Tuesday, January 10, 2017

PENGARUH NEGATIF GANGGU FOKUS PELAJARAN

Ditulis oleh: 
Nurul Afiqah Bt Mohd Razali
No. Siri: 033 | No.Matrik: 14021199

Zaman remaja sering kali dikaitkan dengan alam yang penuh pancaroba kerana inilah alam yang perlu dilalui oleh setiap insan sebelum menginjak ke alam dewasa. Dalam kehidupan remaja, pengaruh persekitaran memainkan peranan yang sangat penting. Jika persekitaran mereka dikelilingi oleh kawasan perkembangan ilmu, seperti universiti, kolej dan mempunyai pusat tuisyen, maka mereka akan lebih giat belajar. Kawasan yang terdedah kepada kafe siber, contohnya, pula menyebabkan mereka akan terpengaruh kepada persekitaran yang tidak baik untuk masa depan mereka.  

Di samping itu, terdapat faktor lain yang meyebabkan pelajar terlibat dalam salah laku dan gejala sosial. Sebagai contoh, pengaruh rakan sebaya amat kuat mempengaruhi tingkah laku remaja dan pelajar, terutama jika berkawan dengan mereka yang merokok dan liar. Begitu juga dengan faktor kejutan budaya, iaitu remaja luar bandar yang pergi ke bandar melihat pelbagai gejala yang tidak pernah dilihat sebelum ini, seperti pergaulan bebas. Sebagai kesannya, pelajar tersebut akan tercicir dari alam pembelajaran dan mereka hilang fokus terhadap pelajaran serta hilang pedoman hidup.

Kajian pakar psikologi mendapati bahawa terdapat faktor penarik kepada pelajar ke kancah gejala sosial kerana dirangsang oleh faktor persekitaran mereka. Faktor yang paling kuat ialah pengaruh rakan sebaya. Rakan sebaya yang liar dan sudah terbabit dalam gejala sosial akan mempengaruhi mereka yang belum menyertainya. Akhirnya, pelajar yang baik turut terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya mereka. Malah kajian juga mendapati bahawa pelajar yang mudah terpengaruh dengan pengaruh persekitaran ini berada dalam lingkungan umur 13 hingga 17 tahun, iaitu mereka dalam lingkungan tingkatan satu sehingga lima. Tidak kurang juga mereka yang berusia 11 dan 12 tahun untuk mencuba pengaruh yang negatif ini.

Masalah yang sering dihadapi oleh guru disiplin ialah pelajar yang terbabit melakukan kesalahan semasa waktu persekolahan. Terdapat segelintir ibu bapa yang tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil terhadap anak mereka walaupun terbukti melanggar peraturan sekolah. Oleh itu, pengaruh di sekolah juga penting dalam pembentukan akhlak pelajar dan remaja pada zaman ini. Tekanan dihadapi oleh pelajar semasa di sekolah kerana tumpuan terpaksa diberikan kepada akademik serta guru yang kurang berpengalaman dan tidak profesional. Pihak sekolah haruslah bijak menangani masalah pelajar yang bermasalah ini. Jika tidak dibendung dari awal lagi, mereka akan terus terjebak dalam kehidupan yang tidak bermoral. Mereka juga akan mengambil cara mudah untuk keluar daripada masalah yang dialami dengan melibatkan diri dengan kegiatan yang kurang sihat. Maka dalam hal ini, pengaruh yang baik amat penting dalam kehidupan pelajar untuk dijadikan panduan dan ikutan serta menjauhi pengaruh yang negatif.

Sistem pendidikan negara tidak seharusnya menekankan pencapaian akademik semata-mata, tetapi pembentukan moral insan juga haruslah selari dengan pendidikan. Pendidikan moral mestilah dilakukan melalui bimbingan, nasihat, sokongan yang padu dan teguran yang berterusan. Pemahaman pelajar terhadap nilai murni dan moral mestilah dijelaskan. Masih ada pelajar yang tidak dapat membezakan antara hidup cara Islam dengan cara hidup jahiliah. Tumpuan yang khusus haruslah diberikan kepada pelajar yang lemah dalam pelajaran dan peperiksaan. Penumpuan ini mestilah menjurus kepada kemahiran dalam bidang kemahiran hidup, pertukangan, sukan dan permainan, serta kerja kebajikan yang dapat membantu mereka memahami erti kehidupan.

Usaha mengelakkan pengaruh persekitaran yang negatif ini kepada pelajar yang masih bersekolah mestilah dilakukan secara bersepadu oleh pihak penguasa tempatan, pemimpin masyarakat, dan mereka yang bertanggungjawab. Mendidik ke arah kebaikan mestilah bermula daripada dalam diri setiap orang. Oleh itu, pengaruh persekitaran dapat dielakkan jika seseorang itu mempunyai iman yang kuat, personaliti diri yang hebat, jati diri yang sempurna, dan tidak mudah terpengaruh dengan cara hidup orang lain.

Bagi menangani masalah pengaruh persekitaran yang negatif ini, ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat setempat, dan pihak penguasa tempatan haruslah bertindak jika terdapat unsur yang tidak baik di kawasan perumahan dan kawasan sekolah. Pengaruh yang buruk menjadi kejutan budaya kepada pelajar sehingga menyebabkan mereka tidak dapat memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Oleh itu, kawasan sekolah mestilah menjadi kawasan yang selamat dan tenteram bagi mengelakkan daripada sebarang gangguan semasa proses pembelajaran serta peka terhadap unsur negatif yang berlaku di kawasan tersebut. Hal inilah yang akan membantu pengajaran dan pembelajaran yang berkesan bagi melahirkan modal insan yang sempurna. Keseimbangan diri pelajar, khususnya, yang berkaitan dengan jasmani, emosi, rohani, dan intelek dapat dibentuk dengan budaya ilmu dan pembelajaran yang berkesan.

Oleh itu, sokongan semua pihak, termasuk ibu bapa serta warga pendidik sebagai agen pelaksana dan agen perubahan yang memainkan peranan penting bagi membentuk remaja yang cemerlang serta yang berdaya saing. Perubahan dan pembaharuan dalam persekitaran pendidikan yang sesuai dengan tuntutan semasa harus dilakukan bagi memastikan impian mentransformasikan Malaysia sebagai negara maju dan berkembang pesat dapat dicapai.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *