Tuesday, January 10, 2017

Kahwin Semasa Belajar

Nama : Salmi Suhana Binti Mohamed Noor
Nombor Matrik : 14021152 | Nombor Siri : 02

Assalamualaikum sahabat sekalian..
Cuba kita nilai situasi yang berikut :
A : Pakcik, saya suka anak pakcik, boleh saya nak jadikan dia isteri saya?
B : Boleh nak, sekarang berapa kamu ada?
A : Ada RM100 pak cik.
B : Baik, simpan untuk maharnya, esok terus akad ye. Walimahnya kita sederhana sahaja, cukuplah sekadar meraikan hari bahagia dan hebahkan kat orang ramai.
Subhanallah.. Senangnya  nak mendirikan masjid. It lah sebenarnya anjuran Islam. Mudah dan tidak menyusahkan. Dalam bab munakahat ni, islam tidak meletakkan syarat yang membebankan kepada penganutnya. Apa yang penting adalah mendirikan sunnah nikah itu, jadi diri itu terjaga dari perkara yang merosakkan.

Sekarang bagaimana pula situasinya? Nilailah situasi sekarang jika ingin mendirikan rumahtangga. Nilailah hantaran yang diminta kini, dengan dulang-dulang sebagai hantaran, nilailah keperluan minima untuk kahwin pada hari ini, sedangkan dalam agama, cukup pada kemampuan membayar mas kahwin, dan cukup rukun nikah, maka nikah lah. Mas kahwin itu sudah hadiah untuk wanita, bukanlah syarat beg tangan berjenama mewah  LV ,barang kemas Habib Jewels dan alat solek Lancome sebagai hadiah dalam kesempurnaan perkahwinan. Malah pembaziran itu perkara penting perlu dielakkan dalam perkahwinan.Ingat sahabat sekalian membazir itu amalan syaitan.

Seandainya seorang lelaki datang berjumpa keluarga pihak perempuan, tidak asing lagi persoalan yang sebegini akan ditanya kepada pihak lelaki :
“Kamu kerja apa sekarang, gaji bawah 3k atau atas 3k?”
“Kamu pakai kereta jenama apa?import luar negara ke?”
“Gaji kamu cukup ke belanja nanti nak buat kenduri grand untuk anak kami ni?Pak cik tak nak yang ala kadar jer”
“Belanja kahwin ni 10k lah ye, hantaran 10 dulang.Malu la kat jiran-jiran kalau buat ala kadar je”
Bukan semua macam itu, tapi itulah yang terjadi pada masa sekarang ni. Alhamdulillah bagi ibu bapa yang pentingkan nilai sebuah perkahwinan sebagai asas agama,mereka tidak akan sesekali membebankan pasangan yang ingin berkahwin dengan anak mereka.
“Sesungguhnya barakah itu pada mahar yang murah”

Saya membuat penilaian tentang cara pemikiran kebanyakan orang tentang perkahwinan ni, khususnya perkahwinan yang melibatkan pasangan yang masih muda (Saya maksudkan dalam lingkungan umur lebih kurang 19-23 tahun kerana pada usia sebegini mereka masih belajar atau baru sahaja tamat pengajian.), istilah “GATAL” tu perkara biasa kita dengar andai pasangan muda yang ingin berkahwin. Betapa negatifnya fikiran sebegini sedangkan perkahwinan itu satu tuntutan dalam agama. Kebanyakan ibu bapa akan berkata sebegitu kepada anak mereka yang ingin berkahwin awal. Pasangan yang sudah pun berkahwin, maka kata-kata sebegitu kepada anak mereka itu tidak memberi kesan kepada mereka, tetapi andai kata mereka itu berada di tempat anak-anak, dengan keadaan persekitaran yang boleh menjerumuskan mereka ke lembah maksiat, nescaya mereka ini pasti akan ada juga keinginan untuk berkahwin pada usia muda.

“Tundukkan pandangan nescaya terjaga kemaluan”
Kenapa pandangan? Bagi penggemar drama melayu “Suri Hati Mr.Pilot”,pasti mereka selalu mendengar lagu “Dari mata” nyanyian Jaz melatari drama tersebut .(Jika benar ini cinta mulai dari mana...Oh dari mana..dari matamu matamu ku mulai jatuh cinta..ku melihat melihat ada bayangan..dari mata kau buatku jatuh jatuh terus jatuh ke hati..).Kalau ayat versi orang tua “dari mata turun ke hati”.ALLAH itu arkitek manusia, ALLAH cipta pandangan manusia ini dia berhubung dengan nafsu manusia, dengan kemaluan, dengan syahwat. Jadi kalau pandangan itu kepada perkara yang tidak elok, nescaya itu boleh menjerumuskan kita kepada maksiat. Dari maksiat mata inilah boleh membawa maksiat yang lebih besar seperti berzina.Kita selalu mendengar ustaz selalu berpesan supaya menundukkan pandangan kerana pandangan ajnabi itu panahan syaitan. Saya kemukakan pandangan ini bagi mereka yang berfikiran negatif tentang berkahwin di usia muda, dan juga berkahwin ketika masih belajar.

