Nama Penulis : Athiyatul Mardhiyah Bt
Ahmad Bahaudin
No Metrik : 14021257 | No Siri : 090
Tasawuf merupakan disiplin ilmu
yang bertujuan menyucikan hati seseorang agar bebas daripada segala sifat keji dan
mungkar. Proses penyucian itu perlu dengan cara memperbanyakkan amalan-amalan
ibadah sama ada amalan wajib atau amalan sunat, dan salah satu amalan yang
dikira amat mudah dan senang dilakukan tetapi amat berkesan terhadap penyucian
hati adalah zikir.
Apa kepentingan zikir dalam
tasawuf?
Di kalangan para sufi, zikir merupakan
amalan yang sebati dengan jiwa mereka di mana sahaja mereka berada. Melalui
berzikir, hati dapat dibersihkan daripada segala sifat-sifat kotor dan terkeji,
menimbulkan kecintaan kepada Allah dan menambahkan perasaan keagungan terhadap
Allah. Ia juga mampu mewujudkan ketenangan kepada jiwa (Ar-Ra’d, ayat 28).
Perintah Allah agar hambaNya terus berzikir
terlalu banyak dinyatakan dalam al-Quran mahupun melalui lidah kekasihNya.
Antaranya, “Wahai orang-orang yang
beriman, perbanyaklah kamu mengingati nama Allah dan bertasbihlah kepadaNya
pagi dan petang”.(Al-Ahzab, ayat 41-42) dan dalam surah an-Nisa’ayat 103,
Allah berfirman, “maka apabila kamu telah
menyelesaikan soaltmu, ingatlah Allah semasa berdiri, semasa duduk dan semasa
berbaring”.
Nabi
s.a.w bersabda, “mahukah aku beritahu
kamu tentang amal yang paling bersih di sisi Tuhanmu dan paling tinggi
mengangkat darjatmu, dan lebih baik bagimu daripada berperang melawan musuh,
kamu memenggal leher mereka dan mereka memenggal leher kamu?”. Para sahabat
menjawab, “khabarkan kepada kami”. Rasulullah
pun bersabda, “zikir (ingat) kepada Allah”. (Riwayat al-Tarmizi dan
Ibnu Majah).
Kepada siapkah sebenarnya perintah
berzikir ini?
Perintah berzikir ini bukan sahaja khusus
kepada para sufi atau pengamal tarekat sahaja, tetapi hakikatnya kepada seluruh
umat Islam yang beriman kepada Allah s.a.w dengan sebenar-benarnya. Namun, para
sufi atau pengamal tarekat amat menitikberatkan amalan berzikir ini dan menjadi
sebagai sebahagian daripada amalan harian yang wajib bagi diri mereka.
Ini adalah usaha mereka untuk
mendisiplinkan diri agar hati dapat dibersihkan secara konsisten dan dengan itu
diharapkan akan dapat mendekatkan diri kepada Allah s.a.w. Adapun masyarakat
awam, kebanyakannya berzikir hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti
selepas solat, tahlil dan seumpamanya, manakala pada waktu lain mereka
kebanyakannya lalai daripada mengingati Allah.
Sebanyak mana seseorang perlu
berzikir?
Kebanyakan daripada kita mungkin menyangka
memadai berzikir sebanyak 33 kali Subhanallah, 33 kali Alhamdulillah dan 33
kali Allahu Akbar selepas setiap kali solat. Ataupun mungkin 100 kali Lailaha
illallah dalam majlis tahlil dan seumpamanya.
Ibn Salah rahimahullah pernah ditanya sebanyak manakah seseorang itu
dikira tidak lalai dan tergolong di kalangan mereka yang sering mengingati
Allah? Lalu beliau menjawab, “Selama mana beliau mengekali dalam keadaan
berzikir sepertimana sunnah Rasulullah s.a.w dalam setiap pagi dan petang, maka
beliau dikira di kalangan orang-orang yang mengingati Allah”.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
Abu Said al-Khudsi, “perbanyakkanlah berzikir sehingga orang ramai mengatakan (menyangka)
bahawa engkau seorang yang gila”. (Ahmad, Ibn Hibban, Abu Ya’la, Ibn Humaid).
Oleh itu persoalan yang sering ditanyakan
masyarakat kita, berapa banyakkah berzikir itu dikira memadai? Jawapannya
adalah sepanjang waktu kita bernafas jika lidah sibuk dengan perkara lain,
namun hati tetap terus berdenyut dengan zikrullah kepada Allah.
Bagaimana para sahabat melazimi
zikrullah?
Diriwayatkan ada para Sahabat r.a yang
terpaksa memasukkan batu-batu kerikil di celah lidah mereka setiap kali memasuki
tandas bagi menggelakkan mereka tersalah menyebut nama Allah di tempat yang
diharamkan berzikir. Ini kerana sudah menjadi tabiat dan kebiasaan mereka yang
sentiasa membasahi lidah-lidah mereka dengan berzikir sepanjang waktu. Hanya
mereka yang berzikir sahaja yang dinyatakan oleh Baginda s.a.w sebagai manusia
yang sebenarnya “hidup”. Adapun yang melupakan Allah dengan tidak berzikir pada
hakikatnya adalah “mati”.
Kepentingan dan kelebihan berzikir bagi mereka yang ingin mendekatkan
diri kepada Allah teramat banyak. Hatta perintah berzikir ini bukan sahaja
kepada manusia tetapi juga kepada sekalian makhluk Allah di atas muka bumi ini
daripada kalangan jin, bukit-bukau, gunung-ganang, haiwan, batu-batan, pokok;
kesemuanya berzikir, bertasbih serta memuji Allah taala dengan cara mereka
tersendiri.
No comments:
Post a Comment