Nama Penulis : Athiyatul Mardhiyah Bt
Ahmad Bahaudin
No Metrik : 14021257 | No Siri : 090
Semua orang ingin berubah menjadi baik
dan meninggalkan kejahatan, namun ramai
juga yang praktisnya seolah-olah berat atau terhalang untuk berubah. Pertembungan antara kebaikan dan kejahatan
bermula sejak penciptaan Adam lagi dan akan berterusan selama mana kita
sentiasa mencipta pelbagai alasan untuk mengelak daripada mengikuti syariat
Allah. Namun, sebenarnya kita mempunyai
kemampuan ilmu dan rangsangan iman untuk membeza dan menjauhi kejahatan dan
menghampiri kebaikan. Hal ini diterangkan lebih lanjut dalam firman Allah;
“sesungguhnya kami aturkan penciptaan manusia
bermula dengan air mani yang bercampur, serta kami tetap mengujinya (dengan
kewajipan) oleh itu kami jadikan ia berkeadaan mendengar dan melihat.
Sesungguhnya kami telah menunjukkan kepadanya jalan-jalan yang benar dan salah,
maka terserahlah kepadanya sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat)
ataupun ia kufur (dengan mengingkari dan derhaka) “. (Al Insan:2-3)
Ini menunjukkan bahawa Allah telah
mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian. Tetapi apabila kita meninggalkan
jalan yang baik dan benar serta menggunakan keupayaan yang diberi untuk jalan
kejahatan, bererti kita rela merendahkan diri sendiri sehingga menjadi makhluk
yang paling hina.
Kadang-kadang kita tahu perkara yang kita
buat itu salah, barang yang kita ambil
itu haram dan pilihan yang kita buat itu tidak tepat, tetapi kita tetap terus juga menerus
melakukannya dengan pelbagai alasan apologetik, agar tidak rasa bersalah. Situasi ini disebut ileh Allah dalam Al-Quran
yang menerangkan sebab-sebab utama kita memilih kekal di lembah kejahatan dan
berlindung di sebalik pelbagai alasan berikut untuk menutup kejahatan yang
dilakukan.
Kadangkala kita terjerumus ke lembah
maksiat kerana kita mengikut secara sombong berkeras atau membuta buli jalan
yang telah dilalui oleh golongan veteran dalam urusan menolak kebenaran.
Sejarah telah menunjukkan bahawa orang ramai menolak kebenaran atas dasar
mereka telah mengikuti jalan dilalui oleh nenek moyang mereka dan tidak mahu
menukarnya. Itulah yang berlaku kepada
kaum Nuh, kaum A’d dan Thamud. Firman
Allah mafhumnya; “Dan demikianlah halnya;
kami tidak memutus sebelum kamu (Wahai Muhammad) kepada penduduk sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran melainkan
orang yang ternama dalam kemewahan di negeri itu berkata “Sesungguhnya kami
dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama dan kami menurut jejak mereka
sahaja. Rasul itu berkata adakah kamu akan menurut mereka juga walaupun kami
akan membawa kepada kamu agama yang lebih jelas hidayah petunjuknya dari jalan
agama yang kamu dapati daripada datuk nenek kamu? Mereka menjawab “sesungguhnya
kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya”. (Az
Zukhruf:23-24).
Menurut sejarah, terlalu akur dengan
pemimpin juga merupakan faktor yang menyebabkan terdapat penolakan ajaran Allah
oleh orang ramai. Kita berada di bawah
kekuasaan pemimpin organisasi atau pemimpin keluarga dan mengikuti jejak
langkah mereka disebabkan kita kononnya baik dan patuh. Firman Allah mafhumnya: “Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata
dengan sesalnya “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah dan Rasul. Dan mereka berkata lagi, Wahai Tuhan kamj,
sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak para ketua dan orang besar kami, lalu
mereka menyesatkan kami dari kalan yang benar”. (Al Ahzab:66-67).
