Saturday, March 11, 2017

“MEMPERTAJAM PISAU KOMUNIKASI”

Ditulis oleh:
NAMA : NIK NOR IZZATI BT NIK MOHAMAD
NO MATRIK : 14021120 | NO SIRI : 046

Kemahiran berbual- bual dilihat kurang penting dalam bidang kerjaya. Sedangkan realitinya ia memainkan peranan yang tidak kurang besarnya demi melonjakkan seseorang ke “tengah pentas” dalam organisasi yang disertai.

Kemahiran berbicara dan berbual boleh membantu anda menyelesaikan tugasan dengan lebih baik. Dengan memiliki kemahiran ini, anda akan mendapat kerjasama yang lebih pantas dan tepat lantaran kepandaian anda berbicara dan “melayan” orang di sekeliling anda. Di sini dapat dikongsikan beberapa petua untuk meningkatkan kualiti perbualan atau komunikasi tidak formal dengan orang sekeliling:
1.      Masa yang tepat
Perlu diingat bahawa komunikasi tidak formal juga penting demi mencapai kejayaan dalam kehidupan. Ada perkara yang sangat penting yang perlu disampaikan secara tidak formal. Jika anda bercadang untuk berbincang semasa dia sedang bercakap di telefon atau sibuk, maka mesej yang hendak disampaikan terhad penerimaannya. Oleh itu, pilihlah masa yang sesuai agar matlamat komunikasi dapat dicapai.

2.      Tempat yang sesuai
Pilih tempat yang tenang dan damai untuk berbincang perkara- perkara yang penting. Berbual di tepi jalan hanya akan menyebabkan anda terpaksa berteriak dan akhirnya sakit tekak. Dalam masa yang sama, ada kemungkinan dia tidak mendengar beberapa maklumat penting yang sedang dibincangkan.

3.      Mukaddimah yang positif
Tanggapan pertama si pendengar mengenai anda perlulah positif dan mesra. Ini akan dapat mengurangkan potensi berlakunya konflik dalam perbualan. Mulakan dengan perkara- perkara yang disokong dan dipersetujui bersama. Ini akan dapat meningkatkan minat dan perasaan ingin bekerjasama dengan anda.

4.      Terperinci, jelas, ringkas
Jangan berdolak- dalik dan bermain kata- kata. Biarlah dia faham kehendak sebenar yang anda inginkan. Bermain kata- kata tabiat kerja yang tidak produktif dan hanya dilakukan oleh mereka yang tidak suka berterus- terang. Untuk memastikan dia memahami isi kandungan, mintalah dia mengulangi semula apa- apa yang dia fahami dengan menggunakan bahasa mereka sendiri.

5.      Pelihara mimik muka
Pertama sekali, anda mesti mengenal pasti tabiat anda sendiri. Kemudian berlatih untuk mendapatkan mimik muka itu dengan baik. Dapatkan mimik muka yang responsif terhadap perkara yang diperbincangkan. Selain itu, pelihara intonasi suara dan mimik muka yang sesuai. Jika ia tidak berkesan, situasi ini boleh menjejaskan pebualan anda. Bukan itu sahaja, hubungan mata juga sangat penting. Mata penghubung antara seseorang individu dengan individu lain. Jika telefon bimbit dihubungkan dengan gelombang liputan talian tersebut, maka pandangan mata ibarat gelombang talian tersebut. Jika tiada pandangan, maka tiadalah talian, dan tiadalah penghubung antara satu sama lain.

6.      Gunakan bahasa “saya”
Ini dapat mengurangkan situasi menunding jari ke arah orang lain. Sebaliknya, ia membayangkan bahawa anda bersedia untuk mencari jalan penyelesaian. Contohnya, anda ingin berkata “Awak perlu lakukan tugasan ini dengan sempurna.” Sepatutnya boleh disebut begini: “Saya perlukan tugasan ini siap dengan sempurna”.

7.      Hormati idea orang lain
Buka minda anda dan bertenang ketika mendengar pendapat orang lain. Namun hal ini bukan bererti anda mesti bersetuju dan menerima semua idea tersebut. Paling penting, berikan hak kepada mereka untuk menyampaikan idea masing- masing. Jika anda asyik mencelah dan memotong perbualan yang sedang berlangsung, kemungkinan minat mereka untuk bekerjasama dengan anda akan hilang.


8.      Bersepakat
Tulis dan dokumenkan keputusan bersama, walaupun dalam sekeping kertas nota kecil. Pastikan semua pihak mendapat keputusan yang sama. Tentukan kerangka masa dan tarikh akhir pelaksanaan dan tindakan susulan.

9.      Berkompromi
Tekankan aspek dan perkara yang dipersetujui bersama. Ulang beberapa kali terutamanya pada akhir perbincangan. Cuba fahami perasaan dan perspektif mereka terhadap perkara yang tidak dipersetujui walaupun anda tidak bersetuju dengan perasaan dan perspektif tersebut. Anda boleh melakukannya dengan meneliti bahasa badan, mimik muka dan intinasi msuara mereka.
Jangan perkecilkan kesan dan faedah komunikasi bukan formal. Kebanyakan orang memiliki kemahiran ini dan menggunakannya dengan sebaik mungkin. Sentiasa mempertajam “pisau komunikasi” kerana kadangkala anda mungkin terlupa untuk melakukannya

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *