Tuesday, January 10, 2017

Punca-Punca Dan Langkah-Langkah Membendung Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja

Ditulis Oleh : Siti Khairizan Farhana Binti Mohammad Jafni
No Siri : 091 | No Matrik : 14021249

            Sejak akhir-akhir ini, gejala sosial dalam kalangan remaja semakin membarah. Setiap hari terdapat paparan berita mengenai gejala negatif ini sehingga menggugat kesejahteraan masyarakat dan negara. Situasi ini amat membimbangkan semua pihak kerana remaja merupakan tonggak harapan masa depan negara. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang pertambahan kes gejala sosial ini.

            Antara faktornya ialah kurangnya kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa. Institusi keluarga juga semakin rapuh pada masa ini lantaran ibu bapa sibuk mencari kekayaan. Demi kesibukan tersebut menyebabkan ibu bapa tidak mempunyai masa untuk mendidik anak-anak mereka dengan agama dan nilai kerohanian. Ini menyebabkan jiwa anak-anak kosong kerana tidak diberikan input agama yang dapat membentengi mereka daripada pengaruh negatif. Oleh itu, ibu bapa mestilah lebih prihatin terhadap kegiatan masa lapang anak-anak mereka. Sikap ini amat penting supaya anak-anak tidak terperangkap dalam gejala ini yang dipasang oleh sindiket-sindiket yang berkepentingan kerana sindiket ini merekrut anak-anak yang datang daripada keluarga yang bermasalah untuk menjalankan kegiatan gengsterisme. Ibu bapa haruslah menutup ruang ini serapat-rapatnya agar sindiket tersebut tidak mempunyai ruang untuk meracuni pemikiran anak-anak.

            Di samping itu, pengaruh rakan sebaya. Apabila anak-anak meningkat remaja, hubungan dengan ibu bapa semakain renggang sebaliknya anak-anak lebih rapat dengan rakan sebayanya. Hubungan yang rapat ini menyebabkan sesetengah anak mudah meniru perlakuan negatif yang dilakukan oleh rakannya. Oleh itu, remaja mestilah mempunyai jati diri yang utuh agar tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah. Remaja perlu bijak memilih rakan kerana kajian mendapati bahawa remaja pada masa ini lebih banyak menghabiskan masa mereka bersama dengan rakan-rakan berbanding dengan keluarga. Remaja perlu menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang berperangai buruk dan cuba mempengaruhi mereka melibatkan diri dalam kegiatan sosial ini. Kegagalan remaja memiliki jati diri boleh membinasakan masa depan remaja lantaran pujukan rakan yang bermasalah ini.

                 Gejala sosial meningkat kerana banyaknya tekanan yang dihadapi oleh remaja pada masa ini. Tekanan tersebut berupa harapan ibu bapa yang tinggi kepada mereka untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Apabila mereka gagal mencapai tahap yang diharap, mereka sering dipersalahkan. Remaja terlibat dengan gejala ini untuk melepaskan tekanan tersebut. Oleh itu, kaunselor sekolah perlu lebih proaktif untuk mendekati dan membimbing pelajar-pelajar yang terlibat dalam gejala ini. Program-program sahsiah dan motivasi perlu diadakan bagi membina jati diri dan wawasan yang tinggi dalam kalangan pelajar. Malahan, aktiviti lasak yang dapat membina semangat perlu diadakan supaya para pelajar sentiasa positif, kuat jati diri dan proaktif.

                 Gejala sosial meningkat kerana pengaruh media massa. Sejajar dengan konsep globalisasi, banyak hiburan khususnya dari barat menerjah masuk ke negara kita. Remaja tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung itu mudah terpengaruh oleh paparan hiburan di media massa yang menampilkan pergaulan bebas, pakaian seksi, budaya kelab malam serta penagihan dadah. Pihak kerajaan perlu memperbanyak pusat-pusat rekreasi dan riadah untuk remaja mengisi masa lapang mereka dengan berfaedah. Sebagai contohnya, pembinaan gelanggang badminton dan futsal dapat menjadi tempat kepada remaja untuk bermain permainan tersebut. Permainan seperti ini dapat mengelakkan remaja daripada membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.


            Kesimpulannya, semua pihak haruslah bersatu hati dan berganding bahu untuk mengambil tindakan yang konkrit dan proaktif bagi menangani masalah gejala sosial. Punca ini harus ditangani kerana gejala sosial ini seperti kanser yang boleh memudaratkan kesejahteraan masyarakat dan Negara. Sekiranya perkara ini diambil berat, gejala ini dapat diatasi dengan mudah. Jelaslah bahawa peranan dan tanggungjawab semua pihak sangat penting bagi mengurangkan berlakunya gejala sosial ini.

19 comments:

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *