Saturday, March 11, 2017

KEADILAN HUKUM ISLAM


30 JANUARI 2017|OLEH NUSAIBAH SHAFUDIN
Nama : Nusaibah binti Shafudin
No Siri : 055|No Matrik : 14021219

Keadilan dalam Islam :
Keadilan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu :-
#Keadilan Undang-Undang
#Keadilan Sosial
#Keadilan Sejagat

Keadilan Undang-undang
Keadilan undang-undang ialah undang-undang itu dikenakan atau dikuatkuasakan ke atas semua orang secara sama rata tanpa dibezakan di antara yang kaya dengan yang miskin dan tanpa sebarang perbezaan berdasarkan warna kulit, bangsa dan agama, juga tanpa sebarang perbezaan di antara orang yang jahil dengan orang yang terpelajar dan sebagainya.

Ini menunjukkan kesemua mereka adalah sama sahaja di hadapan undang-undang, tidak ada unsur lebih melebihi di dalam melaksanakan undang-undang itu di kalangan manusia, kalau pun ada kelebihan, maka itu adalah dari kebaikan perseorangan yang dilakukan oleh seseorang manusia. Rasulullah s.a.w. telah menekankan tentang persamaan yang mutlak pada pandangan hukum-hukum syarak.
"Sabda baginda bermaksud, kamu semua adalah dari keturunan Adam dan Hawa itu dari tanah, tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas yang bukan Arab kecuali dengan sifat takwa” (Riwayat Bukhari dan Muslim). ”Sabda baginda lagi yang bermaksud, manusia semua adalah sama seperti gigi sikat.”
Rasulullah s.a.w. mengambil sikap tegas di dalam melaksanakan hukum- hukum syarak dan baginda melarang sama sekali sikap pilih kasih.

Keadilan Sosial
Keadilan sosial bertujuan supaya setiap orang dapat hidup di dalam masyarakatnya secara yang mulia tanpa sebarang penindasan. la memberi kesempatan kepada masyarakat untuk mempergunakan kebolehan yang dimilikinya untuk kemanfaatan diri dan masyarakat.
Contohnya, kemiskinan sukar untuk dihapuskan sepenuhnya. Sebaliknya keadilan sosial hanya bertujuan untuk meringankan sedikit kesengsaraan yang dihadapi oleh golongan miskin, mengikiskan rasa iri hati dan dengki terhadap golongan kaya serta memberi peluang kepada mereka untuk mendapat makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kesannya, tenaga yang ada boleh dipergunakan dan boleh membawa kebaikan untuk masyarakat serta dapat menghindarkan keburukan ke atas diri mereka dan juga ke atas masyarakat sendiri.

Manusia akan berbeza dari segi kemiskinan dan kekayaan mereka sehinggalah bumi ini dan makhluk-makhluk diambil semua oleh Allah s.w.t. Kemiskinan tidak mungkin dapat dibanteras melainkan setelah semua kekuatan dapat disatukan, punca-punca rezeki dan gejala-gejala kebendaan serta pemikiran dapat disatukan. Ini kerana manusia adalah berbeza sesama mereka dari segi kekuatan.
Berdasarkan kemiskinan dan kekayaan, agama Islam menganggap ia suatu hakikat yang tetap dan menganggap gejala-gejala ini sebagai suatu perkara semula jadi bagi kehidupan manusia. Hakikat ini telah diakui oleh al-Quran di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia.

Walau bagaimanapun ini tidak bererti bahawa agama Islam mengakui wujudnya kasta atau kelas berdasarkan kemiskinan atau pemilikan kekayaan. Di dalam Islam tidak terdapat sebarang peraturan kasta seperti yang dapat kita saksikan di dalam pelaksanaannya terhadap keadilan undang-undang. Agama Islam juga memastikan bahawa orang kaya tidak akan bersikap tinggi diri terhadap golongan miskin berdasarkan kekayaan. Kelebihan manusia di sisi Allah s.w.t. hanya berdasarkan sifat ketakwaan dan ketaatan, serta kedudukan yang tinggi di sisi Allah s.w.t. itu hanya diukur dari segi amalan soleh.
”Sabda Rasulullah s.a.w. bahawa Allah tidak melihat kepada rupa bentuk kamu, tetapi ia melihat pada hati dan pekerjaan kamu.”

Keadilan Sejagat
Hubungan antara orang Islam dengan bukan Islam telah ditegakkan sejak dari mulanya di atas dasar kasih sayang. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negeri kamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil. Allah hanya melarang kamu menjadikan sebarang kawan kamu dari orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusirkamu dari negeri kamu dan membantu untuk mengusirkamu, dan barangsiapa yang menjadikan mereka itu sebagai kawan, maka mereka itulah orang yang zalim (Surah Al-Mumtahanah: Ayat 8 dan 9).


Perasaan kasih sayang merupakan asas perhubungan kemanusiaan. Apabila berlaku permusuhan dan tercetus peperangan, maka "keadilan" adalah menjadi kata pemutus dalam keadaan ini. Orang Islam mesti melaksanakan keadilan biar betapa kuat sekalipun permusuhan itu. Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil, berlaku adillah, kerana adil itu lebih hampir kepada takwa (Surah Al-Maa'idah: Ayat 8).

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *