Ditulis oleh:
Nurul Afiqah Bt Mohd Razali
No.Siri: 033 | No.Matrik: 14021199
Masa
remaja merupakan masa peralihan daripada kanak-kanak kepada baligh sehingga
permulaan zaman dewasa. Selama masa remaja ini berlangsung, mereka memerlukan
pembinaan dan pemupukan jati diri daripada orang dewasa di sekeliling mereka.
Pada tahap ini juga, remaja akan mengahadapi banyak permasalahan dalam hidup,
termasuk masalah teman lelaki atau teman wanita, masalah persekolahan, masalah
pergaulan, dan tidak ketinggalan masalah penampilan diri.
Namun
begitu, permasalahan tersebut sebenarnya merupakan proses pencarian jati diri
yang kemudiannya akan membentuk keperibadian mereka apabila dewasa kelak. Remaja
yang berjaya menyelesaikan permasalahan mereka dengan tenangnya dan
berlandaskan nilai murni merupakan remaja yang berjaya mendapatkan jati diri
yang cemerlang.
Jati
diri merupakan proses untuk “menemukan” diri yang sebenarnya. Pada masa
pencarian jati diri ini, remaja berusaha untuk mendapatkan identiti diri yang
diimpikan mereka. Pada masa ini juga, remaja perlu memiliki rasa percaya diri
atau keyakinan diri yang utuh agar mereka tidak dipengaruhi oleh prinsip atau
keperibadian yang tidak baik daripada orang di sekeliling mereka. Remaja yang
berjaya menemukan jati diri yang berkualiti akan menjadi remaja yang cemerlang
dan seterusnya berjaya dalam kehidupan.
Satu
daripada ciri kualiti jati diri remaja cemerlang ialah remaja yang berfikiran
positif. Selain mempunyai kesihatan fizikal, mereka juga sentiasa menjaga minda
dan emosi diri daripada dipengaruhi oleh unsur negatif di sekelilingnya. Dalam
konteks remaja, berfikiran positif merujuk keadaan remaja tersebut menggunakan
kebijaksanaan mereka untuk menangkis perkara yang boleh menjadi penghalang
kepada kemajuan diri.
Pemikiran
positif ini mampu untuk menjadi perisai kepada remaja daripada ancaman
penjajahan minda yang boleh merosakkan diri mereka. Remaja yang sihat mindanya
lebih banyak mendengar daripada bercakap kerana mereka akan berfikir terlebih
dahulu, menganalisis, dan mengetahui sesuatu isu tersebut sebelum memberikan
sebarang tindak balas.
Sebenarnya,
pemerolehan keputusan yang tinggi dalam bidang akademik semata-mata tidak boleh
dianggap cemerlang tanpa mempunyai jati diri dan keperibadian yang berkualiti.
Ramai remaja yang mempunyai jati diri seharusnya menjadi orang yang beramanah,
jujur, ikhlas, bijak mengurus diri, masa dan sumber di sekelilingnya. Di
samping itu, mereka juga sentiasa berusaha untuk membaiki dirinya ke arah yang
lebih baik. Selain itu, remaja ini rajin, bersemangat tinggi dan sentiasa taat
kepada tuntutan agama, selain mentaati kedua ibu bapa mereka.
No comments:
Post a Comment