NAMA:JUHADA AKILA BINTI ABDUL HADI
NO MATRIK:14021172
NO.SIRI:021
1. Definisi Ilmu Pengetahuan
Perkataan ilmu dari sudut bahasanya adalah berasal daripada
perkataan arab iaitu calima, yang bererti mengetahui atau perbuatan yang
bertujuan untuk mengetahui tentang sesuatu dengan sebenarnya. Sementara ilmu
dari segi istilah memberi erti tentang segala pengetahuan atau kebenaran
tentang sesuatu yang datang dari Allah s.w.t yang diturunkan kepada
rasul-rasulnya dan alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek
lahiriah dan batiniah.
Secara umumnya, ilmu didefinisikan sebagai pengetahuan dan
kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah
dan metod tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait
dengan bidang ilmu tersebut. Ilmu pengetahuan pada lazimnya terdapat dalam dua
bentuk iaitu ilmu pengetahuan nyata (explicit knowledge) dan ilmu pengetahuan
tidak nyata (tacit knowledge). Ilmu pengetahuan nyata boleh didapati
kebanyakannya dalam bentuk dokumen bercetak manakala ilmu pengetahuan tidak
nyata pula terdapat dalam idea, minda, amalan harian, pengalaman, memori dan
seumpamanya yang kebiasaannya sukar dilihat dengan mata kasar. (Noraziah Sharuddi,
2002)
Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan
dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian
barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas
tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi
oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris. Kewujudan perkara lain di luar
keupayaan pancaindera tersebut dianggap bukan fakta dan tidak termasuk dalam
bidang ilmu. Mengikut pandangan mereka secara automatik ajaran agama terkeluar
daripada takrif dan ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan
semata-mata.
Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang
penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah
ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai
sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai
perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah,
makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.
2. Kepentingan Ilmu Pengetahuan
Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia.
Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan
kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa
itu sendiri. Justeru, Islam mengingatkan tentang hakikat ini menerusi pelbagai
ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Penekanan terhadap kepentingan dan
keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang
memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu. Baginda Rasulullah s.a.w
bersabda, maksudnya; “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang
Islam lelaki dan perempuan.” Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut
ilmu itu adalah suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap
orang Islam. Antara kepentingan ilmu pengetahuan ialah;
2.1 Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan
diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat
mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan
masyarakat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ;
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين
أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير
Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang
beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"
2.2 Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan
manusia. Firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 9 ;
قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون. انما يتذكر أولولوا
الألبب
Maksudnya; “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang
yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk
hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana"
2.3 Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan
seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya. Firman Allah
dalam surah al-Fathir, ayat 28 ;
انما يخشى الله من عباده العلمؤا
Maksudnya ; “Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya
ialah orang-orang yang berilmu”
2.4 Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagian hidup
di dunia dan di akhirat, memberikan kekuatan ketika dalam kesusahan dan ketika
berhadapan dengan musuh.
2.5 Dengan ilmu manusia dapat menjalankan ibadah dengan sempurna,
samada ibadah umum atau ibadah khusus dan dapat melaksanakan peranan sebagai
khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.
2.6 Ilmu agama atau ilmu yang terdapat dalam al-Quran dan Al-sunnah
akan menjadi benteng yang dapat mencegah seseorang itu dari melakukan
perkara-perkara yang dilarang oleh syariat, dapat menolak kejahilan dan
kebodohan sama ada dalam perkara agama atau dalam mengejar kebendaan duniawi.
2.7 Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti ilmu kejuruteraan, ilmu
kedoktoran, ilmu pertanian dan sebagainya dapat membantu kemaslahatan hidup
manusia di dunia.
2.8 Ilmu adalah salah satu langkah bagi menjana pembangunan negara
kerana melalui ilmu sahajalah yang dapat membezakan antara yang hak dan yang
batil.
3. Sumber-sumber Ilmu Pengetahuan
Secara umumnya, sumber ilmu pengetahuan adalah diperolehi melalui
wahyu, pancaindera, akal dan intuisi atau ilham.
1. Wahyu
Wahyu adalah pemberitahuan daripada Allah s.w.t kepada seorang
hambanya yang dipilih di kalangan hambanya dengan secara sulit dan rahsia
berlainan dari apa yang dialami oleh manusia biasa. Tidak dapat dinafikan lagi
wahyu adalah merupakan sumber pengetahuan yang terpenting yang telah
disampaikan oleh Allah s.w.t kepada manusia sama ada ianya disampaikan melalui
Nabi Muhammad s.a.w atau melalui nabi-nabi yang terdahulu. Wahyu merupakan
teras kepada segala ilmu kerana di dalam al-Quran terkandung pelbagai jenis
ilmu pengetahuan yang amat diperlukan oleh manusia untuk kemasalahatan hidup
juga perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal pemikiran
manusia.
2. Pancaindera
Semua pancaindera seperti sentuhan, ciuman, penglihatan,
pendengaran dan deria rasa merupakan seumber pengetahuan yang utama dan amat
berguna bagi manusia untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya dengan mudah
dan betul. Kelima-lima pancaindera ini merupakan satu cara untuk mendapatkan
ilmu pengetahuan melalui beberapa percubaan dan pengalaman yang berulang-ulang.
Bagaimanapun kebenaran yang diperolehi tidak semestinya selalu betul dan tepat.
Pancaindera kadangkala di dalam keadaan tertentu gagal memberikan gambaran atau
penglihatan umpamanya matahari kelihatan kecil oleh mata sedangkan kenyataannya
adalah sebaliknya.
3. Akal
Akal adalah merupakan sumber utama pengetahuan manusia, malah
perbezaan antara manusia dan haiwan adalah melalui hasil tamadun yang
diusahakan oleh manusia berpunca dari pemikiran akal manusia yang kreatif.
Dengan akal manusia dapat menimbang dan membezakan antara yang baik dan buruk,
walaupun mungkin ianya tidak bersifat kebenaran secara mutlak namun ianya
memadai untuk mengatasi masalah kehidupan seharian. Bagaimanapun Allah s.w.t
menyuruh manusia menggunakan semaksima mungkin kedua-dua daya akal dan
pancaindera yang dianugerahkan kepadanya agar dapat sampai kepada pengetahuan
sahih dan kebenaran yang tidak menyesatkan. Al-Quran banyak menyebut seruan
serta galakan daripada Allah s.w.t agar manusia dapat memerhatikan alam
sekeliling mereka dengan akal dan pancaindera bagi mencari kebenaran yang
hakiki.
4. Intuisi atau Ilham
Intuisi atau ilham juga boleh menjadi sumber pengetahuan manusia
yang amat berguna. Ianya merupakan pengetahuan yang diperolehi tanpa melalui
proses pemikiran yang tertentu. Contohnya seseorang yang mempunyai masalah yang
sedang menumpukan pemikiran nya terhadap penyelesaian masalah tersebut,
tiba-tiba menjadi jalan penyelesaian tanpa perlu berfikir panjang seolah-olah
kebenaran yang dicari datang sendiri. Dalam Islam ilham ini boleh dikenali
dengan istilah "firasat" atau pun pandangan bashirah (tembus) yang
dikurniakan oleh Allah kepada para Ulama.
Asssalamualaikum,terima kasih atas perkongsian. Mohon halalkan untuk tujuan pembelajaran. Sangat membantu.
ReplyDeleteassalamualaikum boleh saya tahu tak web ini berautoriti tak?
ReplyDelete