Saya juga ini ajukan soalan, apa jaminan kamu mampu menundukkan pandangan dari perkara yang tak elok yang boleh mempengaruhi syahwat kamu? Wahai ibu bapa, saya juga ingin ajukan soalan, apa jaminan kamu  sebagai ibu bapa bahawa anak-anak yang masih belajar mampu menahan godaan pandangan mata mereka dalam situasi masa kini?Ditambah pula dengan pelbagai laman sosial seperti facebook,instagram,we chat (people nearby).Sudah menjadi fitrah kaum wanita ingin berkongsi dengan memuat naik gambar peribadi di laman sosial.Begitu juga sudah menjadi fitrah kaum lelaki untuk melihatnya.Begitu mudah sekali syaitan menyelinap masuk ke dalam hati kita.Andai kata pemahaman ibu bapa tentang belajar itu lebih utama dari menjaga mata dan kemaluan,maka itu sesuai andai ibu bapa mahukan anak-anak habis belajar dahulu sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Saya tak nafikan bahawa pandangan ibu bapa adalah supaya tumpuan anak-anak terhadap pelajaran tidak terpesong tetapi adakah dengan berkahwin itu pelajaran mereka tidak akan cemerlang?

Kebanyakannya berpendapat tidak sesuai berkahwin awal, ditambah pula dengan status sebagai seorang pelajar. Ramai yang berpandangan belajar sampai habis baru kahwin, jarang yang berpandangan “pelajar atau bukan pelajar,dari buat perkara yang menjerumus kearah fitnah masyarakat sekeliling dan menjerumus ke arah maksiat lebih baik kahwin.Kita sering mendengar sahabat-sahabat kita yang berpasangan sebelum kahwin sudah membiasakan diri memanggil pasangan mereka dengan panggilan yang tidak sepatutnya seperti “abi,hubby,baby dan sebagainya”. Paling utama adalah mengelakkan maksiat itu, jadi bagi saya nikah awal itulah jalan yang paling baik.

Realitinya, ibu bapa takut untuk mengahwinkan anak di usia awal kerana bimbang nanti keadaan anak,makan minum serta belanja anak. Saya ulaskan dengan mendalam tentang masalah ini, adakah bila sah bergelar suami dan isteri maka bantuan keperluan dari ibu bapa itu tidak boleh diterima oleh anak yang sudah berkahwin?Adakah haram hukumnya? Tidak salah bukan? Malah anak-anak juga dengan kudrat mereka mampu bekerja bagi menampung keperluan hidup mereka walaupun bersederhana. Dalam mengharungi rumah tangga mereka di usia yang muda  dan dalam memegang  status sebagai pelajar lagi, maka ibu bapa juga merupakan tempat dan perangsang bagi pasangan ini menempuh gerbang perkahwinan sebagai suami isteri. Tidak salah ibu bapa membantu sekadar termampu bagi mengukuhkan rumah tangga yang baru dibina.

Sahabat-sahabat, baguslah menyimpan keinginan mendirikan sunnah Nabi ini. Sudah menjadi perkara biasa ibu bapa susah memahami keinginan anak-anak, kerana mereka mempunyai pandangan berbeza dengan kita. Bagaimana meyakinkan ibu bapa kita? 
Baik, beginilah pada pandangan saya.
1-Menyampaikan keinginan dengan sebenar-benarnya, tiada berselindung dan  dengan nada yang sesuai. ALLAH akan menolong hambaNya untuk perkara kebaikan insyaALLAH.
2-Orang tengah sebenarnya berperanan penting. Sebaiknya cari lah orang yang boleh menyampaikan hajat kita itu dengan cara yang berhikmah, kerana pendekatan dengan cara yang berhikmah itu akan membuka hati ibu bapa menerima pandangan kita.
3-Pandangan yang negatif tentang hasrat kita itu dibalas dengan pandangan yang bernas, sebaik-baik hujah kita atas pandangan agama. Contoh :
Anak : Ayah saya nak kahwin lah.
Ayah : Kenapa dah gatal sangat nak kahwin?
Anak : Siapa yang tak nak pahala dengan pandang pasangan yang sah, siapa yang tak nak pahala dengan sentuh pasangan yang sah, siapa tak nak pahala bergurau senda dengan pasangan yang sah ayah. Ini lah tuntutan agama kita.

4-Keyakinan ibu dan ayah tu dipengaruhi oleh sikap kita. Seandainya kita sebagai ibu bapa, kita melihat sikap anak kita yang penuh tanggungjawab menjaga adik-adik,serta pandai menguruskan diri, jadi keyakinan itu ada andai anak itu menyatakan hasrat memiliki pasangan hidup. Andai anak itu sendiri tidak pandai menguruskan diri, adakah ada keyakinan ibu bapa andai anak itu ingin menjadi pengurus rumah tangga.

5-Matangkan minda kita, belajar ilmu agama serta usaha mengubah diri ke arah kebaikan, andai perubahan kearah kebaikan itu nampak pada anak-anak, maka pada ibu bapa mereka yakin terhadap kemampuan anak-anak unuk menjadi seorang pemimpin yang baik.

6-Wanita, siapkanlah diri kamu dengan persiapan menjadi seorang suri dalam rumah tangga kamu kelak. Dengan itu keyakinan ibu bapa terhadapmu tinggi, dan mereka percaya kamu mampu menjadi seorang suri yang baik.

7-Berbincanglah dengan baik, nyatakan kelebihan apa yang kita dapat andai kata kita dapat mendirikan masjid. Ingatlah pada keredhaan ibu bapa, bercakaplah dengan lemah lembut yang kita mengharapkan redha ibu bapa dalam melakukan sunnah ini, dan ibu bapa juga mendapat ganjaran andai meredhai kebaikan yang akan dibuat oleh si anak dengan berkahwin.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *