NAMA:JUHADA AKILA BINTI ABDUL HADI
NO MATRIK:14021172
NO SIRI: 021
Marilah kita bersyukur kehadrat Allah s.w.t. diatas segala nikmat
yang dikurniakan, terutama nikmat Iman dan Islam kepada kita semua. Islam yang
dibawa dan disampaikan oleh nabi Muhammad s.a.w. merupakan agama yang sempurna
lagi lengkap merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia serta diredhai disisi
s.w.t. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran ayat 19 :
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ
Maksudnya:
“Sesungguhnya
agama yang diakui di sisi Allah ialah Islam”
Kelahiran nabi Muhammad s.a.w. bersama dengan risalah Islam yang
dibawa oleh Baginda telah merubah tamadun manusia yang dahulunya gelap dengan
kesesatan dan kejahilan kini telah bersinar dengan cahaya iman dan ilmu
berdasarkan wahyu Allah s.w.t., dimana dunia dan manusia ketika itu dicengkam
oleh pelbagai kezaliman. Dahulunya manusia bertindak dan melakukan sesuatu
berdasarkan hawa nafsu tatapi setelah datangnya Islam, mereka dikawal oleh akal
yang berpandukan kepada wahyu Allah s.w.t. sehingga kehidupan manusia menjadi
lebih mulia. Bahkan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. adalah satu ketetapan
Allah s.w.t. untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Bersesuaian dengan
firman Allah dalam surah al-Anbiyaa ayat 107 :
Kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w. umpama Intan Permata yang
berkerlipan dari segenap penjuru. Setiap kerlipan itu, penuh dengan panduan dan
pengajaran untuk dipelajari serta dihayati oleh umatnya. Kehidupan umat Islam
akan menjadi indah dengan diwarnai oleh sifat-sifat kesopanan dan
kesusilaan yang bersumberkan wahyu Ilahi, sebagaimana sabda Rasulullah
s.a.w.:
” اِنَّمَا
بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ “
Maksudnya :
” Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan
akhlak “.
Sesungguhnya Baginda Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan kita buat
selama-lamanya. Tatapi, kita masih bertuah kerana Baginda Rasulullah s.a.w.
telah meninggalkan dua perkara kepada umatnya sebagai panduan hidup, iaitu
kitab Allah dan Sunnahnya sebagai pedoman bagi seluruh umatnya untuk dikaji,
dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.
Kitab suci Al-Quran atau kalam Allah diturunkan kepada Baginda
Rasulullah s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s. secara berperingkat-peringkat
selama 23 tahun. Penurunannya adalah mengikut suasana semasa yang berlaku
ketika itu atau mengisahkan peristiwa yang memerlukan istinbat hukum. Kandungan
Al-Quran itu merangkumi ayat-ayat yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia
seperti mengatur cara hidup bermasyarakat, cara beribadah, pembahagian harta
pusaka, urusan kekeluargaan, urusan pentadbiran dan pembangunan negara, urusan
pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Kesemua kandungan ini tetap menjadi
sumber rujukan yang unggul dan abadi sehingga ke hari kiamat .
Al-Quran merupakan wahyu dan mukjizat kepada Baginda Rasulullah
s.a.w., ia juga merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan ke dunia ini,
manakala membaca dan mempelajarinya merupakan suatu ibadah kepada Allah s.w.t.
Selain daripada itu, Al-Quran juga mempunyai rahsia dan hikmah yang tinggi.
Kunci kerahsiaannya perlu digali, pintu hikmahnya perlu diterokai supaya arah
tuju perjalanan hidup kita sentiasa dalam keredhaan Allah s.w.t. Lebih-lebih
lagi kita wajib mempercayai kitab Al-Quran kerana ia merupakan pelengkap kepada
kesempurnaan rukun Iman seseorang Muslim .
Justeru, kita sebagai umat yang mengaku beriman dengan kitab suci
Al-Quran, mestilah menjadikan Al-Quran sebagai kitab bacaan dan rujukan utama
dalam kehidupan. Menjadikan Al-Quran sebagai benteng kepada godaan dunia serta
sentiasa memohan dilindungi Allah s.w.t. Oleh yang demikian, dalam kesibukan
harian, kita sewajarnya memberikan sedikit waktu dan ruang kepada diri dan
keluarga kita untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. melalui pembacaan Al-Quran.
Janganlah kita menjadi seperti segelintir orang yang mendakwa berilmu tatapi
mereka tidak membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian mereka .
Akhirnya, saya ingin ditegaskan disini bahawa Al-Quran bukan
seperti kitab warisan yang hanya dibungkus kemas untuk dipamerkan atau untuk
melariskan jualan atau memagari rumah dan sebagainya. Tetapi hakikat
sebenarnya Al-Quran adalah sumber rujukan yang mampu menjadi penunjuk arah
dalam kehidupan disamping berupaya menangani pelbagai halangan, cabaran dan
ancaman terhadap akhlak dan moral masyarakat.
Dengan rasa ikhlas saya ingin berpesan marilah kita menjadikan
amalan membaca Al-Quran setiap hari sekurang-kurangnya satu ayat dengan
mengikut kaedah yang betul bagi mengelak kesalahan pada makna sebenar dan dalam
masa yang sama kita perlu merujuk kepada golongan pakar dalam bidang tersebut
bagi mengelak sebarang kekeliruan dan salah faham. Disamping itu, kita
hendaklah meletakkan keyakinan bahawa isi kandugan Al-Quran secara umum atau
mempunyai prinsip dasar mengatur seluruh kehidupan manusia bermula dari
sekecil-kecil urusan hinggalah sebesar-besar urusan atau bermula dari kita
bangun tidur hinggalah kita tutup mata (mati). Mudah-mudahan kita semua
mencapai kejayaan dalam menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan pedoman hidup .
1. Kita wajib mempercayai kitab
Al-Quran kerana ia merupakan pelengkap kepada kesempurnaan rukum Iman seseorang
Muslim.
2. Kita yakin isi kandugan Al-Quran
secara umum atau mempunyai prinsip dasar mengatur seluruh kehidupan manusia
bermula dari sekecil-kecil urusan hinggalah sebesar-besar urusan.
3. Kita jadikan amalan membaca
Al-Quran setiap hari sekurang-kurangnya satu ayat dengan mengikut kaedah yang
betul bagi mengelak kesalahan pada makna sebenar.
4. Kita berusaha menjadikan diri dan
keluarga kita sentiasa dalam keredhaan Allah s.w.t. dengan beramal dengan
akhlak Al-Quran .
5. Kita menghayati pengajaran yang
terkandung didalam Al-Quran, disamping menjadikan Al-Quran sebagai benteng
kepada godaan dunia serta sentiasa memohan dilindungi Allah s.w.t.
( Surah al-Baqarah ayat : 1-3 )
No comments:
Post a Comment