Sunday, March 12, 2017

PUNCA PENGABAIAN IBU-BAPA DAN CARA MENGATASINYA.

DITULIS OLEH:AHMAD SALMAN ALFARISI BIN ZAHARI
       NO.SIRI:105

        Dalam meniti usia emas, warga tua sepatutnya boleh menyandarkan harapan kepada anak-anak. Pertalian yang sekian lama terjalin wajarlah ada tautan hingga ke penghujung zaman. Usaha ini adalah untuk mengelakkan warga emas berasa rendah diri, tersisih dan hidup dalam penderitaan dan kesedihan. Kes meninggalkan ibu bapa yang sudah lanjut usia di rumah kebajikan sering menjadi perbualan umum dan mendapat perhatian masyarakat moden pada hari ini. Kadar kemasukan warga emas ke rumah kebajikan seperti cendawan tumbuh selepas hujan dari tahun ke tahun. Anak-anak merupakan orang yang akan dituding jari oleh masyarakat disebabkan oleh pengabaian mereka terhadap ibu bapa yang sudah lanjut usia. Oleh itu, terdapat beberapa punca yang membawa kepada pengabaian warga emas ini. Bak kata peribahasa Melayu, bagai menatang minyak yang penuh sudah dicurahkan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak dilahirkan, namun anak-anak ibarat kacang melupakan kulit kian mengabaikan kebajikan ibu bapa apabila mereka sudah meningkat dewasa, berkerjaya dan berumah tangga.

        Pengabaian warga emas berpunca daripada sikap golongan muda dewasa ini yang terlalu taksub akan dunia kebendaan dan mementingkan diri. Kesibukan mengejar duniawi menyebabkan mereka sanggup menetap di luar negara untuk tempoh yang tertentu bagi memastikan pencapaian cemerlang mereka dalam dunia kerjaya. Bagi mereka, tugas mengejar kekayaan, kemewahan dan kesenangan hidup adalah segala-galanya. Sama ada kebajikan para ibu bapa mereka terbela atau tidak, bukanlah persoalan yang harus difikirkan serta diambil tindakan yang sewajarnya. Apabila ibu bapa semakin tua, maka terdapatlah jurang komunikasi dengan anak-anak. Keadaan ini bertambah buruk dengan adanya hasutan, hambatan dan tekanan yang diberikan oleh pasangan hidup yang tidak sanggup tinggal bersama dengan ibu bapa kerana tidak tahan akan leteran dan kerenah ibu bapa yang telah uzur selain menginginkan kehidupan yang lebih selesa dan bebas. Mereka juga tidak sanggup menjaga ibu bapa tua yang dianggap nyanyuk dan tidak berguna lagi. Anak-anak seterusnya akan bertindak menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua.

            Dari aspek lain pula, punca pengabaian warga tua juga disebabkan oleh tindakan ibu bapa itu sendiri. Pengabaian terhadap ibu bapa disebabkan pengalaman anak-anak itu sendiri di alam kanak-kanak, mungkin semasa kecil kedua ibu bapa mereka bersikap bengis, suka mendera Maka, anak-anak akan bertindak balas dan menyimpan perasaan untuk membalas dendam terhadap kedua ibu bapa mereka yang dianggap kejam itu. Oleh itu, salah satu cara untuk memuaskan hati mereka ialah dengan mengabaikan kebajikan dan kesihatan kedua ibu bapanya.
           Langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini ialah sikap manusia haruslah berbuat baik dimana manusia perlu mengikis sifat memandang remeh kepada orang tua yang kurang bernasib baik dan juga anak-anak perlu membuang sifat memandang hina kepada ibu bapa yang dianggap  semakin tua semakin tidak berguna dan tidak perlukan lagi. Masyarakat haruslah mengubah sikap dengan mengamalkan sistem keluarga luasan iaitu isi rumah yang merangkumi ibu bapa, anak-anak dan datuk nenek atau anggota keluarga yang lain, secara tidak langsung dapat memupuk rasa tanggungjawab, perasaan kasih sayang, sokongan  dan ikatan kekeluargaan yang kuat oleh ahli keluarga terhadap warga tua.

           Akhir sekali,anak-anak haruslah diberi didikan agama dan pendedahan dari awal lagi tentang menghormati ibu bapa. Anak-anak yang diberi didikan agama dari kecil  lagi akan dapat mengelakkan daripada ibu bapa disisih. Anak-anak yang mempunyai asas agama akan ada rasa tanggungjawab dalam menjalankan tugas menjaga ibu bapa yang berumur.

7 comments:

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *