Ditulis
oleh :
Nama: NURUL
FATIHAH BINTI ISMAIL
No.sir
: 005
Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan
undang-undang di mana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan
dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah,
keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia,
terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu meminta dan menerima rasuah,
menawar atau memberi rasuah, membuat tuntutan palsu dan menyalahgunakan jawatan
atau kedudukan. Gejala ini akan membawa impak-impak negatif kepada negara
terutamanya maruah negara akan terjejas.
Gejala masalah rasuah ini berlaku disebabkan oleh
punca-punca tertentu. Antara punca terutamanya ialah kekurangan iman dan takwa.
Perkara ini akan terjadi apabila seseorang itu kurang menyertai kelas agama
atau tidak memahami ajaran agamanya dengan cara yang betul. Selain itu,
keinginan kehidupan mewah juga akan mempengaruhi iman seseorang itu untuk
menerima rasuah. Ini disebabkan gejala rasuah merupakan kerja yang paling
senang untuk mendapatkan wang. Sikap yang tamak dan ingin cepat kaya ini telah
membangkitkan ‘semangat’ mereka untuk merasuah atau menerima rasuah. Semua
gejala rasuah yang tidak bermoral ini akan terus berlaku jika seseorang itu
masih tidak menerima atau memahami ajaran agama atau moral dengan secukupnya.
Di samping itu, kelemahan kepimpinan
dan pengurusan organisasi yang tidak sistematik juga merupakan salah satu
faktor yang menyebabkan berlakunya gejala rasuah. Kekurangannya penyeliaan yang
berdisiplin adalah salah satu punca kelemahan kepimpinan. Tiada pemantauan
antara semasa ke semasa apabila operasi sedang berjalan akan menyebabkan
pekerja di syarikat lembap semasa menjalankan tugas dan juga akan terbuka kepada
penyelewengan khususnya rasuah. Oleh itu, kegiatan rasuah di negara kita
semakin berleluasa. Tambahan pula, sosial dan budaya di sesebuah negara juga
akan menyebabkan gejala rasuah berlaku. Sebagai contoh, Malaysia merupakan
sebuah negara yang majmuk, penduduk di Negara ini telah mengamalkan tradisi
memberi hadiah seperti wang ataupun benda-benda yang berharga khususnya pada
hari kebesaran seperti hari perayaan, majlis hari jadi dan hari perkahwinan.
Sosial dan budaya ini akan menyebabkan orang lain salah faham tentang tradisi
tersebut dan menggunakannya sebagai satu masa yang sangat sesuai untuk
merasuah.
Punca ketiga yang paling ketara tentang gejala rasuah sering dikaitkan
dengan masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan kita. Masalah rasuah ini
akan terus bermaharajalela jika kerajaan kita masih tidak mengambil berat
tentang perkara ini. Kerajaan yang tidak memiliki satu sistem yang telus
khususnya perlumbaan untuk mendapatkan tender akan menyebabkan ramai
pekerja awam mengambil kesempatan untuk menawar rasuah. Perbuatan ini tidak
adil dan akan menyebabkan pertengkaran antara satu sama lain. Pembangunan
sosial ekonomi yang tidak seimbang dengan pembangunan kerohanian juga akan
menyebabkan terjadinya rasuah.
Projek pembangunan bercambah seperti cendawantumbuh akan mengakibatkan
pengaliran wang meningkat. Oleh itu, terdapat semakin banyak pihak yang
terlibat dalam gejala sosial ini kerana cara ini merupakan cara yang paling
mudah dan senang untuk mendapat wang.
Jelaslah fenomena sosial ini semakin berleluasan dan juga membawa
pelbagai implikasi kepada masyarakat. Maka, langkah yang efektif harus
dijalankan dengan secepat mungkin supaya implikasi yang terjadi tidak akan
membawa kesan negatif yang lebih besar kepada masyarakat. Antara langkahnya
ialah kerajaan haruslah menerapkan keburukan rasuah ke dalam silibus pendidikan
pelajar. Isu-isu semasa terutamanya kes rasuah haruslah sentiasa dipeka oleh
pelajar dan memahami akan keburukannya supaya tidak akan mengulangi masalah
sosial ini. Cikgu-cikgu di sekolah juga bertanggungjawab untuk mengajar dan
membantu pelajar untuk memahami masalah rasuah dengan lebih jelas. Kelas agama
atau kelas moral haruslah sentiasa mengadakan kempen kesedaran tentang
keburukan rasuah dari semasa ke semasa supaya usaha membanteras gejala sosial
ini tidak akan terhenti. Selain itu, semua pihak termasuk ibu bapa mahupun
saudara mara haruslah menjadi teladan yang mengamalkan nilai-nilai murni
seperti amanah dan tidak mudah dipengaruhi oleh sikap materialisme yang sering
dapat dilihat pada remaja terkini.
Langkah yang kedua pula ialah kerajaan haruslah menanam nilai-nilai
murni ke atas pekerja awam terutamanya pegawai-pegawai kerajaan. Kursus dan
latihan yang berdisiplin haruslah sering dianjurkan oleh kerajaan dan pihak
swasta serta mengwajibkan semua pekerja mengambil bahagian. Hukuman akibat
rasuah juga harus didedahkan kepada semua orang dengan jelas. Langkah ini boleh
menjelaskan kesan-kesan rasuah kepada masyarakat dan pihak-pihak yang berkaitan
akan menyedari akan keburukannya. Selain itu, kursus dan latihan juga dapat
menaikkan potensi mereka semasa menjalankan tugasan mereka. Kerajaan atau pihak
swasta juga boleh menggalakkan pegawai mereka supaya berpegang teguh kepada
agama masing-masing semasa bekerja. Tindakan ini akan memperingatkan pegawai
supaya tidak terlibat dalam gejala rasuah walaupun sesekali sahaja.
Langkah efektif yang ketiga pula ialah menguatkuasakan undang-undang.
Kerajaan haruslah lebih tegas dalam menangani masalah rasuah ini terutamanya
mengenakan hukuman yang setimpalnya tanpa mengira ketinggian jawatan pegawai
tersebut. Badan Pencegah Rasuah Malaysia haruslah membuat pemeriksaan terhadap
syarikat-syarikat atau badan kerajaan dari semasa ke semasa untuk mengelakkan
berlakunya penyelewengan kerja dan masalah rasuah. Semua perkara dan proses
haruslah dijalani dengan adil supaya tidak ada perselisihan faham akan berlaku.
Hukuman harus diukur berdasarkan keberatan jenayah tersebut. Selain itu,
hukuman berat seperti penjara atau denda kompaun harus dipertikaikan lagi.
Kerajaan harus memberatkan hukuman lagi supaya pegawai-pegawai akan berfikir
dulu sebelum melakukan kesalahan rasuah. Langkah ini juga boleh mengingatkan
pegawai lain daripada melakukan kesalahan ini lagi.
Kesimpulannya, gejala sosial seperti rasuah yang semakin bermaharajalele
di negara kita dan juga telah mendatangkan pelbagai masalah kepada masyarakat
seperti penindasan golongan miskin dan ketidakadilan. Ini akan menjatuhkan
maruah negara dan kepercayaan antara negara dengan negara lain juga akan
terjejas. Di samping itu, bilangan kes jenayah juga akan meningkat secara
mendadak. Semua pihak berkenaan seperti kerajaan dan pihak swasta harus
mempertimbangkan masalah ini dan melaksanakan langkah yang efektif untuk
menyelesaikan masalah ini secepat mungkin supaya gejala ini dapat dikurangkan
kepada tahap yang paling minimum.
No comments:
Post a Comment