Nama : Azlinda Bt Nami
No Siri : 073
Apabila kita
dilukai, dihina, difitnah atau berhadapan dengan ketidakadilan, kita mempunyai
dua pilihan untuk berhadapan dengan perasaan tersebut, memaafkan dan
melupakannya atau membenci dan berdendam.
Kedua-dua
keputusan itu amat sukar dilakukan. Implikasi kedua-duannya benar-benar
bertentangan. Kemarahan dan dendam kesumat akan meracuni jiwa kita. Jiwa
menjadi pedih, geram, tertekan dan dihimpit dengan pelbagai perasaan amarah
yang membuak-buak. Mereka seolah-olah menyimpan bom jangka dalam diri yang
boleh meletup bila-bila masa sahaja. Bayangkan jika kemarahn itu mencapai
kemuncaknya, munglin mereka akan melakukan tindakan yang tidak terkawal seperi
bertengkar, membunuh atau boleh mencederakan orang lain tanpa mengira
implikasinya. Mungkin mengambil tindakan pasif seperti mendiamkan diri,
merajuk, bermasam muka, tidak bertegur dan seumpamanya.
Berilah
kemaafan. Menahan diri daripada dan boleh memberi maaf merupakan suatu sifat
yang terpuji lagi mulia. Walaupun orang yang melakukan kesalahan tidak meminta
maaf daripada kita, alangkah eloknya jika kita meminta maaf terlebih dahulu.
Ramai yang
berfikir jika meminta maaf kepada seseorang beerti kita menerima dan bersetuju
dengan perlakuan tidak adil yang melakukannya terhadap diri kita. Sebenarnya
tindakan memberi kemaafan bukan tanda kelemahan hati kita, tetapi sudah cukup
untuk menggambarkan betapa kentalnya iman dan taqwa. Manakala orang yang berani
meminta maaf beerti miliki jiwa yang besar, percaya kepada diri sendiri dan
sekali gus merupakan keutamaan dan kelembutan hati yang dicintai Allah dan
disukai oleh para hamba-Nya.
Allah s.w.t
berfirman yang bermaksud : “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan
memaafkan, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.” (
Surah al-Syura 42:43)
Antara hikmah
kemaafan adalah orang yang mampu memelihara kemarahan dan bersabar dengan
segala perbuatan buruk orang lain terhadap dirinya akan mendapat ganjaran
istimewa daripada Allah sepertimana firman-Nya bermaksud : “Dan balasan sesuatu
kejahatan ialah kejahatan yang setimpal. Tetapi, sesiapa yang memaafkan dan
berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat) maka pahalanya daripada Allah.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang zalim.” (Surah al-Syura 42:40)
Memberi maaf
sebenarnya tindakan bijak yang dilakukan untuk diri kita sendiri. Ia memberi
manfaat yang besar kepada diri sendiri terutaman manfaat kesihatan dan
kesejahteraan. Kita telah membebaskan diri daripada bebanan perasaan yang
menghalang untuk bertindak secara positif. Orang bersifat pemaaf selalu berada
dalam keadaan yang tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak
berunding dan sentiasa menilai diri sendiri dalam melakukan kebaikan. Hanya
orang yang kuat yang boleh memaafkan kesalahan orang lain mahupun diri sendiri.
Bak kata Mahatma Ghandi: “Orang lemah tidak memberi maaf. Sifat pemaaf adalah
daripada orang yang kuat”
Ketulusan dan
keikhlasan hati memberi kemaafan kepada orang yang melakukan kesalahan kepada
kita dapat menyingkirkan tenaga negatif dan dapat mengambalikan tenaga positif.
Dapat menyingkirkan tenaga negatif dapat memulihkan kita daripada tekanan
perasaan yang memudaratkan diri kita. Hubungan yang sudah lama renggang dapat
dipuluhkan dan silaturrahim dapat bertaut kembali.
Ganjarannya,
kita mendapat dua kebaikan iaitu dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki
sepertimana hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Sesiapa yang ingin
dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah dia menghubungkan
silaturahim; (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdoalah
kepada Allah agar kita dilembutkan hati untuk berlapang dada dan membentuk jiwa
yang boleh memaafkan orang lain. Semoga kita mampu meminta maaf daripada orang
lain walaupun tidak membuat salah. Juga, semoga kesalahan dan kesilapan yang
kita lakukan terhadap orang lain juga dapat dimaafkan.
No comments:
Post a Comment