Saturday, March 11, 2017

Perlukah Kita Bermazhab?

Nama Penulis : Athiyatul Mardhiyah Bt Ahmad Bahaudin
No Metrik : 14021257 | No Siri : 090

      Ramai daripada kalangan Umat Islam hari ini tidak tahu kenapa adanya mazhab dalam dunia Islam dan apakah kita perlu bermazhab? Justeru, sesetengahnya memusuhi mazhab dan Ulama-ulama mazhab. Laungan “kembali kepada al-Quran dan hadis” seolah-olah laungan paling sahih dalam usaha untuk kembali kepada Islam sebenar. Pepatah arab menyatakan, “Seseorang itu akan menjadi musuh pada apa yang tidak diketahuinya”. Marilah buka akal serta ikhlaskan hati dalam memahami perkara yang telah menjadi pegang Umat Islam sejak zaman salaf dan merupakan satu disiplin ilmu yang sangat hebat. Amat malang sekiranya perkara asas ini gagal difahami dalam usaha beramal mengikut al-Quran dan hadis.
Apakah kepentingan bermazhab?
       Ia membolehkan kita mengamal agama dengan kefahaman yang benar. Ini kerana orang awam tidak berkelayakan untuk berijtihad. Para imam mazhab yang muktabar merintis jalan ini agar orang awam lebih mudah memahami ibadah dan ajaran Islam.
Apakah dalil perlunya orang awam mengikuti mazhab?
Allah berfirman, “Maka bertanyalah kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui”.(Al Anbjya’21:7)
        Para ulama usul menjadikan ayat ini sebagai dalil menunjukkan orang yang mengetahui hukum-hakam (orang awam), wajib bertaqlid kepada orang alim yang mujtahid iaitu dengan mengikuti mazhab.
        Menurut Imam al-Amidi (631H) dalam kitabnya al-Ihkam, “Orang awam yang belum memiliki keahlian berijtihad, walaupun dapat menghasilkan sebahagian ilmu yang mu’tabar dalam berijtihad, dia tetap wajib mengikut pendapat para mujtahid dan berpegang dengan fatwa-fatwanya”.
Adakah imam mazhab mengeluarkan pendapat tanpa merujuk kepada al-Quran dan hadis?
         Tidak benar sama sekali.  Semua pendapat imam mazhab adalah berdasarkan Al-Quran dan hadis.bahkan mereka sangat teliti dan amanah terhapat ilmu dan menepati ciri yang disebutkan oleh Allah, “Sesungguhnya mereka yang takutkan Allah daripada kalangan Hamba-Nya adalah ulama”.(Fathir 35:28).
Apakah pengakuan hadis tentang ketokohan empat imam mazhab?
      Rasulullah s.a.w menyebut, “Sebaik-baik kurun ialah kurunku, kemudian mereka yang selepas itu, kemudian mereka yang mengiringi kurun itubpula”.(Riwayat Bukhari dan Muslim)
     Hadis ini secara tidak langsung menyentuh tentang empat imam mazhab kerana kesemua mereka hidup sekitar tiga kurun ini; Imam Hanafi lahir pada tahun 80H, Imam Malik pada 93H, Imam Syafi’I pada 150H dan Imam Ahmad pada 164H. kesemuanya terkenal soleh, warak, khasyyah (takut kepada Allah) dan mempunyai ilmu yang tinggi. Keupayaan ilmu mereka diakui dan dijadikan panduan oleh umat sepanjang zaman. Mengikut mereka beerti mengikut golongan salafussoleh, golongan yang dijamin oleh Rasulullah s.a.w.
Apakah pendirian para ulama lain terhadap mazhab?
      Para ulama hadis sendiri turut bermazhab. Imam Tarmizi (279H), Imam Nawami (676h) dan Imam Ibn Hajar al-Asqalani (852H) umpamanya, bermazhab Syafi’i.  malah menurut al-Allamah Muhammad Anuar al-Kasymiri (1352H) di dalam Faidh al-Bari ‘ala Shahih al-Bukhari, 1/58,Imam Bukhari (256H) masyhur dikatakan bermazhab Syafi’I kerana sebagai seorang mujtahid, Imam Bukhari mengikut pendapat Imam Syafi’i dalam beberaoa masalah yang terkenal dan menjadi murid kepada Imam al-Humaidi asy-Syafi’i (219H).
      Para mujaddid juga bermazhab Syafi’i seperti Imam Abu Hassan al-‘Asy’ari (mujaddid kurun ketiga), Imam al-Ghazali (mujaddid kurun kelima) dan Imam Sayuti (mujaddid kurun kesembilan). Bahkan, beratus malah beribu lagi ulama yang bertaraf mujtahidin dan mempunyai kitab-kitab yang besar, juga bermazhab. Kita boleh merujuk nama-nama ulama yang bermazhab Hanafi umpamanya dalam kitab Ath-Thabaqat As-Saniyyah fi Tarajim al-Hanafiyyah karangan At-Taqiy al-‘Izzi (1010H); ulama yang bermazhab Maliki dalam kitab ad-Dibaj al-Muzahhab fi Ma’rifah A’yan ‘Ulama’al-Mazhab karangan Ibn Farhun (799H); ulama bermazhab Syafi’I dalam kitab Tabaqat asy-Syafi’iyyah al-kubra karangan Imam as-Subki (756H); dan ulama bermazhab Hambali dalam kitab Zail Tabaqat al-Hanabilah karangan Ibn Rajab al-Hambali (795H).
Kenapa kita harus berpegang kepada empat mazhab ini?
       Imam ad-Dahlawi (1176H) menyebutkan, “ketahuilah bahawa Umat Islam atau para ulama yng dipegang pendapat mereka, telah ijmak atas bolehnya mengikut (bertaqlid) kepada empat mazhab (Mazhab Maliki, Hambali, Syafi’I dan Hanafi) yang telah dibukukan (ditulis),yang diakui kebenarannya sehinggalah sekarang.  Dan dalam hal ini (mengikut empat mazhab tadi) termasuk dalam kebaikan yang tidak tersembunyi, lebih-lebih lagi pada hari ini semangat mendalami ilmu agama (himmah) sudah berkurang sekali, jiwa sudah bergelumang dengan hawa nafsu dan masing-masing berasa bangga dengan pendapatnya sendiri”.
Bagaimana dengan mereka yang tidak mahu mengikut mazhab, yang beralasan hanya mengikuti al-Quran dan hadis?
   Perlu ditayakan kepada mereka, “Adakah keempat-empat imam mazhab itu tidak mengikut al-Quran dan hadis?”
    Sebenarnya,martabat para imam empat sebagai Mujtahid Mutlaq menempatkan mereka sebagai orang yang paling faham tentang Al-Quran dan hadis. Penguasaan mereka dalam bidang hadis, tidak dapat dipertikaikan lagi. Imam Hanafi mengarang kitab hadis al-wasith. Imam Malik mengarang kitab al-Muwaththa'. Imam Syafi’I pula mengarang kitab Mukhtalaf Al-Hadits dan menghafaz keseluruhan hadis dalam al-Muwaththa’. Imam Ahmad menghafaz satu juta hadis dan mengarang kitab al-Musnad yang terkenal.

     Ulama sepakat menyatakan, Mazhab Hanafi,Maliki, Syafi’I dan Hambali menjadikan al-Quran dan hadis sebagai sumber utama dalam mengeluarkan hukum-hakam. 

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *