhluk pada hari pembalasan,
seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a dari Nabi s.a.w sabdanya yang
bermaksud : "Setelah Allah mengumpulkan semua makhluk dari awal hingga
akhirnya, akan dikibarkan bendera hati setiap pengkhianat lalu dikatakan :
"Inilah pengkhianatan sipulan bin sipulan". (Hadis Riwayat Muslim).
Justeru, mahukah kita kalau di hari pembalasan nanti diisyaratkan
sebagai pengkhianat sebagaimana yang disebutkan dalam maksud hadis tadi? Atau
kita bersedia untuk menghindarkan diri daripada terjerumus kedalam golongan
yang dimaksudkan itu?.Bagi menghindarkan diri seseorang daripada diisyaratkan
sedemikian rupa dihari pembalasan kelak, maka tunaikanlah apa yang diamanahkan
selagi ia tidak bertentangan dengan hukum dan syariat serta janganlah
mengkhianatinya.
Firman Allah s.w.t.yang bermaksud : "Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang
berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum diantara manusia (Allah
menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya)
itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah
sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat". (Surah An-Nisa' ayat 58)
Setiap umat Islam dianjurkan berpegang teguh dengan kemuliaan sifat
amanah hinggakan terhadap orang yang mengkhianatinya sekalipun, kita
dinasihatkan supaya tidak bertindak balas dengan cara khianat.Tegasnya sifat
amanah adalah menjadi tunggak kepada kemuliaan akhlak umat Islam.
Sahabat yang dihormati, Setiap yang wajib dipelihara dan ditunaikan
kepada ahlinya merupakan amanah. Seorang pemimpin yang diberi tanggungjawab
untuk memimpin umat adalah amanah. Sekiranya ia tidak menjalankan hukum-hukum
Allah di dalam pemerentahannya maka sebenarnya ia telah menghianati Allah dan
tidak amanah. Inilah bentuk amanah yang paling penting sekali kerana dengan
tertegaknya hukum-hukum Allah maka akan sempurnalah kehidupan manusia.
Dari Ma’qil ra. Berkata: "Saya akan menceritakan kepada engkau
hadis yang saya dengar dari Rasulullah saw. Dan saya telah mendengar beginda
bersabda maksudnya : “Seseorang yang telah ditugaskan Tuhan untuk memerintah
rakyat, kalau ia tidak memimpin rakyat dengan jujur, nescaya dia tidak akan
memperoleh bau Syurga”. (Hadis Riwayat Bukhari)
Membuat ihsan kepada orang perseorangan atau masyarakat adalah
amanah. Memberikan hak kepada yang berhak adalah amanah. Melaksanakan ibadah
dengan ikhlas adalah amanah. Demikianlah luasnya pengertian amanah yang perlu
kita tunaikan.
Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab melaksanakan amanah
umpamanya sebagai suami mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap isterinya
malah sebagai ketua dalam keluarga tersebut, sudah tentu mempunyai tanggungjawab
yang berat untuk melaksanakan amanah terhadap isteri-isteri, anak-anak,
ahli-ahli dibawah peliharaan dan jagaannya. Seorang anak bertanggungjawab
menyara kedua ibu bapanya yang telah tua adalah amanah. Demikian juga bagi
seorang isteri ada tanggungjawab berat terhadap suami dan mengekalkan hubungan
akrab dengan ibu bapa dan keluarga suami. Apabila telah menjadi ibu,
tanggungjawabnya pula semakin bertambah untuk melaksanakan amanah Allah yang
telah mengurniakan anak kepadanya dan mendidik mereka menjadi anak-anak yang
soleh dan solehah.
Sebagai seorang pekerja samaada bekerja dengan kerajaan
atau swasta, bekerja dengan tekun dan jujur, tidak 'curi tulang' adalah amanah.
Jelaslah bahawa amanah merupakan tanggungjawab besar yang mesti
dipelihara,samada berbentuk fizikal atau kebendaan seperti barangan, wang dan
sebagainya atau moral seperti bekerja dengan amanah juga menuntut pelaksanaan
kerja yang cekap, layanan yang ramah dan mesra, menepati masa dan janji
ditunaikan.
Sifat amanah yang menampilkan kemuliaan akhlak serta kesempurnaan
peribadi seseorang Muslim. Dari Ubadat bin As-Samir meriwayatkan bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Berikanlah padaku enam jaminan
dari diri kamu, aku menjamin Syurga untuk kamu: Pertama : Benar bila berkata.
Kedua : Menepati janji. Ketiga : Menunaikan amanah. Keempat : Pejamkanlah mata
kamu daripada yang ditegah (tidak melihat perkara maksiat) Kelima : Peliharalah
faraj (kemaluan) kamu. (tidak berzina) Keenam : Tahanlah tangan kamu. (tidak
mencuri, tidak mengambil rasuah, tidak memukul orang dan tidak menulis sesuatu
berita fitnah) (Riwayat Imam Ahmad,Ibnu Hibban Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
No comments:
Post a Comment