Selain itu, ramai juga di kalangan kami menjadi jahat
disebabkan sifat takabbur dan bermegah-megah. Kita tidak sanggup mengaku salah
kerana ia akan merosakkan kemegahan mereka lantas merendahkan status mereka
pada pandangan orang lain. Firman Allah
mafhumnya: “Setelah puas menyeru mereka,
Nabi Nuh berdoa dengan berkata “Wahai Tuhanku,
sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siam dan malam supaya mereka
beriman : maka seruanku tidak memberikan mereka satu faedah pun selain daripada
menambahkan mereka melarikan dari daripada kebenaran. Dan sesungguhnya aku,
tiap-tiap kali menyeru mereka supaya Engkau mengampuni dosa-dosa mereka, mereka
menyumbat telinga mereka dengan jari masing-masing dan berselubung dengan
pakaiannya dan berlaku sombong takabbur yang melampau-lampau”. (Nuh:5-7).
Status dan pangkat keduniaan juga
merupakan satu lagi faktor yang menyesatkan kita. Bila kita berkuasa,walaupun melakukan rasuah
atau perbuatan zalim, kadangkala kita tetap dianggap berjaya, manakala orang
miskin walaupun patuh dan berbudi dianggap sabagai gagal di dunia ini. Dengan
inj kedudukan di dunia menjadi ukuran kejayaan atau kegagalan seseorang tanpa
mengambil kira nilai kebaikan di sisi pandangan Allah. Ini yang berlaku kepada
Nabi Nuh, firman Allah mafhumnya;
“Mereka menjawab “Patutkah kami percaya
kepada kamu, sedang engkau semata-mata
diikuti oleh orang yang rendah (pangkat dan hina pekerjaannya) “. (As
Syuara’:111).
Ramai juga kita yang berterus-terusan
berada dalam kejahatan dan menolak kebenaran disebabkan kita menjadi hamba
kepada nafsu sendiri. Kadang-kadang bukan alasan tidak tahu malah kita sangat tahu
hukumnya tetapi tetap memilih maksiat kerana dorongan nafsu. Semua orang tahu riba itu haram, bermain judi
itu haram, khianat itu zalim, mengumpat itu berdosa dan solat itu wajib tetapi
amalan kita kadangkala tidak selari dengan apa yang kita tahu.
Satu lagi faktor sukar berubah menjadi
baik merupakan sifat dalam diri kita yang menentang kebenaran. Ini adalah satu lagi kejahatan yang
mempengaruhi individu dan umat manusia menjauhkan diri daripada kebenaran.
Sesetengah kita suka malah ketagih kepada perbuatan jahat dan rela kekal dalam
kehidupan keji tanpa ada rasa bersalah dan menyesal. Firman Allah mafhumnya:
“(lalu
dikatakan kepada mereka setelah ditimpakan dengan azab seksa): “Balasan buruk
yang demikian itu disebabkan kamu dahulu bersuka ria di muka bumi dengan cara
yang salah (pada hukum Tuhan) dan disebabkan kamu bersenang-lenang dan
bermegah-megah dalam berleluasa dengan maksiat, masukilah pintu-pintu Neraka
Jahanam, kekal kamu didalamnya, maka ia seburuk-buruk tempat bagi orang yang
sombong takabbur ialah Neraka Jahannam”. (Al-Mukminim:75-76).
Ketakutan kepada kemunduran andainya
hidup kita berubah kepada taat beragama dan patuh kepada kebenaran juga
wujud. Wujud sebahagian kita yang
beranggapan kita mestilah meninggalkan agama dan patuh kepada Allah untuk maju
dalam hidup ini.
Inilah juga sikap yang ditunjukkan
oleh pemuka-pemuka kaum Nabi Shuib melalui firman Allah, mafhumnya;
“sesungguhnya
jika kamu mengikuti Nabi Shuib tentu kamu akan menjadi orang yang rugi”. (Al
A’raf:90).
Perkara yang sama juga dijawab oleh
pemimpin Quraisy kepada Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Jika kami mengikuti petunjuk yang engkau bawa, nescaya kami akan
dihalau keluar dari negeri kami”.
Inilah antara sebab utama yang disebut
oleh Al-Quran, mengapa kejahatan tetap bermaharajalela malah laris di kalangan
khalayak. Semoga kita dapat memulakan perbuatan diri kita kearah kebaikan dan
berwaspada dengan bisikan serta cabaran alasan sebegini, untuk kita berubah
menjadi lebih baik dan meninggalkan kejahatan.
No comments:
Post a Comment