Nama Penulis : Athiyatul Mardhiyah Bt
Ahmad Bahaudin
No Metrik : 14021257 | No Siri : 090
Ilmu adalah syarat dalam berdakwah. Ia
merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Perkembangan dan
kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan
perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa. Justeru, Islam
mengingatkan tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis
Rasulullah s.a.w.
Pernahkah seorang da’i betul-betul
berilmu baru turun ke medan dakwah?
Penekanan terhadap kepentingan dan
keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang
memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu. Baginda Rasulullah s.a.w
bersabda, “menuntut ilmu itu adalah wajib
ke atas tiap-tiap orang Islam”. (Riwayat Ibn Majah).
Bagi para pendakwah, mereka mestilah
mempunyai ilmu yang secukupnya untuk menyampaikan mesej dakwah kepada
masyarakat. Cuma ilmunya tidak perlulah sedalam ilmu para ulama. Cuma jikalau da’i
itu alim, ia lebih baik.
Jika tidak, cukuplah sekadar apa yang ada
untuk mereka menyebarkan dakwah Islamiah dan sesuai dengan sasaran dakwah.
Bersabda Rasulullah s.a.w, “sampaikanlah
daripadaku walaupun satu ayat”. (Riwayat Bukhari).
Apa
maksud keperluan ilmu yang bergantung kepada sasaran?
Sebagai contoh, jikalau kita berdakwah
kepada golongan mualaf dan golongan orang asli di pendalaman, ilmu yang hendak
kita sampaikan itu mestilah asas dan berkaitan dengan sesuatu yang mereka
perlukan iaitu penerangan mengenai kecantikan
dan keindahan Islam, persaudaraan dan kasih sayang di dalam kehidupan beragama.
Jika kita berdepan golongan intelek yang
berfahaman ateis atau golongan yang beragama selain daripada Islam yang ingin mencari
kebenaran, maka ilmu kita mesti cukup untuk berdepan dengan mereka.
Jikalau berdepan golongan Islam
tetapi pemahamannya Liberalisme atau Pluralisme pula, maka lebih-lebih lagilah
kita perlu memahami Islam dengan lebih mendalam dengan memahami dalil-dalil
amalan di dalam Islam agar dapat mematahkan hujah-hujah mereka dan dapat
membawa mereka kepada kebenaran dengan hikmah dan kasih sayang.
Ada sesetengah da’i mempunyai ilmu yang
tinggi tetapi tidak dapat menarik minat pendengar bahkan menyebabkan pendengar
semakin keliru. Mengapakah ia terjadi?
Pendakwah perlu mengenal mad’unya orang yang didakwah). Sebelum inj
telah dibincangkan mengenai hikmah di dalam ayat surah An-Nahl ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad)
dengan hikmah kebijaksanaan dan
nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan
itu) dengan cara yang baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih
mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.
Antara makna ‘hikmah' ialah memahami tahap pendengar yang menjadi sasaran
dakwah, agar apa yang disampaikan akan menambahkan kefahamannya untuk beramal
dengan agama. Jikalau apa yang disampaikan itu mengelirukan orang yang
mendengar, maka pendakwah tersebut telah gagal mempamerkan seruan hikmah yang
terdapat di dalam ayat tersebut apalagi jikalau sasaran dakwahnya bertambah keliru
sehingga menjauhi majlis ilmu.
Kerana itu, para pendakwah mesti mengukur
kefahaman sasaran dakwahnya dalam menyampaikan ajaran Islam. Sebagai contoh;
Satu: Tidak mengelirukan kefahaman mereka
mengenai amalan fikahnya atau iktihad yang dipegangnya, asalkan yang sesuai
dengan Ahli Sunnah wal Jamaah.
Dua:
Tidak membawa
persoalan khilaf sehingga menyebabkan orang yang mendengar keliru.
Tiga:
Mengajar mereka
secara bertahap sesuai dengan ilmu dan kefahaman mereka agar memahami Islam itu
sebagai satu cara hidup yang sempurna.
Dalam kehidupan Baginda s.a.w, hal ini juga
pernah terjadi. Pernah seorang lelaki datang kepada Baginda s.a.w lalu
berkata, “Wahai Rasulullah, syariat Islam terlalu banyak kepadaku untuk
diamalkan. Maka khabarkanlah kepadaku dengan sesuatu perkara yang boleh aku
berpegang dengannya”. Maka sabda Baginda s.a.w, “Hendaklah lidahmu sentiasa basah dalam keadaan berzikir mengingati
Allah”. (Riwayat Tarmizi).
Lihatlah, Rasulullah s.a.w memberikan
amalan yang mudah untuk diamalkan dan tidak memberatkan si penerimanya.
No comments:
Post a Comment