Nama : Azlinda Bt Nami
No Siri : 073
Masih ramai
daripada kita yang memberi pelbagai alasan untuk menangguhkan taubat “segan”
dengan Allah ingin bertaubat. Pangkas alasan-alasan tersebut dengan memprogram
balik minda kita dengan skrip berikut “aku masih muda, tunggulah apabila dah
tua baru bertaubat, kemudian baru fokus kumpul pahala”. Mati tidak mengira
usia. Lebih baik bertaubat cepat-cepat sebelum hati makin keras dan sebelum
maut menjemput. Syair arab ada menukilkan :
Berapa ramai anak-anak muda
yang sedang bermain pagi dan petang
sedangkan kain-kain kafannya dah mula dikoyakkan orang
tetapi dia tidak tahu?
Berapa ramai anak kecil yang diharapkan lahir
menjadi orang yang hebat
tetapi mati sejurus melahirkan?
Dan berapa ramai gadis yang dihias indah
pada malam pengantinnya
rupa-rupanya pada keesokan harinya orang datang
untuk menguruskan jenazahnya.
Itulah hakikat
kematian. Ia datang tiba-tiba tanpa disangka dan dijangka. Jangan tertipu
dengan hasutan syaitan yang meniup alasan-alasan palsu “Ah, usia masih muda,
bersuka-sukalah dulu”. Realitinya, berapa ramai ahli sukan yang segar-bugar
tetapi mati mengejut?
Oleh sebab itu,
kita perlu menyegerakan taubat kerana masih hidup itu adalah kesempatan yang
boleh hilang secara tiba-tiba. Abdullah bin Umar mengingatkan : “ Apabila kamu
berada di waktu petang, janganlah kamu hanya menunggu tiba waktu pagi, janganlah
kamu hanya menunggu tiba waktu petang. Ambillah kesempatan masa sihatmu untuk
persiapan masa sakitmu, dan masa hidupmu untuk persiapan kematianmu.” (Riwayat
al-Bukhari)
Semakin tua,
hati semakin keras. Dosa umpama pokok yang tumbuh dalam hati. Semakin lama dosa
itu dibiarkan tanpa dicabut keluar, maka semakin kuat cengkaman akar dosa itu
dalam jiwa bersemi dalam hati. Mula-mula
dia bercambah mengeluarkan akar, batang, dahan, ranting dan daun-daun.
Imam Ghazali
menyarankan, pokok kejahatan itu perlu dicabut dengan taubat sebelum akar itu
bertambah banyak, berselirat dan terlalu kuat mencengkam. Maksudnya jika kejahatan
dibiarkan, ia akhirnya akan menjadi tabiat yang sukar untuk ditinggalakan. Pada
mulanya, dosa akan menimbulkan rasa resah. Namun jika terus dilakukan, hati
akan terbiasa, kemudian ketagih, akhirnya serasi dan sebati dengan dosa itu.
Daripada
titik-titik hitam akan menjadi tompok yang lebih besar, dan akhirnya hati akan
digelapkan seluruhnya oleh dosa-dosa itu. Oleh sebab itu, semasa di tahap titik
hitam lagi, hati itu mesti dibersihkan. Jangan tunggu sampai berkarat dan hati
itu terkunci mati oleh dosa-dosa. Jika tidak, ketika itu tertutuplah pintu hati
untuk menerima kebenaran walau bagimana indah, hikmah dan lemah lembutnya
seruan iman.
Begitu juga
dengan hawa nafsu yang menjadi punca akan kejahatan dalam diri manusia. Semakin
dibiarkan nafsu akan menjadi liar dan sukar untuk dijinakkan. Sekiranya sejak
remaja seseorang bergelumang dengan hawa nafsu, sehingga momentum itu
disuburkan sehingga usia tua, pada kelazimannya nafsu itu sukar didik lagi.
Inilah antara
sebab ada hukama mengatakan, sekiranya seseorang telah menjangkau 40 tahun
sedangkan kejahatannya masih mengatasi kebaikannya, maka dia dalam keadaan yang
sangat bahaya, mengapa? Antara sebabnya adalah tentulah kesukaran untuk
bertaubat disebabkan hati telah menjadi keras.
Renungilah
kata-kata imam Ghazali ini kepada anaknya, “Wahai anak, sebahagian nasihat
daripada Rasulullah s.a.w kepada umatnya; tanda bahawa Allah berpaling daripada
seseorang adalah bahawa dia membuang waktu untuk sesuatu yang tidak bermanfaat
dan jika seseorang hilang sebentar sahaja dari umurnya dalam mengerjakan
sesuatu yang dilarang oleh Allah, maka sesungguhnya merupakan penyalahan, dan
sesiapa yang telah berumur lebih 40 tahun, tetapi kebaikannya belum menyalahkan
kejahataanya, maka hendaklah dia bersiap sedialah ke neraka. Rasanya cukup bagi
ahli ilmu apa yang terkandung dalam nasihat ini.”
No comments:
Post a Comment