Saturday, March 11, 2017

PERSIAPAN REMAJA MENUJU ABAD KE-21

Ditulis oleh : Nur Farah Idayu Binti Hassan
No Siri : 028 | Matrik : 14021215

            Remaja merupakan harapan masa depan negara. Kemakmuran negara pada masa hadapan bergantung kepada mereka. Kriteria untuk negara kita, Malaysia menampil ke hadapan tidak lagi sebagai sebuah negara membangun tetapi sebagai sesebuah negara maju yang berteraskan wawasan 2020. Kemajuan ini hanya akan tercapai dengan kelahiran remaja yang cergas, berakhlak dan dinamik.
            Namun yang menjadi persoalan kini adakah para remaja hari ini sudah bersedia untuk menghadapi cabaran dan tribulasi-tribulasi bagi menuju kea bad-20? Yang pasti, akhir-akhir ini, kita sering dikejutkan dengan pelbagai masalah sosial yang melibatkan para remaja seperti bohsia, bohjan, lepak dan sebagainya. Hal ini kemungkinan besar akan menjejaskan kelancaran dan hasrat kerajaan dalam menuju wawasan 2020.
            Oleh itu, perkara yang paling penting ialah pendedahan ilmu agama yang secukupnya di kalangan remaja. Agama merupakan kompenan yang utama untuk ketahanan rohani remaja. Pegangan agama yang kukuh, tidak akan menjebakkan remaja ke lembah maksiat. Mereka hanya akan menerima apa yang terbaik untuk diri mereka dan dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi, selari dengan tuntutan agama sepertimana kata Dr.Hassan Ali, “Jika kita takut menonjolkan komponen agama ke dalam diri anak-anak remaja, maka remaja yang terhasil ialah remaja yang jumud, tidak boleh berfikir dan mati otak fikirannya”.
            Bagi memupuk kefahaman ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting. Mereka perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka tentang ilmu agama sejak kecil lagi. Bak kata pepatah “ melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Pendedahan secara bijak dan berhikmah perlu untuk menarik perhatian anak-anak untuk terus mendalami dan mempraktis ilmu-ilmu agama yang dipelajari. Jadi penghayatan agama dan kekuatan iman amat perlu bagi mempersiapkan remaja menuju abad ke-20.
            Faktor yang tidak harus diabaikan ialah faktor ilmu. Islam amat menekankan konsep ilmu. Setiap muslim diwajibkan menuntut ilmu. Ilmu bukan sahaja perlu untuk sentapan rohani malah untuk mencapai ketamadunan dan kemajuan. Setelah remaja mempunyai kefahaman agama yang jitu dan diaduni pula dengan ilmu yang bermanfaat maka lahirlah remaja yang syumul dalam segenap aspek. Mereka mampu untuk merancang, mencorak dan mengendalikan masa depan negara dengan cemerlang.
            Namun, jika dilihat, kebanyakan pelajar hari in, menuntut ilmu hanya untuk lulus peperiksaan dan memiliki sekeping sijil. Mereka seolah-olah tidak berhasrat untuk mendalami dan mempraktis ilmu yang diperolehi. Di sinilah pentingnya peranan para guru. Guru berperanan menerapkan nilai-nilai murni dalam proses pembelajaran di kalangan pelajar serta menekankan konsep menuntut ilmu yang hakiki selaras dengan kehendak Islam. Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda “ Ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah”.
            Selain itu, peranan media massa, tidak kurang pentingnya. Media massa merupakan santapan terkuat yang boleh mempengaruhi remaja. Program-program yang dihidangkan kepada remaja haruslah berkisar dengan perkara-perkara yang membina,bermanfaat dan tidak bercanggah dengan lunas-lunas Islam. Mereka tidak seharusnya hanya menyajikan program-program berunsurkan hiburan semata-mata seperti yang sedia maklum, remaja mudah terdorong untuk mencuba sesuatu yang baru dan suka berfoya-foya. Remaja akan terus lalai dan hanyut jika disogok dengan pelbagai jenis hiburan di sekeliling mereka. Oleh itu pihak media massa perlu mencari arah yang terbaik untuk remaja.
            Jelaslah, persiapan remaja menuju abad ke-21 harus bermula dari sekarang. Persiapan yang lengkap dan mantap pastinya akan merealisasikan hasrat negara untuk mencapai Wawasan 2020. Jika tidak, hasrat yang dirancang hanya sekadar sebuah fatamorgana sahaja.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *